Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Sewaktu semua kapal terbang yang mahu ke luar negara masih beroperasi dari Subang, kami pernah pergi ke India.

Pada waktu itu juga apabila kapal terbang berada pada ketinggian 30,000 kaki satu lampu isyarat akan dinyalakan. Bukan lampu yang membenarkan kamu membuka tali pinggang keledar tetapi tanda kamu boleh mula merokok.

Ia juga petanda bahawa jika mahu, bolehlah minum arak ‘percuma’ yang mengalir deras di atas awan untuk mencapai ketenangan yang dilarang tuhan. Makan dan merokoklah kami dengan bersungguh-sungguh bagi menghilangkan dag-dig-dug yang kuat menghentam dada.

Ketakutan terapung di udara dan membenarkan nyawa kami dipegang oleh dua juruterbang hilang sedikit demi sedikit bersama asap rokok yang dihembus.

Kami terus merokok selama lapan jam pernerbangan dan berhenti hanya apabila isyarat larangan merokok terpasang.

Semua ketenangan menaiki kapal terbang sambil merokok kini hanya menjadi sebuah kenangan manis. Sekarang setiap kali menaiki kapal terbang, siapa pun yang duduk di sebelah kami pasti akan menyangka yang kami ini sedang dilanda serangan jantung.

Dada kami akan berombak kencang, peluh kami akan menitis banyak. Kami langsung tidak akan bercakap dengan sesiapa pun melainkan membaca apa saja ayat-ayat suci yang kami hafal.

Kami akan berada dalam ketakutan yang teramat sangat setiap kali terpaksa menggunakan kapal terbang. Biasanya kami akan menyamakan ketakutan ini dengan ketakutan yang akan kami alami bila nanti bersendiri di dalam kubur.

Banyak dalam filem lama

Memang itu pun yang kami rasa setiap kali menaiki kapal terbang, iaitu sendirian dan dalam kegelapan sambil menanti penentuan untung rugi penghidupan tanpa pengakhiran.

Jika bukan kerana iman yang sedikit, nyarislah kami meminta arak sebagai penenang jiwa.

Jalan raya di India pada waktu itu sama juga seperti hari ini: sesak dan teramat bising. Membunyikan hon adalah lebih mulia daripada memberi isyarat apabila mahu membelok atau memotong kenderaan lain.

Setelah pertama kali ke India dulu, kami beberapa kali lagi pergi ke sana. Kini jalan raya mereka makin dipenuhi kenderaan berjenama luar. Sebelum ini hanya terdapat kereta dari jenis Ambasador yang biasa kamu lihat dalam filem-filem lama Tamil dan Hindi.

Suzuki adalah syarikat yang paling awal dibenarkan masuk ke India waktu itu. Jadi selain Ambassador, kereta Suzuki Maruti juga kelihatan berlawan mencari ruang di sebalik beca auto, lori Tata, kereta kuda, kereta keldai, kereta unta, kereta kerbau dan lembu yang bermaharajalela.

Kini banyak kelihatan kereta Toyota, Honda dan jenama lain. Malah kini mula terdapat kedai yang menjual Ferrari, Porsche, Range Rover dan hampir semua jenama mewah dunia.

Kami tiba di New Delhi pada waktu malam. Apa yang paling kami ingat ialah betapa ramainya manusia berkumpul di sesuatu kawasan. Berpusu-pusu entah apa yang mereka cari. Setiap sudut penuh dengan manusia yang mencari ruang dan peluang untuk meneruskan hidup.

Dari beranda tingat empat tempat kami tinggal selama di New Delhi, kami dapat melihat pergerakan manusia yang laju ke sana-ke mari. Apabila sampai waktu tidur mereka seolah-olah secara automatik berhenti, membentang alas dan tidur di mana-mana saja.

Semua tempat kosong dipenuhi manusia. Kaki lima, taman bunga, pembahagi jalan, lorong depan dan lorong belakang. Di mana saja ada ruang, maka akan adalah manusia melabuhkan punggung membetulkan belakang untuk merehatkan tubuh letih sebelum bangkit kembali esoknya.

Di celah-celah orang dewasa yang terbaring keletihan itu, ada kelibat anak-anak kecil memeluk atau dipeluk ibu bapa. Kami berkata - dalam hati - apakah lagi kebahagian yang ada kepada mereka yang miskin ini selain daripada berkelamin dan memiliki anak-anak.

Hidangan istana untuk orang awam

Kanak-kanak ini nanti siangnya akan mencari barang lusuh untuk dijual atau menadah tangan kepada siapa pun yang lalu di depan mereka.

"Paisa, paisa, money, money bhai saab," kata mereka dengan muka penuh mengharapkan kasihan sambil sebelah tangan menadah meminta manakala sebelah tangan lagi dilayang pada hadapan perut mereka sebagai isyarat sedang lapar.

Jika kamu simpati dan menghulurkan wang kepada mereka, maka kamu perlu bersedia untuk dikerumuni. Demi sahaja kamu mengeluarkan wang dari saku, dengan sekelip mata akan datang - entah dari mana - puluhan kanak-kanak dan orang dewasa lain menghulurkan tangan.

Kawasan Old Delhi terkenal dengan makam keramat Wali Nizamuddin dan juga Karim Hotel.

Kata "hotel" di India biasanya bermaksud kedai makan. Kerana itu kamu akan lihat banyak warung digelar sebagai hotel di situ. Kerana itu semasa mula-mula diajak makan di hotel, kami agak teruja.

Karim Hotel yang menyediakan masakan istana Mughal itu mula dibuka pada 1913 oleh Haji Karimuddin iaitu anak kepada tukang masak maharaja terakhir India, Bahadur Shah Zafar.

Dia membuka Karim Hotel itu kerana mahu memberi peluang kepada orang ramai merasai hidangan istana.

Restoran yang terletak di celah lorong sempit itu menjadi terkenal dan hampir setiap masanya dipenuhi pelanggan.

Sementara itu, makam keramat Wali Nizamuddin pula adalah tempat yang amat mistik. Ianya dipenuhi oleh orang ramai yang bermohon doa, menunaikan hajat atau duduk-duduk melepak sambil tidak berbuat apa-apa pun.

Manusia pelbagai darjat, keturunan dan agama datang ke situ untuk membesarkan keramat itu, dan ianya sangat mengganggu. Kita yang tidak biasa dengan amalan-amalan bergendang dan menari, memeluk dinding kubur, menangis, menyembah dan sebagainya akan melihat perkara itu sebagai perbuatan yang menyalahi agama.

Di sebelah makam terdapat sebuah masjid yang katanya berusia lebih 500 tahun. Ia terletak betul-betul di dalam kawasan makam berkenaan. Orang ramai masih memilih untuk berdoa di hadapan kubur berbanding di dalam masjid.

Ada pendapat mengatakan mayat sebenar Nizamuddin Aulia itu telah dipindahkan dan yang dikuburkan di sana adalah bangkai kuda beliau.

Di kawasan itu dahulunya adalah tempat tinggal salah seorang pembesar istana Sultan Bahadur Shah Zafar. Beliau membina sebuah masjid kecil di dalam kawasan rumah untuk mengajar anak-anak dan keluarganya. Ia dipanggil Masjid Banglawali.

Perkataan "bangla" itu kemudiannya dipinjam oleh Inggeris dan disebut sebagai bungalow sepertimana mereka meminjam perkataan jungle, bandana, juggernaut, thug dan sebagainya.

Inggeris juga meminjam permata Khor-i-Noor milik India untuk diletakkan pada mahkota Queen. Mereka masih belum memulangkan permata tersebut kepada pemilik sebenarnya.

Satu rumah satu kerbau

Pembesar tersebut telah menjemput Maulana Ismail iaitu ayah kepada Maulana Ilyas untuk mengajar di masjid berkenaan. Maulana Ilyas pula menggantikan abangnya, Maulana Muhammad dan daripada beliau usaha membaiki amalan manusia ini berkembang ke seluruh dunia.

Masjid itu kemudiannya menjadi pusat gerakan dakwah kumpulan Tabligh sedunia.

Di kawasan-kawasan sedikit pinggir di Delhi, selain lembu, anjing, kerbau dan sedikit keldai dan unta, kamu akan dapati kawanan babi liar mencari makanan. Mereka bebas ke sana ke sini tanpa gangguan.

Jika ada pun mungkin anak-anak mereka yang comel itu dijadikan mainan oleh anak-anak kecil dan remaja setempat.

Mereka menangkap anak-anak babi itu dan memisahkan ia daripada ibunya. Menjerit-jeritlah anak-anak babi itu ketakutan sementara ibunya mengejar sambil tersedak-sedak. Kanak-kanak terbabit akan ketawa kegembiraan.

Kami memandang betapa mudahnya kehidupan mereka. Anak babi pun boleh mendatangkan seribu kegembiraan.

Masyarakat India tidak menjadikan daging babi sebagai makanan mereka. Untuk daging mereka lebih suka kepada daging kambing, kecuali di Goa. Mungkin kerana majoriti masyarakat Goa beragama Kristian maka kelompok terbabit dilihat sebagai 'rebel'.

Justeru tanpa rasa bersalah mereka menjadikan daging lembu sebagai sebahagian daripada menu biasa masing-masing.

Gambar hiasan

Jika pinggir bandar adalah sama kotornya dengan kota, maka kampung-kampung yang jauh di pedalaman India adalah lebih bersih. Kecuali sedikit anjing dan beberapa ekor kerbau di setiap rumah, kampung-kampung mereka juga bebas daripada babi.

Khabarnya kerajaan memberikan seekor kerbau kepada setiap rumah. Kerbau-kerbau itu digunakan untuk pertanian dan juga diternah untuk susunya.

Sementara itu najis kerbau pula dijadikan bahan bakar. Jarang kelihatan najis lembu atau kerbau memenuhi jalan-jalan kampung seperti di tempat kita. Najis haiwan ini adalah sumber pendapatan sampingan penduduk kampung.

Mereka mengadun najis dengan jerami lalu dibentuk menjadi leper seperti pinggan lalu mereka jemur. Selain untuk kegunaan sendiri, ianya juga dijual kepada peraih yang datang ke kampung-kampung mencari bahan perniagaan.

Jika kamu memang kaki ganja, pergilah ke Varanasi. Di sana terdapat gerai-gerai menjual 'bhang’. Bhang ialah nama lain bagi ganja. Di Varanasi kerajaan telah sejak sekian lama memberikan lesen kepada peniaga untuk menjual pelbagai variasi bhang. Yang terkenal adalah bhang yang dicampur ke dalam lassi.

Kerajaan India sebenarnya mendahului Belanda dalam menghalalkan ganja.

Di Masjid Banglawali kami sempat duduk dalam beberapa majlis yang dikendalikan oleh Maulana Innamul Hassan iaitu amir jemaah tabligh pada waktu itu.

Kami juga berkesempatan mendengar ceramah Maulana Umar Palampuri.

Menurut cerita orang, Maulana Umar menghafal al-Quran pada usia yang agak lanjut. Ini mengingatkan kami kepada sahabat kami, Fairuz, yang - setiap kali datang Ramadan - akan memperbaharui niatnya untuk menghafal al-Quran.

Fairuz masih berkesempatan melakukannya dan menjadikan keazaman Maulana Umar sebagai pendorong semangat beliau. Tidak seperti Fairuz, walaupun semua anak-anak beliau adalah penghafal al-Quran, Sharif Zaffar langsung tidak ada minat ke arah itu.

Mungkin kerana beliau sudah berpuas hati mempunyai anak-anak yang soleh, yang akan mendoakan keamanan alam akhirat beliau. Sedang beliau sendiri lebih suka menjadi anak yang tholeh kepada ibu bapa beliau.

Tipikal Melay punya Melayu.

“Apabila apa juga perbuatan tidak lagi menjadikan Quran dan sunnah sebagai panduan, maka akan berpecah mengikut kepentingan wang ringgitlah satu-satu perjuangan itu.”

Semoga Tuan Guru Haji Hadi diberi kesihatan yang baik.


ABDULLAHJONES terlupa kata laluan untuk semua akaun media sosialnya dan kini menulis hanya untuk menikmati proses itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS