Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Di muara Sungai Tungku yang menghadap Sungai Perak - jika waktu air surut - dikatakan akan nampaklah sedikit bangkai tongkang komunis yang tenggelam itu.

Sungai Tungku adalah salah satu sungai yang ada di kawasan Sungai Manik. Tempat itu dikenali 'Ban Komunis' kerana di situlah dikatakan ramai komunis terbunuh. Begitu pak imam itu bercerita kepada saya lebih 20 tahun lalu.

Tongkang itu tenggelam kerana terkena bedilan dari tongkang lain yang datang dari Sitiawan untuk membantu komunis dalam pertempuran. Diceritakan, pada waktu itu tiba-tiba saja kabus tebal menghalang pandangan. Akibatnya mereka sesama sendiri saling berbalas tembakan.

Pak Imam Shafie kata, itu adalah kuasa Allah SWT berkat doa para pejuang. Allah datangkan kabus tebal sebagaimana Allah hantar angin untuk memusnahkan bani Israel.

Mengenai cerita Bintang Tiga tidak nampak tentera Sabilullah apabila berhadapan, terdapat beberapa penjelasan mengenai cerita tersebut. 

Tentera Bintang Tiga dikatakan menembak ke langit kerana melihat ada lembaga yang sangat tinggi di depan mereka.

Mokhtar Zulkarnain (gambar atas) pun ada bercerita yang sama. Cerita itu memang popular dalam kalangan penduduk Sungai Manik. 

Mereka menceritakan bahawa tentera Sabil membakar kemenyan menggunakan api puntung rokok. Asap kemenyan itulah yang dikatakan membentuk lembaga besar tersebut.

Bagaimanapun menurut bekas tentera Bintang Tiga, mereka sengaja menembak ke udara sebagai memberi amaran agar tentera Sabil berundur.

Kata mereka, Bintang Tiga tidak bercadang untuk bertempur dengan orang kampung. Musuh mereka hanya kumpulan Kuomintang.

Kuomintang dengan komunis memang saling bermusuhan sejak mereka berkonflik di Tanah Besar China. Apabila datang ke Tanah Melayu, permusuhan itu berterusan apabila masing-masing mencari pengaruh dan membina rangkaian di sini.

Cerita lebih kurang sama

"Bintang Tiga akan mengalah kalau bertembung dengan pasukan orang Melayu," kata Au Heng Fong atau Afendi, nama samaranya semasa di hutan.

Afendi menyertai Bintang Tiga sejak darurat bermula dan kembali ke Malaysia selepas Parti Komunis Malaya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1986.

Dia bertugas di bahagian propaganda. Awalnya dia enggan ditemu bual tetapi akhirnya setuju selepas memahami tujuan kajian yang saya jalankan.

Menurut Imam Shafie tindakan Bintang Tiga berundur itu dianggap sebagai melarijab diri. Lalu berlakulah perbezaan tafsiran terhadap suatu tindakan yang sama.

"Kamu pergilah tengok!" Imam Shafie menegaskan lagi apabila melihat saya seperti meragui ceritanya.

Cerita tentang tongkang tenggelam juga saya perolehi di Lambor tetapi saya tidak pasti lokasinya. Cerita itu lebih kurang sama dengan cerita tongkang tenggelam di muara Sungai Tungku.

Sudah bertahun Pak Imam Shafie bercerita mengenai kejadian itu.Tapi itulah pertama kali saya berhenti di atas jambatan yang disebutnya dan merenung setajam-tajamnya pada airnya yang mengalir lesu. Sayang Sungai Tungku enggan bercerita pada saya.

Tidak dipastikan sama ada kumpulan komunis atau Kuomintang yang ke kawasan Sungai Manik melakukan onar. Kedua-duanya orang Cina.

Berdasarkan cerita lisan dan kajian yang dibuat, mereka datang dari Sitiawan melalui jalan air di sebelah barat. Satu lagi pasukan datang dari bahagian utara iaitu Mambang Di Awan dan Malim Nawar.

Pasukan itu menjadikan SJK (C) Wah Keow di pekan Langkap sebagai pusat gerakan mereka. Satu lagi pasukan berkemungkinan datang dari barat daya seperti Tronoh, Papan dan Pusing.

Kesan racun zaman gerila

Kemungkinan pasukan itu juga menguasai kawasan Lambor dan Beruas. Pertempuran yang berlaku di Kampong Gajah dan Balun Bidai berkemungkinan membabitkan pasukan tersebut.

Kebanyakan cerita Perang Parang Panjang hanya dari sumber yang sama. Pensejarahannya mungkin menjurus sesuatu yang tidak seimbang. Kita perlu menggabungkan pelbagai sumber untuk mendapat pandangan yang lebih seimbang dan adil.

Salah satu sumber yang perlu diambil kira sebagai sumber alternatif ialah buku yang ditulis oleh Abdullah CD. Cerita itu terdapat pada halaman 55 hingga 128 buku 'Bahagian Pertama, Memoir Abdullah C.D. Zaman Pergerakan Sehingga 1948'.

Dia masih hidup dan terlibat dalam episod tragedi tersebut.

Semasa ziarah saya ke Perkampungan Persahabatan di Shukhirin di Thailand dulu, tidak banyak maklumat yang dapat dikongsi. Hal itu kerana kesukaran Ketua Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) itu untuk bercakap.

Walaupun sihat tetapi dia sukar bercakap kesan termakan racun semasa bergerila berpuluh tahun silam.

Beberapa bekas anggota gerila PKM dan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) telah saya temui dan interview bagi melihat dari sudut yang berbeza. Kebanyakan anggota yang tinggal di situ tidak terlibat dalam Perang Sungai Manik. Ramai daripada mereka berasal daripada Temerloh, Pahang.

Mereka yang kembali ke tanah air selepas perjanjian damai kebanyakannya memilih Ipoh sebagai tempat tinggal.

Pada 1932, Jabatan Parit dan Taliair ditubuhkan British bagi membantu orang Melayu khususnya yang berbendang. Dengan adanya kemudahan itu maka mereka juga ada pekerjaan.

Tidaklah lagi mereka perlu mengharapkan ihsan raja, bantuan zakat fitrah, sedekah dan kemurahan alam.

Elak bangkit melawan

British membuat projek sistem pengairan dan membawa orang Banjar, Mandailing, Rawa (Rao) dan Jawa memajukan rancangan padi di Sungai Manik.

Kebanyakannya mereka berasal dari daerah Kerian, Sabak Bernam, Batu Pahat dan sebagainya. Pada awalnya British memberikan tanah tersebut kepada mereka yang tinggal perkampungan di sepanjang Sungai Perak. Namun kurang mendapat sambutan.

British telah menjadikan Sungai Manik sebagai jelapang padi kedua di Perak selepas di Kerian. Menjelang Perang Dunia Kedua, ada kira-kira 2,834 hektar bendang dalam daerag Sungai Manik.

Itulah antara kebaikan British kepada orang Melayu. Mereka mahu orang Melayu berdikari, bercucuk tanam, mempunyai pendapatan sendiri dan membekalkan bekalan makanan.

British bukan mahu kayakan orang Melayu tetapi dasar mereka ialah untuk memastikan orang Melayu tidak bangkit menentang mereka.

Orang Melayu ketinggalan dan mundur selama ini kerana kehidupan mereka serba sederhana. Melayu tidak diasuh menjadi masyarakat industri. Melayu dididik menjadi masyarakat yang berpuas hati hanya dapat menyara diri.

Melayu diajar untuk mentaati pemerintah dan rajanya agar dapat hidup aman walaupun dalam keadaan yang sangat sederhana.

Yang memiskinkan orang Melayu adalah orang Melayu sendiri. Melayu yang berkuasa.

Cerita pasal tongkang tenggelam memang belum selesai. Nantikan saja perkembangan lanjut apabila ada fakta baru.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS