Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Lebih 1.7 juta rakyat Malaysia mencari pekerjaan di luar negara pada tahun lalu. Ini jumlah yang ramai dan bukan kerana kurangnya perasaan cinta dan kasih terhadap negara.

Mereka memilih untuk bekerja di luar negara kerana ganjarannya agak lumayan dan memberangsangkan, peluang kerjaya yang tiada terhad dan rezeki yang memuaskan.

Seramai 54% diaspora Malaysia mencari nafkah di Singapura kerana dekat dan banyak pekerjaan yang menanti dengan gaji yang lebih.

Selebihnya ke Australia (15%), Amerika Syarikat (10%), United Kingdom (5%) dan UAE (2%) serta negara-negara lain.

Ada menganggarkan pengeluaran bakat ini mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara sebanyak 2%.

Tinjauan dalam talian Reddit Malaysia Ogos lalu mendapati majoriti responden yang tidak berpuas hati dengan kehidupan di Malaysia akan berpindah ke luar negara jika boleh.

Dalam tinjauan melibatkan 3,200 orang, mereka ditanya berkaitan idea mereka tentang tanah air dan bagaimana kehidupan mungkin berbeza di bahagian lain di dunia.

Hanya 9% daripada responden bersetuju bahawa mereka gembira tinggal di Malaysia dan tidak akan berfikir untuk berhijrah.

Saya juga akan meninggalkan Malaysia untuk bermusafir di Nigeria tidak lama lagi setelah lima tahun di New Zealand, setahun di Arab Saudi dan 17 tahun di UAE.

Mengapa saya memutuskan untuk pergi? Dalam keputusan saya untuk meninggalkan Malaysia, saya tidak memikirkan diri saya atau isteri. Kami selesa dengan kedudukan kami dan anak-anak semua sudah bekerja.

Saya telah pencen awal tetapi bekerja kembali untuk kepuasan diri, sehinggalah saya diserang strok tiga tahun lepas di Malaysia. Terpaksa saya meninggalkan terus UAE untuk menyusun semula kehidupan setelah menjadi OKU.

Saya berfikir tentang jenis masyarakat, memikirkan tentang pembohongan, rasuah, isu agama dan perkauman yang berleluasa. Sistem yang penuh dengan hipokrit.

Hari ini, apabila melihat kehidupan sebagai ekspatriat dulu, saya ingin terus hidup sebagai ekspatriat setelah apa yang saya lakukan tidak mendapat sambutan.

Selain ahli perniagaan dan ahli korporat saya juga penulis dengan memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sembilan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan serta menulis 22 buah buku, selain tulisan di akhbar dan majalah atas talian.

Dua bidang yang saya kecimpung, sastera dan sains.

Seperti ekspatriat yang bebas

Saya buat apa yang saya mahu lakukan dengan hati yang membara, seperti ekspatriat yang bebas menyuarakan pendapat.

Saya boleh pergi ke rumah kawan tanpa mengira bangsa atau agama dan menjamu selera. Kehidupan cukup baik dengan lebih 100 warganegara di UAE menjadi kawan. Tetapi tidak di Malaysia.

Di Malaysia ini semua tentang bangsa dan agama. Kalau membaca grup WhatsApp sesuatu kaum sangat perkauman dan menjadi sangat toksik.

Dasar perkauman dan budaya menggilap telah merugikan Malaysia. Secara umumnya, kebanyakan rakyat Malaysia mudah lupa.

Mereka lupa dan menjadi tidak peka terhadap semua skandal, pembohongan, rasuah dan dasar kerajaan perkauman yang dikenakan ke atas mereka.

Mereka lupa dan tidak bercakap tentang skandal BMF, Perwaja, kegagalan Forex, tender yang menguntungkan setengan pihak. tuduhan rasuah dan korupsi yang banyak, pertuduhan ditarik balik, kontrak berat sebelah yang biasa, urus niaga langsung tanpa tender.

Terdapat begitu banyak skandal.

Dalam beberapa bulan saja, kebanyakan orang sudah lupa. Dan datang pula skandal-skandal baru.

Semak apa yang dikatakan dalam beberapa khutbah di masjid. Dengan telefon pintar, ada segala-galanya serta-merta. Baca. Semak prosiding parlimen. Tonton YouTube. Ikuti TikTok, Twitter dan Instangam.

Hari ini, semuanya tentang isu bangsa dan agama. Banjir di Taman Sri Muda adalah contoh klasik.

Sejujurnya, rakyat biasa adalah Keluarga Malaysia yang sebenarnya. Tetapi ada beberapa orang yang degil dan bercakap tentang majoriti.

Orang politik pula, termasuk menteri yang dibayar cukai, gaji, elaun tidak cekap. Ini semua tentang kekal berkuasa dengan menggunakan media termasuk media sosial.

Bolehkah semua ini dibaiki?

Tetapi saya pasti kumpulan pemimpin semasa tidak boleh merealisasikan Keluarga Malaysia. Mereka tidak mempunyai kehendak.

Politikus tak cekap

Masalah telah turun ke tahap ini kerana kita membenarkan politikus yang tidak cekap membuat keputusan.

Dan beberapa politikus ini pula menghantar anak mereka ke luar negara, ke sekolah berasrama penuh manakala anak orang biasa bersekolah di sekolah tempatan dan sekolah agama.

Lihatlah kegagalan yang berterusan, lebih-lebih lagi dengan banjir yang melanda negara sekarang. Lihatlah penderitaan rakyat. Rakyat tidak mengundi untuk ini.

Terdapat ramai rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kaum, termasuk Melayu, kebanyakannya profesional dan ahli perniagaan, yang enggan pulang.

Apabila saya bertanya kepada mereka, mereka berkata mereka tidak mahu berkhidmat dengan rejim yang tidak cekap. Mereka letih.

Orang bukan Melayu di luar negara memberitahu mereka lebih suka menjadi minoriti yang diiktiraf di sana daripada menjadi warganegara kelas kedua di negara mereka sendiri.

Di luar negara, tiada kuota dalam institusi pendidikan, semua pengambilan adalah berdasarkan merit. Fakir miskin diberi bantuan tanpa mengira bangsa atau agama.

Sememangnya tidak semuanya sempurna dan tepat. Tetapi kita boleh memberitahu jauh lebih baik dan boleh tidur lena pada waktu malam.

Kita tidak perlu bangkit bimbang ahli politik mana yang akan membuat kenyataan tidak masuk akal yang dipenuhi dengan kebencian dan ketaksuban.

Terdapat banyak kumpulan WhatsApp yang berkongsi komen-komen sebegini - dari Glasgow ke Dunedin, dari New York ke Tokyo, daripada semua rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

Pegawai kerajaan di Malaysia dan luar negara juga menerimanya. Jika seseorang mengambil video banjir di Pahang dan menyiarkannya, seorang lagi di Los Angeles akan melihatnya serta-merta. Malah ada pakar asing untuk mengesahkannya secara percuma.

Asean telah mengambil langkah besar untuk ke depan sementara Malaysia, atas sebab politik, telah mengambil tempat di belakang.

Pada tahun 2020, kita mengharap yang terbaik tetapi saya perlu berhijrah. Negara kita mungkin lebih maju tanpa politikus lama tetapi politikus baru mungkin sama sahaja, kembali kepada asal.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS