Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seringkali ahli politik keliru antara “kata-kata untuk menyuntik semangat”, dengan “analisis situasi untuk menelaah realiti”. Bersedia untuk senario terburuk tidak bermaksud kita menolak untuk membuat persediaan terbaik, apatah lagi “mengharapkan senario terburuk itu berlaku”. Siapa yang mendoakan dirinya ditimpa kemalangan atau dijangkiti penyakit kronik, sebaik sahaja membeli insuran?

Namun, Nurul Izzah Anwar terpaksa memohon maaf atas ramalannya bahawa PH memerlukan dua pusingan pilihan raya umum (PRU) lagi untuk menawan Putrajaya. Entah bagaimana unjuran tersebut boleh ditafsir sebagai “usaha untuk kalah”, sehingga mengundang rasa tidak puas hati dan sindiran pemimpin PH lain.

Apa yang pasti, tiada hujah atau statistik sandaran yang meyakinkan bahawa PH boleh menang dalam PRU terdekat. Apa yang ada cuma retorik untuk membakar semangat seperti “lawan habis-habisan” dan “berjuang untuk menang”. Bagaimana andainya idea yang mahu dilawan itu adalah nilai yang didukung sebahagian besar pengundi? Apakah mekanisme yang dibina untuk mengolah restu mereka, atau mengimbangi dua pandangan yang berbeza?

Apa pun, sama ada PH benar-benar memerlukan dua atau lebih PRU lagi untuk kembali berkuasa atau tidak, ia bergantung kepada pergolakan politik tanah air yang ada kala didatangi perubahan secara tiba-tiba seperti Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Cuma, setelah mengharungi pengalaman 22 bulan selepas 9 Mei 2018, barangkali PH perlu menyambut “perubahan” ini dengan persediaan yang lebih rapi, jikalau ia menjelma.

Keabsahan PH dalam masyarakat Melayu

Berdasarkan statistik keputusan PRN Melaka dan Johor, tidak mudah untuk PH meraih paras 30 peratus sokongan pengundi Melayu. Ia walaupun mereka merangkumkan Muda, Pejuang dan Warisan ke dalam khemah besarnya, yang tiada ruang untuk Bersatu dan PAS.

Senario ini amat berbeza dengan Umno-BN, yang andainya menang bakal mencakupi kira-kira 50 peratus, kalaupun tidak lebih, sokongan pengundi Melayu. Malah, seandainya Umno-BN terpaksa membentuk kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN) semula, sudah tentu sekutu politik ini mengumpul sokongan majoriti pengundi Melayu.

Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga Umno, PAS dan Bersatu menampilkan diri mereka sebagai parti Melayu-Muslim dan imej ini terpahat sebagai persepsi umum.

Sesungguhnya, sesebuah kerajaan sah dari segi undang-undang selagi calonnya mendapat undi tertinggi dalam kawasan yang ditandingi dan bilangan kerusi yang diperolehinya melepasi majoriti mudah, tanpa mengira peratusan atau nisbah sokongan kaum. Namun, pengalaman pemerintahan PH selama 22 bulan memperlihatkan bagaimana persoalan “legitimasi” atau “keabsahan sesebuah kerajaan” dalam kalangan etnik majoriti khususnya, boleh meruncing ketika berdepan dengan konflik politik identiti, misalnya agama, bahasa, dan kaum – sehingga mencetuskan ketidakstabilan.

Untuk menerangkan konsep “keabsahan” di sini, contoh paling mudah adalah keabsahan MCA dalam kalangan masyarakat Cina yang semakin terhakis sejak PRU12. Apapun kenyataan mahupun dasar yang dilaksanakan pemimpin MCA sejak 8 Mac 2008, ia sama ada ditolak atau diperlekeh oleh masyarakat Cina.

Cuma impaknya tidak terlalu besar kerana sekutunya Umno masih meraih sokongan majoriti Melayu sehingga ambang PRU14. UMNO di bawah pimpinan Mahathir Mohamad pernah dipertikaikan “keabsahannya” selepas PRU10 apabila gelombang Reformasi hampir menenggelamkan parti Melayu itu.

Namun pemerintahan autokrasi Mahathir Mohamad telah melanjutkan kelangsungan Umno dan berjaya kembali menawan hati Melayu dalam PRU11 setelah dia berundur.

Apa yang pasti, mustahil PH mengamalkan pemerintahan kuku besi untuk mematahkan pertikaian “keabsahannya” dalam masyarakat Melayu. Bukan sahaja pemerintahan autokrasi bercanggah dengan idealisme yang didukung PH selama ini, malah agak sukar pemerintahan seumpama ini diberi laluan dalam situasi politik terkini.

Dengan kata lain, PH terpaksa berdepan dengan rakyat dan mengolah persetujuan masyarakat umum.

Politik identiti bukan lagi isu alih fokus

Tanpa “keabsahan”, sesebuah kerajaan menjadi serba salah atau teragak-agak apabila mengendalikan perbezaan untuk memenuhi tuntutan komuniti yang berbeza. Isu ratifikasi Icerd dan Statut Rom, pengiktirafan UEC, pengenalan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan, kematian anggota bomba Muhammad Adib dan lain-lain, sudah memadai untuk menggilap semula ingatan kita bagaimana PH hampir lumpuh ketika diasak dari kiri dan kanan oleh komuniti yang berbeza.

Soalan mudah, andainya PH perlu berdepan dengan isu-isu tersebut sekali lagi apabila kembali berkuasa, apakah jaminan ia boleh dikendalikan dengan lebih baik berbanding pemerintahan kali pertamanya?

Politikus boleh mendabik dada untuk menjawab “ya”, namun realiti mencerminkan sebaliknya. Bayangkan, seandainya seorang Muslim masuk ke sebuah kedai serbaneka dan mengugut untuk membuat laporan polis jikalau juruwang yang beragama Islam meneruskan transaksi jualan arak kepada seorang non-Muslim, apakah reaksi kerajaan PH? Atau seandainya seorang Muslim masuk ke kedai buku dan menuntut agar kesemua buku yang bertemakan LGBT diturunkan dari rak, apakah tindakan kerajaan PH seterusnya?

Hakikatnya, kejadian ini pernah berlaku dan kemungkinan berlaku lagi pada masa depan. Isu-isu sedemikian tidak boleh lagi ditempias dengan hujah “ia sekadar isu yang dimainkan untuk mengalih fokus kita terhadap skandal rasuah”. Ini kerana pendirian kita terhadap isu-isu ini akan memberi kesan terhadap pentafsirsan semula hak asasi dan ruang kebebasan dalam masyarakat berbilang ini.

Sementara komuniti berfahaman liberal dan non-Muslim cenderung untuk menilai dari perspektif hak asasi dan kebebasan amalan cara hidup, sesetengah komuniti muslim pula mengambil kira faktor keimanan, kesucian dan kesempurnaan pengamalan agamanya. Maka ia satu cabaran bagaimana kerajaan mengimbangi keperluan komuniti yang berbeza dalam sebuah masyarakat majmuk. Retorik seperti “kita bersikap terbuka, adil, inklusif” dan sebagainya tidak bermakna andainya pemimpin PH gagal menyatakan pendirian mereka dengan jelas, disusuli dengan langkah penyelesaian yang terperinci.

PH sendiri berbeza pandangan

Jikalau ditanya, mengapa tiada pendirian yang jelas daripada PH, dalam isu arak jenama Timah, pertukaran agama tiga orang anak Loh Siew Hong dan sebagainya?

Jawabnya, pendirian PH mungkin berbeza dengan pandangan arus perdana komuniti pengundinya. Pemimpin DAP kelihatan lebih lantang dalam isu-isu sebegini kerana kerusi yang ditandingi majoritinya kawasan bandar dengan nisbah pengundi non-Muslim yang tinggi. Pemimpin PKR dan Amanah yang memerlukan sokongan pengundi Muslim pula teragak-agak kerana tersepit dalam dilema.

Mereka tidak berani menongkah arus perdana dalam masyarakat Melayu dan takut hilang sokongan pengundi bukan Melayu jikalau akur dengan pandangan majoriti Melayu. Mungkin juga, mereka sebenarnya bersetuju dengan pandangan arus perdana dalam masyarakat Melayu.

Tanpa satu pendirian jelas dan tegas yang disepakati kesemua parti komponen PH, gandingan parti politik ini ditakdirkan gagal bergerak lebih jauh. Ia berakhir dengan pemimpin Melayu-Muslim PH menyindir BN dan PN serta isu bila arak, judi dan Dong Zong akan diharamkan; sementara pemimpin bukan Melayu-Muslim PH pula mengecam sekeras-keras dasar BN dan PN yang dianggap konservatif.

BN dan PN pula sekadar membalas dengan naratif yang logiknya mudah – dasar pengislaman dan pembelaan Melayu gagal dilaksanakan sepenuhnya kerana Umno/PAS tidak cukup kuat untuk mendominasi keadaan, maka mereka memerlukan lebih sokongan Melayu-Muslim supaya mampu menangkis ancaman bukan Melayu-Muslim.

Lantas DAP akan dikekalkan sebagai parti pembangkang terbesar untuk dijadikan sebagai “ancaman yang menggugat Islam dan Melayu”. PKR dan Amanah yang bertanding untuk menentang Umno, PAS dan Bersatu akan dihimpit ke pinggir gelanggang politik.

Projek reformasi minda

Justeru itu, sememangnya PH memerlukan masa untuk mencari permuafakatan bukan sahaja sesama parti komponen, tetapi juga antara komuniti yang berbeza dalam masyarakat.

Satu generasi anak Malaysia perlu dipupuk, dengan kesedaran menghormati semangat kedaulatan undang-undang, memahami masyarakat dengan ilmu sosiologi, budaya, sejarah, ekonomi, perancangan pembangunan dan sebagainya.

Sudah tentu ia menuntut rombakan sistem pendidikan untuk mempersiapkan generasi muda dengan kesedaran sivik. Untuk golongan masyarakat yang sudah meninggalkan institusi pendidikan, mereka perlu diasuh dengan media yang profesional dan tidak terikut-ikut dengan naratif yang membingkaikan segala isu dalam perspektif kaum dan agama.

Masyarakat ini harus dididik untuk membezakan antara laporan dengan ulasan, antara berita dengan propaganda, dan bukan sekadar mengangguk kepada apabila dihadapkan dengan kesemua kandungan yang serasi dengan selera kita.

Kita memerlukan cendekiawan yang otaknya sarat dengan pelbagai ilmu pengetahuan untuk menembusi monopoli suara konservatif dalam ruang wacana awam; kita memerlukan pemimpin politik yang jujur dan berani untuk mempertahankan pendiriannya ketika berdepan dengan semua komuniti dalam masyarakat berbilang ini, dan kita memerlukan anggota masyarakat yang celik untuk membezakan antara yang benar dengan yang batil.

Entahlah berapa pusingan PRU lagi yang diperlukan untuk sampai ke destinasi ini.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS