Paling Popular
Terkini

KOLUM | Dalam perjalanan pulang daripada misi bantuan banjir di Segamat, kami lalu di kawasan parlimen Pagoh, kemudian Ledang. Kami dalam perjalanan kembali ke utara tanah air.

Kami berhenti sebentar di Galeri Darurat Bukit Kepong dan Pusara Pejuang Bukit Kepong. Papan tanda berwarna coklat yang menunjukkan tempat bersejarah itu menyambut setia.

Galeri itu ditutup kerana banjir besar menenggelamkan sebahagian kawasan galeri. Kebetulan ia terletak di tepi Sungai Muar. Ada pemberitahuan disangkut pada pintu pagar utamanya.

Pada 1973 Ayub Kasim menulis tesis untuk ijazah pertamanya bertajuk Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong: Satu Post-Mortem. Ia mencatatkan bahawa berlaku banjir besar di situ pada 1969.

Banjir di Bukit Kepong itu memadamkan contengan jawi ‘Hapuskan Penjajah’ yang ada di dinding balai polis . Tesis itu mengambil sumber daripada temu bual Ayub dengan penduduk tempatan.

Barangkali agak meragukan juga kenyataan tersebut. Sayangnya salinan tesis itu hilang simpanan saya. Namun hal itu saya catatkan di dalam buku saya Mat Indera - Petualang atau Pejuang? yang diterbitkan pada 2012.

Ia muncul selepas berlakunya kontroversi mengenai Mat Indera.

Berdasarkan kedudukan balai polis itu yang berhampiran dengan Sungai Muar, tidak hairanlah kawasan berkenaan sering dilanda banjir terutama pada musim tengkujuh atau air laut pasang.

Serangan mengejutkan penjajah

Teringat filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin mengenai bagaimana perahu yang membawa mata-mata baru melapor diri di Rumah Pasung Bukit Kepong.

Orang awam yang menaiki perahu diserang oleh pasukan komunis yang bersembunyi di tebing sungai. Bagaimanapun, perahu orang awam dapat mengelak kejadian yang tidak diingini dengan menjauhi tempat serangan itu.

Serangan pasukan komunis itu adalah usaha mereka untuk menakut-nakutkan penduduk tempatan dan pada masa sama mencabar pasukan keselamatan. Ketika itu negara ini masih dalam darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan Inggeris bagi mengekang kemaraan penentangan politik terutamanya Parti Komunis Malaya.

Turut mendapat sokongan dan pengaruh ialah pejuang kemerdekaan tempatan yang muncul selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

Peristiwa serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu berakhir dengan 25 kematian termasuk keluarga anggota polis dan orang awam.

Serangan itu mengejutkan Inggeris. Penjajah kemudian menawarkan RM75,000 kepada sesiapa yang dapat menangkap Mat Indera.

Pusara orang yang terkorban dalam pertempuran itu terletak di sebuah kawasan perkuburan orang Islam di penghujung pekan Bukit Kepong dan di kaki bukit. Ada deretan kedai yang kebanyakannya dimiliki kaum Tionghua.

Kami membeli goreng pisang di sebuah gerai milik sepasang suami isteri Melayu di tepi jalan. Pagar pusara tidak berkunci tetapi kami terus pergi meninggalkan tempat tersebut kerana kesuntukan waktu.

Isu Mat Indera ke mahkamah

Kebetulan tarikh penghujung Jan ini seperti mengingatkan kita kepada detik penghukuman gantung hingga mati Mat Indera di Penjara Taiping oleh penjajah. Ia berlaku pada 30 Jan 1953.

Mat Indera dihukum kerana penglibatannya dengan aktiviti gerila komunis termasuk serangan ke atas balai polis di Bukit Kepong.

Peristiwa itu dirakamkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya novel oleh Ismail Johari yang bertajuk Bukit Kepong. Kemudian novel itu diadaptasi menjadi filem oleh Jins Shamsuddin dengan tajuk yang sama.

Kontroversi Mat Indera akhirnya membawa Mohamad Sabu ke mahkamah selama beberapa tahun. 

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2017 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth sebelum itu yang membebaskan Mohamad daripada dua pertuduhan memfitnah anggota keselamatan dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 2011.

Hakim Lim Chong Fong membuat keputusan itu selepas menolak rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan. Sebelum itu hakim Mahkamah Sesyen Butterworth membebas dan melepaskan Mohamad daripada pertuduhan berkenaan.

Bukan sekadar pameran

Banyak sisi yang boleh kita lihat daripada peristiwa yang berlaku lebih 70 tahun lalu itu. Semua sisi mempunyai kepentingan atau tujuan masing-masing.

Dalam dunia akademik, sesuatu hujah atau kenyataan perlu disandarkan kepada bukti kukuh. Sejarah lisan masih boleh digunakan sebagai sumber sejarah jika mematuhi prosedur-prosedur penyelidikan sejarah.

Ada sesetengah cerita sejarah yang bersalut dengan mitos. Ada juga cerita sejarah yang berbalut dengan ayat-ayat sentimen bangsa atau kelompok tertentu.

Sejarah yang bercampur dengan unsur mitos dan sentimen itulah paling sedap dijadikan bahan pembakar emosi pada masa tertentu dan berkepentingan.

Galeri dan muzium adalah satu kaedah membina perspektif serta naratif melalui bahan yang dipamerkan. Ia bukan sekadar pameran bahan atau poster-poster yang digantung. Ia adalah kaedah pendidikan bawah sedar dalam memberi pemahaman sesuatu peristiwa yang berlaku.

Bagaimanapun pendekatan pembinaan naratif dan perspektif melalui galeri belum begitu digunakan oleh kita. Kebanyakan galeri atau muzium dibina oleh kerajaan. Jarang pihak swasta, individu atau kumpulan persendirian mengusahakan galeri atau muzium.

Dalam masyarakat maju, mereka akan memperuntukan sejumlah wang untuk membiayai galeri dan muzium bagi masyarakat atau komuniti setempat. Bahkan ada yang mengusahakannya dalam bentuk komersial di samping membina naratif dan perspektif komuniti kepada masyarakat awam.

Sekitar pekan Bukit Kepong itu sendiri adalah bahan sejarah yang hidup. Sungai dan bukit itu kekal menjadi saksi peristiwa tujuh dekad lalu. Bahkan masyarakat yang tinggal di sekitar pekan tersebut sebenarnya memberi gambaran tentang latar belakang peristiwa Bukit Kepong.

Serang dari arah bukit

Tentu ada cerita lisan yang mereka warisi daripada nenek moyang yang masih segar.

Ketika berdiri di kaki Bukit Kepong itu, saya membayangkan bagaimana balai polis di tepi Sungai Muar itu diserang pada 23 Feb 1950. Serangan bermula pada jam 5.30 pagi. Ada anggota polis yang cuba menyelamatkan diri dengan menaiki perahu tetapi ditembak.

Di kaki bukit itu juga saya membayangkan bagaimana Bukit Kepong itu seolah-olah satu kepungan - seperti kenyataan Mat Indera - yang diketuai Lee Cong.

Pasukan itu dibantu oleh satu platun diketuai Tan Guat dan Abdul Kadir Mar’ie di bahagian kiri balai. Mat Indera bersama Loo Seng mengetuai satu platun lain datang dari kanan balai.

Serangan itu juga dicatat dalam buku Abdullah CD yang bertajuk Memoir Abdulah CD.

Saya cuba mengagak-agak di mana letaknya Bukit Ma’okil seperti yang dilaporkan oleh Mat Indera semasa siasatan polis Inggeris. Melalui bukit itulah gerombolan komunis menuju Bukit Kepong.

Saya fikir, saya perlu datang lagi ke Bukit Kepong dan mendapatkan bantuan orang tempatan bagi memberikan gambaran yang lebih jelas. Mungkin ada pencerahan lain akan ditemui di situ.


MUHAIMIN SULAM ialah penasihat Nusantara Malaysia. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS