Paling Popular
Terkini

Sehingga detik ini, sudah lebih setahun Malaysia bergelut dengan pandemik Covid-19. Saban hari situasi jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan semakin tinggi. Mana tidaknya, pada 15 Julai 2021, kita telah mencatat angka lebih 13,215 kes harian terbaharu.

Ini merupakan rekod baharu selepas selama dua hari berturut-turut sebelum ini negara mencatatkan lebih daripada 11,000 kes. Angka-angka ini di luar jangkaan kita dibandingkan dengan fasa awal kita menghadapi Covid-19 sebelum ini.

Ini merupakan indikasi jelas yang menunjukkan kegagalan kerajaan pada ketika ini untuk mengekang pandemik. Jangkitan yang semakin meluas berdasarkan angka-angka kes yang direkodkan kebelakangan ini telah memberi kesan besar kepada sektor-sektor lain.

Antaranya, ia telah membebankan sektor kesihatan negara, kemerosotan ekonomi sehingga rakyat hidup dalam keadaan melarat, meningkatnya masalah tekanan mental, serta keciciran pembelajaran dalam kalangan anak-anak yang tidak dapat ke sekolah seperti yang sepatutnya.

Keadaan ini merupakan ripple effect yang pasti akan meluas lagi ke sektor-sektor yang lebih jauh termasuk kesan terhadap pembinaan generasi akan datang.

Ketika ini rakyat masih bergelut kerana dirundung dengan kesan kegagalan kepimpinan negara kita mengawal penularan Covid-19. Pergelutan dalam kalangan sesama pemimpin negara masih tidak menghasilkan penyelesaian tuntas terhadap kemelut kesihatan serta sosio-ekonomi yang berlaku sehingga saat ini.

Gesaan untuk menutup sektor perkilangan untuk membendung wabak Covid-19 telah dibidas dengan kedegilan satu pihak untuk terus membuka sektor perkilangan dengan alasan memastikan kelangsungan ekonomi negara berjalan dengan baik.

Perdebatan sebegini tidak akan timbul jika pemerintah pada ketika ini menyusun dengan baik perancangan serta perlaksanaan secara bertahap dari fasa awal negara dilanda Covid-19.

Sepanjang pandemik ini menular, pelbagai pihak yang mewakili kepentingan masyarakat awam telah mengetengahkan pandangan serta kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi pandemik serta kesan daripadanya.

Inisiatif yang diambil rakyat dalam mengemukakan pandangan-pandangan ini perlu diambil berat kerana ia pastinya disandarkan pada fakta serta bukti yang kukuh. Tidak salahnya untuk pandangan-pandangan ini dikaji serta dilaksanakan untuk menghuraikan kemelut yang sedang dihadapi negara pada ketika ini.

Akan tetapi ada pihak yang seakan selesa hidup dalam sindrom penafian di atas kegagalan serta kemusnahan yang diakibatkan dari tingkah laku tersebut. Penafian ini sudah ke tahap defensif sehingga menyalahkan rakyat. Bahkan ada yang mengalihkan perhatian dengan membuat dakwaan kosong bahawa seluruh dunia masih berada pada tahap kritikal seperti Malaysia.

Membuat perbandingan situasi kritikal yang berpanjangan yang kita alami adalah sama seperti negara lain adalah tidak adil. Satu contoh data yang boleh kita kongsikan adalah situasi di negara New Zealand di mana di saat ini jumlah kes keseluruhan yang dicatat adalah rendah iaitu sebanyak 2,790 kes setakat 14 Julai 2021, dengan peningkatan kes harian secara purata adalah empat.

Definisi kepimpinan kuat

Ada beberapa percanggahan pendapat mengenai tafsiran kepimpinan yang kuat. Hari ini mungkin ada yang lebih ke arah membuat perbandingan mudah dengan merujuk pada negara China serta Amerika Syarikat.

Kerajaan China kini berjaya mengawal pandemik Covid-19 dengan baik adalah kerana sistem pemerintahan komunis yang keras. Manakala Amerika Syarikat pula yang meletakkan demokrasi dan prinsip hak asasi manusia di hadapan dikatakan gagal mengawal pandemik ini dengan baik.

Maka, dengan perbandingan dangkal seperti ini akan disimpulkan dalam bentuk dakwaan bahawa kepimpinan kuat adalah bilamana kuasa penuh dan lebih kuat diberikan kepada kerajaan, dengan asas kononnya ia dapat merungkai masalah yang dihadapi dunia pada masa kini.

Melihat secara kritis senario yang berlaku dalam negara pada ketika ini, pengamatan cetek ini terbukti tidak berasas. Contohnya: hari ini kita bakal memasuki bulan kelapan tempoh darurat yang menyaksikan parlimen serta beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh aspek akauntabiliti dan ketelusan digantung.

Kuasa eksekutif bertambah hingga ditafsirkan oleh peguam negara sebagai berkuasa menentukan sidang parlimen pada bila-bila masa. Namun di sebalik pemusatan kuasa ini, pihak eksekutif ataupun kerajaan masih gagal membendung wabak Covid-19 ini yang masih berlarutan bahkan telah menyaksikan peningkatan drastik kes yang semakin mencanak naik.

Maka, teori kerajaan yang kuat dengan menafikan ruang demokrasi sebagai wahana memerangi Covid-19 ternyata terbukti gagal. Persoalan kini; bagaimana negara dapat membina keyakinan dalam kalangan rakyat mengenai dasar dan peraturan yang ingin dilaksanakan untuk menangani wabak ini?

Dalam hal ini, kepimpinan Jacinda Ardern boleh dijadikan contoh rujukan. Di New Zealand, perdana menteri menjelaskan secara jujur dan terbuka tentang ancaman Covid-19. Perlaksanaan dasar dibuat berasaskan sains dan data menerusi komunikasi yang baik dengan rakyat.

Kerajaan New Zealand juga bersikap terbuka terhadap semua pihak sebagai sebahagian daripada perlaksanaan mekanisme semak dan imbang serta proses untuk memutuskan dasar yang menyeluruh serta tuntas.

Tindakan ini yang membawa kepada kejayaan kerajaan di bawah Jacinda Ardern memayungi rakyat untuk memenuhi tanggungjawab yang dikongsi bersama untuk membendung wabak Covid-19.

Tulisan Shlomo Ben-Ami “Why democracies are better at managing crises” (Australian Strategic Policy Institute) menarik untuk dicermati. Beliau menekankan bahawa kebanyakan negara yang lebih berjaya memerangi Covid-19 adalah negara yang meletakkan demokrasi di hadapan.

Sebagai contoh negara Jerman pula, Chancellor Angela Merkel dilihat telus serta kemampuannya berkomunikasi secara berkesan dengan rakyatnya, membolehkan beliau mengawal keadaan di negara tersebut dengan baik. Selain itu, tindakan segera, tegas dan penuh tekad yang dilaksanakan Mette Frederiksen (pemimpin Denmark), Tsai Ing-wen (pemimpin Taiwan), Erna Solberg (pemimpin Norway), Katrin Jakobsdottir (pemimpin Iceland) Finland Sanna Marin (pemimpin Finland) membuktikan Covid-19 boleh ditangani tanpa menggadaikan amalan demokrasi.

Dalam masa sama, negara-negara yang disenaraikan itu wujud gerakan masyarakat sivil (CSO) yang turut berperanan kukuh sebagai agen semak dan imbang untuk memantapkan lagi dasar yang ingin dilaksanakan untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi masyarakat.

Kembali kepada senario di negara kita pada ketika ini, dalam kancah politik negara yang berentakan dan malap, sesuatu harus dilakukan untuk membuka jalan kepada solusi jangka panjang. Kita memerlukan kepimpinan yang kuat, dinamik serta telus sepertimana yang ditonjolkan kepimpinan-kepimpinan yang dinyatakan tadi.

Kepimpinan kuat yang bukan hanya datang sebagai susuk individu. Tetapi kepimpinan yang kuat perlu pembaharuan sistem yang dapat membantu kemandirian masyarakat untuk hidup dengan lebih baik.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS