Modul hubungan etnik dan autonomi Universiti
Selepas membaca wawancara Prof Shamsul Amri Baharuddin sebagai Ketua Penyunting Modul Hubungan Etnik (MHE), dan ulasan terbabit oleh dua orang tokoh akademi yang boleh dianggap sebagai 'guru' beliau Prof Syed Husin Ali dan Dr Lim Teck Ghee saya rasa Prof Shamsul perlu bersikap lebih rendah hati dan 'kritikal' dalam menangani tugasnya yang amat berat itu.
Pada prinsipnya, Prof Syed Husin Ali menegaskan beliau tidak setuju dengan tindakan kerajaan campurtangan dalam menyiapkan kursus akademik di universiti, ia akan mengakibatkan keluputan autonomi dan maruah universiti yang perlu dipertahankan.
Prinsip autonomi universiti ini disetujui Dr Lim Teck Ghee yang turut menyoalkan kesesuaian penyuntingan MHE yang perlu diluluskan oleh Jemaah Menteri sebelum ianya disiapkan.
Selepas membaca wawancara Prof Shamsul Amri Baharuddin sebagai Ketua Penyunting Modul Hubungan Etnik (MHE), dan ulasan terbabit oleh dua orang tokoh akademi yang boleh dianggap sebagai 'guru' beliau Prof Syed Husin Ali dan Dr Lim Teck Ghee saya rasa Prof Shamsul perlu bersikap lebih rendah hati dan 'kritikal' dalam menangani tugasnya yang amat berat itu.
Pada prinsipnya, Prof Syed Husin Ali menegaskan beliau tidak setuju dengan tindakan kerajaan campurtangan dalam menyiapkan kursus akademik di universiti, ia akan mengakibatkan keluputan autonomi dan maruah universiti yang perlu dipertahankan.
Prinsip autonomi universiti ini disetujui Dr Lim Teck Ghee yang turut menyoalkan kesesuaian penyuntingan MHE yang perlu diluluskan oleh Jemaah Menteri sebelum ianya disiapkan.
Namun, Prof Shamsul sebaliknya amat berbangga dengan "keistimewaan bersejarah" modul itu, justeru kerana ianya "disunting, dikomen, dikritik dan diperbaik oleh para ahli Jemaah Menteri negara kita. " (Wawancara Mingguan Malaysia, 28 Januari 2007)
Yang dikesali ialah, menurut Prof Syed Husin Ali, semua anggota panel dan penulis bab-bab MHE terdiri hanya dari satu kaum dan terkenal pula sebagai penyokong kerajaan.
Lantaran itu, sumbangan badan dan parti politik yang pernah memainkan peranan besar dalam proses menyemai perpaduan antara kaum dan berjuang untuk kemerdekaan tulen negara seperti KMM, PKMM, apatah lagi PKM langsung tidak disentuh.
Politik perkauman
Perspektif sejarah ini amat penting, kerana tidak dapat dinafikan, dalam perjuangan anti-Jepun dan anti-penjajah British demi kedualatan dan kemerdekaan negara, badan dan parti politik nasionalis terbabit telah memainkan peranan utama dalam menggemblengkan tenaga patriotik berbilang bangsa untuk melawan musuh politik bersama, dan terjalinlah semangat setiakawan tanpa mengira bangsa dan agama.
Maklumlah juga, falsafah politik kongsi kuasa Perikatan/Barisan Nasional padahal berasaskan politik perkauman yang berteraskan Umno, yang secara terang-terangan melaksanakan dasar ketuanan Melayu dan bumiputraisme. Parti Komponen BN seperti MCA dan MIC dengan tidak berselindung mendakwa parti terbabit memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.
Jelasnya ketegangan hubungan etnik di negara kita padahal tidak terpisah daripada politik dan dasar-dasar perkauman Perikatan/Barisan Nasional selama ini.
Jika dasar-dasar kerajaan seperti ketuanan Melayu, hak istimewa Melayu, DEB, dasar bahasa pendidikan dan kebudayaan nasional yang bersifat perkauman atau dominan kaum majoriti tidak ditinjau semula dari perspektif hak-hak asasi manusia, hak-hak minoriti dan kesamarataan kaum selepas negara kita mencapai kemerdekaan selama setengah abad, sebaliknya terus dipertahankan, maka pendekatan pesimistik yang melihat Malaysia dalam keadaan genting dan meramalkan sesuatu kejadian buruk akan berlaku itu mungkin akan menjadi kenyataan.
Dan pendekatan optimistik dan konsensus yang melihat Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa berunding dalam setiap peringkat dan waktu, malah proses perundingan itu menjadi titik penyelesaian seperti selalu diwar-warkan oleh kerajaan dan dipercayai Prof Shamsul mungkin juga terbukti hanya retorik propaganda BN, Peristiwa Kampong Medan adalah suatu contoh yang baik.
Prof Shamsul tidak dapat tidak mengaku hubungan etnik kita sentiasa dalam suasana "stable - tension", tetapi yang ditekankan ialah "stable", dan "tension" pula didramatisasikan sebagai sesuatu yang begitu "puitis" sekali!
Katanya, "tension" bukan maknanya tegang seperti senantiasa nak bergaduh, tetapi tegang macam tali gitar. Kesemua tali sesebuah gitar perlu "tension" kerana jika tidak, ia tidak akan mengeluarkan bunyi yang harmonis dan merdu. Maknanya, keharmonian kaum negara kita adalah hasil ketegangan kaum teori apologis ini memang jauh panggang dari api!
Sikap apologis
Mungkin sikap apologis tersebut telah mengakibatkan MHE terbabit, seperti anggapan Prof Syed Husin Ali dan Dr Lim Teck Ghee, tidak mencapai mutu sewajarnya sebagai sebuah kursus peringkat universiti.
Di samping itu, Dr Lim Teck Ghee telah memberi teguran bahawa modul terbabit:
Amat tersekat dalam memperolehi input daripada pihak awam berkepentingan dan profesion yang lain;
Kekurangan tukar fikiran antara idea-idea yang berlainan, pendekatan yang diambil mirip dikenakan dari atas secara tidak demokratik;
Prosedur persiapan modul diamanahkan kepada seorang individu dan pasukan penyelidik pilihannya padahal bercanggah dengan tujuan kursus demi menggalakkan kemahiran pemikiran kritikal dan memupuk ketelusan dan keterbukaan;
Maklumat mengenai draf modul wajar diberi kepada orang awam dari mula-mula lagi; dan
Mengesali keengganan Prof Shamsul mendedahkan pasukan penyelidiknya dengan alasan yang tidak munasabah, dan menyeru agar diumumkan senarai pasukan penyelidiknya.
Dr Lim juga menyeru agar Prof Shamsul menyokong kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh 16 buah badan bukan kerajaan pada 29 Jan 2007 yang menuntut lebih ketelusan dan partisipasi awam agar input-input mereka dapat diserapkan.
Prof Shamsul seolah-olah tidak bersedia untuk berganjak. Beliau menegaskan tidak akan menukar isi kandungan modul terbabit lagi. Beliau yakin untuk menghadapi 300 orang akademi dalam program TOT (Training of Trainers Programme) yang juga dipertanggungjawabkan kepada beliau.
Tegas beliau: "Saya tidak tahu mereka dari berapa parti politik. Saya kena menanganinya. Saya kena menghadapi mereka umpama saya menghadapi setiap ahli Parlimen." Nampaknya beliau telah tampil ke garis depan dalam gelanggang politik yang disediakan oleh kerajaan, dengan moral yang masih tinggi.

