Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Agensi berita nasional Bernama pada 11/2/2021 melaporkan:

Dua rakan berdepan hukuman gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 150.15 kilogram pada 1 Feb lepas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi yang masih bebas, Amnat Ratsamee di sebuah rumah di Kampung Batu Bertangkup, Jalan Kilang Gula daerah Padang Besar, kira-kira 7.50 pagi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Minggu lalu aku telah meminta para pembaca melihat dan memahami apa kaitan syarikat bir milik suku-sakat Baginda Queen dengan Akta Dadah Bahaya 1952.

Amat jelas pada hemat aku hukum-hakam Akta Dadah Bahaya 1952 yang antiganja dan ketum ini bertujuan untuk memastikan warga di Tanah Melayu didorong untuk membeli bir.

Ganja boleh ditanam di belakang rumah. Ketum boleh ditanam di tepi sawah. Tanaman asli dari bumi Tanah Melayu ini menjadi pesaing hebat dan akan berpotensi membunuh pasaran bir.

Di Tanah Melayu Baginda Queen memperkenalkan apa yang dipanggil sistem pasaran bebas. Pasaran bebas ini ialah nama cantik untuk sistem ekonomi kapitalis. Dihebohkan bahawa dalam sistem pasaran bebas ini pembeli dan pengguna bebas memilih apa yang hendak dibeli, diguna atau dipakai.

Tapi dalam kes perniagaan bir hakikatnya tidak ada pasaran bebas. Bila ketum dan ganja diharamkan maka bir menjadi jualan yang dipaksakan kepada anak tanah jajahan. Nampak atau tidak?

Aku melihat dengan jelas bahawa dengan kuasa senjata dan hukum-hakam kolonial hanya produk dari syarikat Baginda Queen sahaja yang dibenarkan. Tanaman asli yang berasal usul dari bumi kita di larang, ditakrif sebagai bahaya, dicap sebagai racun.

Dalam masa yang sama dijual cerita seolah-olah kerajaan Baginda Queen menjadi baik hati hendak menjaga kesihatan anak di tanah jajahan. Tetiba di Tanah Melayu kuasa kolonial Inggeris mahu Bani Melayu sihat walafiat. Jangan terkena racun daun ketum. Pooorah! Semua karut.

Lu tak caya - di sini buktinya. Biar aku berkisah: Syarikat East India Company (EIC) sampai ke Bengal, India pada tahun 1773. Di India, syarikat Baginda Queen ini bertemu dengan candu.

Barang baik pasaran bebas

Aduh! Cium punya cium. Hisap punya hisap candu ini dibuktikan sebagai barang baik untuk dijadikan barang jualan di pasaran bebas.

Maka candu menjadi bahan jualan EIC ke negara China. Candu ini jadi bahan tukaran – punca mata wang. Dengan duit jual candu suku sakat Baginda Queen telah membeli teh, tembikar, dan kain sutera dari China untuk diperniagakan di pasaran Eropah.

England kaya raya. London jadi besar.

Perniagaan candu ini menjadikan warga China melepek menjadi mat pet. Maharaja China marah lalu menutup pelabuhan. Melarang kapal lanun Baginda Queen masuk membawa candu. Perang pecah. Ini dipanggil Perang Candu 1839-1842.

China kalah perang lalu menandatangani Perjanjian Nanking 1842. Pelabuhan China seperti Shanghai dan Canton dipaksa buka untuk kapal lanun Baginda Queen berlabuh membawa candu.

Hasil dari penjualan candu mamat yang bernama William Jardine (1784-1843) mendirikan syarikat Jardine, Matheson & Co. Tukar beli candu ini memerlukan bank – maka muncul Hong Kong And Shanghai Bank (HSBC)

Bro, mustahil lu tak pernah dengar Jardine dan HSBC. Ini syarikat gergasi.

Sekarang nampak atau tidak peranan candu untuk kuasa kolonial Inggeris. Untuk aku semua nampak jelas. Candu dari India ini menjadi punca ekonomi membina empayar. Candu membina kuasa tentera laut dan soldadu Baginda Queen. Kuasa kolonial Inggeris berjaya menjajah 53 negara dalam dunia ini – yang hari ini dikenali sebagai negara Komanwel. Di belakangnya ialah kuasa candu.

Aku juga wajib beri tahu di sini bahawa William Jardine bukan kecil anak. Selain tokan candu, Jardine juga seorang YB - ahli parlimen untuk kerajaan Baginda Queen.

Hah! Maka tidak pelik Baginda Queen tidak membuat apa apa akta di India. Tidak mentakrifkan candu sebagai bahaya atau racun. Ganja yang hidup meliar di India pun tidak ditakrif sebagai bahaya. Kenapa? Kerana pasaran candu dan ganja kini dimiliki oleh syarikat Baginda Queen Victoria.

Di India British mengendalikan kedai penjualan candu. Ini bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah.

Kisah candu, ganja dan ketum ini bergerak lagi. Dari zaman Queen Victoria hingga ke tahun 60-an dan 70-an. Sebelum Perang Dunia Kedua hampir semua wilayah Asia dan Asia Tenggara dimiliki oleh kuasa kolonial – Belanda, Inggeris, dan Perancis.

Amerika jadi gedebe baru

Vietnam dijajah oleh kuasa kolonial Perancis. Rakyat Vietnam bangun melawan penjajah. Perang pembebasan rakyat Vietnam bermula dari tahun 1946 ke tahun 1954. Bila Perancis kalah - negara Vietnam terbagi dua - Vietnam Utara, Vietnam Selatan.

Amerika kuasa imperial baru muncul sesudah Perang Dunia Kedua hendak tunjuk gedebe. Amerika masuk campur menyokong Vietnam Selatan. Perang Vietnam bersambung. Amerika Syarikat di bawah Presiden Nixon (1969-1974) menyambung dan meneruskan Perang Vietnam (1955-1974).

Richard Nixon

Amerika menghantar beratus ribu soldadu ke Vietnam. Anak muda Amerika dipaksa menjadi soldadu. Ketika ini pencerahan politik antiperang mula merebak. Ketika ini juga gerakan anak muda, mahasiswa dan pelajar mula mengampuh. Anak muda dan pelajar bangun menentang draft - sistem paksaan menjadi soldadu.

Anak muda Amerika tidak mahu pergi mati berperang. Mereka menentang draft.

Suasana antiperang ini dibantu oleh kesedaran warga Amerika Kulit Hitam yang memperjuangkan civil rights – hak asasi kulit hitam semenjak 1954.

Dua kumpulan – kulit hitam dan pelajar kulit putih - mula bekerjasama. Mereka menentang Perang Vietnam. Keadaan ini mengancam Amerika, mengancam projek perang Vietnam oleh Nixon.

Apa Nixon lakukan?

Pada 18 Jun 1971 – Presiden Nixon melancarkan Perang Dadah. Nixon menganggap dadah sebagai musuh utama Amerika. Musuh Amerika ini wajib ditumpaskan di mana sahaja ia berada. Kokain dari Colombia, candu dari Segitiga Emas – Laos , Burma dan Siam – wajib diperangi.

Apakah sebenarnya niat Nixon dengan Perang Dadah?

Amat jelas Perang Dadah mengalihkan pandangan rakyat Amerika terhadap Perang Vietnam yang semakin ditentang oleh rakyat Amerika dan rakyat dunia.

Perang Dadah juga memerlukan senjata. Maka industri senjata dan tokan senjata – industri militari - amat-amat bersyukur. Bukan hanya ada Perang Vietnam, kini Perang Dadah juga sampai. Kilang senjata bekerja 24-7.

Baik betul hati Nixon ini. Kalau dulu Baginda Queen dan tuan Gabenor Malaya meluluskan Akta Racun 1952 untuk menjaga kesihatan rakyat hanya untuk Tanah Melayu. Nixon lebih hebat. Nixon mahu seluruh warga dunia sihat tanpa tersedut racun dadah. Nixon memerangi dadah di seluruh dunia.

Kenapa Nixon menjadi presiden yang amat baik?

Nixon lawan gerakan kulit hitam

Bro, lu jangan silap baca. Projek Perang Dadah Nixon ini ada agenda tersorok. Nixon melancarkan Perang Dadah ini ialah untuk menumpaskan gerakan kulit hitam yang semakin tersusun, semakin berani dan telah mendirikan pasukan bersenjata kulit hitam – Black Panther.

Black Panther telah meradikalisasi bukan hanya anak muda kulit hitam malah anak muda kulit putih juga telah menjadi radikal. Kini gerakan anak muda antiperang, kumpulan kulit hitam sedang menyusun warga Amerika untuk membawa politik baru yang keluar dari sistem dua parti – Demokrat dan Republikan.

Bro, ketika ini Nixon sedar jika suasana politik baru ini diteruskan maka kuasa imperial Amerika akan ditentang.

Tahun 60-an, di zaman Perang Vietnam dan di era Rock n Roll, Woodstock (bawah) menghisap ganja adalah perkara biasa di kalangan anak muda, pelajar, seniman dan para intelektual. Ganja dihisap tanpa sekatan.

Nixon melalui Perang Dadah telah menjadikan ganja musuh negara. Bila sahaja ganja diumumkan sebagai dadah merbahaya makan ramai para aktivis, pemimpin pelajar, para seniman dan para intelektual dicap sebagai penjenayah.

Memiliki ganja dicap sebagai jenayah.

Target utama anti ganja Nixon ini ialah anak muda dan kulit hitam. Gerakan kulit hitam ini wajib ditumpaskan. Maka ganja ditabur merata-rata.

Ditabur merata-rata? Apa logiknya?

Di belakang Perang Dadah Nixon ini ada lagi projek gelap yang amat gelap. Ada tokan yang besar. Lebih besar dari Jardine, Matheson & Co. Lebih besar dari Baginda Queen Victoria. Lebih besar dari East India Company.

Tokan baru dadah tahun 70-an telah beralih. Dulu milik kuasa kolonial Inggeris. Kini dadah milik kuasa imperialis Amerika.

Apa? Siapa di Amerika jadi tokan dadah? Mustahil Central Intelligence Agency (CIA) tidak tercium.

Bro, nak tahu siapa tokan dadah baru tunggu minggu depan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS