Tulisan ini tidak terlalu luar biasa. Membicarakan serangkaian hal yang dituturkan. Cakap-cakap tentang tahu. Tahu, mengetahui dan pengetahuan. Apa perlu kita tahu? Mengapa kita bukan sekadar disuruh menuntut tahu? Anehnya, tahu belum tentu faham? Tetapi faham itu sudah tentu tahu? Ketika faham memang tahu?
Kita sedang bergerak dalam zaman manusia bercakap dengan dinding. Manusia memuntahkan apa yang mereka fikir. Ada masanya terjebak dalam simpang siur, larut dan menepu. Merusuh lagi. Mencari jalan lurus di susur yang bengkok-bengkok.
Apa yang ditakrif sebagai mengetahui bukan sekadar kebolehcapaian manusia mendapatkan pemberitahuan. Padahal Sesudah pertemuan diberikan tahu; ia sebelum lagi bermakna kita telah mengetahui. Secara sederhana dapat dikata bahawa kita pelanggan yang cuma berada di lapisan luar pengetahuan itu sendiri. Masih lagi sebatas tahu dan mengetahui.
Pengetahuan bukan mengetahui sesuatu perkara tanpa menumbuhkan kesedaran. Kesedaran itulah mendewasanya ilmu. Dapat saja orang punyai pengetahuan separas tahu tanpa suburnya kesedaran pengetahuan. Namun memiliki kesedaran pengetahuan memerlukan jerih yang tidak mudah. Payahnya beban bergalas. Mewakafkan masa kerananya seperti tiada terhitung.
Manusia ini begitu puas. Mengetahui dirinya dalam ketidaktahuan. Ketidaktahuan itulah pengetahuan tentang ketidaktahuan dirinya sendiri. Pengetahuan tentang ketidaktahuan itu bermanfaat untuk dirinya mengenali pengetahuan itu sendiri. Aneh yang dikatakan manusia, Tuhan memberikan pengetahuan untuknya menjadi semakin tidak mengetahui. Ketidaktahuan itulah nanti memberikan pengetahuan bahawa segala pengetahuan itu hanyalah milik Tuhan-Nya. Manusia seakannya cuma diberikan kefahaman bukannya pengetahuan.
Kefahaman sebagai salah satu sifat pengetahuan. Kefahaman sebagai anugerah terindah ketidaktahuan. Manusia melalui jalan-jalan kefahaman. Jalan-jalan yang beragam mengikut perkadaran kemampuannya. Jalan kefahaman itu beribu-ribu namun tujuannya masih tetap satu iaitu kebenaran. Pengetahuan manusia terbit (dan tersimpan) dalam penyebatian ketajaman capahan fikiran dan kedalaman renungan jiwa. Kedua-dua perkara ini saling bertautan dan melengkapi.
Segala bidang-bidang ilmu bagaikan titik-titik bintang di langit malam. Titik cerah tadi akan memukau orang yang memerhatikannya. Orang yang bijaksana melihat taburan bintang itu akan cuba membuat garisan dari satu titik ke titik lain. Titik-titik tadi dapat dihubungkan dengan garis-garis tersebut. Dari sini terbentuk petunjuk arah yang semakin jelas. Dari mana anda menggaris di satu titik ia akan sampai ke satu titik lain.
Kita memerlukan kejernihan batin dalam menekuni pengetahuan. Di saat kebolehcapaian maklumat berselerak, yang tidak membuatkan kita semakin mahir memilihnya dengan cermat. Pertanyaannya, mengapa satu-satu fakta yang diketahui secara bersama difahami dalam dimensi yang berbeza? Ini bermakna kefahaman manusia tidak pernah seragam. Kita mentafsir fakta dalam waktu dan ruang yang rencam. Tapi kenapa kita selalu saja berbeza dalam mentafsirkan satu-satu fakta? Dalam realiti, ada ketika manusia bersikap bias. Selalu dijebak kepentingan.
Bermula dari guru yang mengajar
Faham, pemahaman dan kefahaman itu cabaran yang mengikat manusia dalam pencarian pengetahuan. Kita memulakan dari guru yang mengajar kita cara memegang pensil. Guru yang berusaha menghapus kebutaan terhadap huruf-huruf. Dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri. Kita nantinya mengenal tahu. Mengetahui yang menjadikan kita seorang manusia yang dianugerahi pengetahuan. Ada ratib madah menghantar pesanan bahawa setelah mengenal huruf disuruh melatih mahir pembacaan. Namun sudahkah kita tekun melarut dalam keintiman pembacaan? Adakah sesudah pembacaan kita masih berwatak keanak-anakan? Kita terbantut dalam kedewasaan pengetahuan?
Ada orang membaca buku kerana mahu menjadi Ashariyyah, Sufi, Syiah, Salafi, Liberal, Marxis dan entah apa lagi jelmaannya. Buku yang dianggap the other reading akan dihindari. Jika bertemu dengan orang yang membaca buku tersebut mereka dicemuh dan dilabel. Inikah sikap kita terhadap ilmu - yang kononnya kita mendakwa cintakan pengetahuan? Orang membaca tetapi tidak berhenti sejenak untuk berfikir. Pembacaannya tadi sekadar merefleksikan pengetahuan yang bersifat umum semata-mata. Mereka tidak berupaya mencerna hal-hal yang tak tercapai atau memang sengaja disembunyikan oleh sang pengarang. Orang yang sekadar membaca tetapi tidak berfikir sedang berada di luar orbit alam pengetahuan. Renungan dengan jiwa tercerahkan dapat merambah jalan lain dan membuka hijab pemahaman yang mungkin selama ini tidak disedari telah sedia wujud dari dalam misteri pengetahuan itu sendiri.
Membaca buku bukan kerana cantiknya kulit, tajuknya yang hebat, nama pengarang yang popular, nota kaki yang bertimbun atau bibliografi yang berjela-jela. Itu sekadar wasilah. Itu bukan titik noktah. Di balik semua itu temukan pengetahuan yang menghidupkan jiwa.
Ini bukan persoalan banyak atau sedikit buku yang dibaca. Tapi hal yang selalu membezakan adalah kefahaman. Kerana kefahaman menghimpunkan kepelbagaian kemahiran. Kefahaman juga sangat akrab dengan kejernihan hati seseorang menekuni pengetahuan. dan pemaknaan terhadap "al-Fahmu" janganlah disempit hanya "faham agama" tapi ia lebih mengakar ke seluruh pengetahuan. Kerana segala sumber pengetahuan sumbernya dari Tuhan.
Kita mungkin membaca buku yang sama. Mentelaah alam fikiran di setiap susunan huruf-hurufnya. Dari sinilah kita mencerapi makna yang mahu diungkapkan. Tentunya ia bukan lagi suatu hal yang aneh. Dua orang yang membaca buku yang sama masih mempunyai ragam kefahaman masing-masing. Begitulah setiap kita tumbuh dari kerencaman ranah yang kompleks. Ketika kita membaca senaskah buku 10 tahun lalu kemudian mengulangi pembacaannya hari ini ia tetap memulangkan kefahaman yang tersendiri. Alam pengetahuan yang kita kembarai kian melebar dan mencapah.
Membaca adalah kaedah mengupayakan potensi luaran sementara menulis pula mengupayakan potensi dalaman alam diri seseorang. Tautan ini terjadi secara spontan antara alam kesedaran dan alam bawah kesedaran. Kerana dalam setiap diri manusia ada ruang paling rahsia. Dalamnya bergumpalan sebatian jiwa dan fikiran. Manusia seakan dilahirkan semula setelah tautan-tautan tadi berfungsi dengan baik. Ledakan-ledakan sebatian tadi itulah kekuatan yang dilimpahkan dengan hikmah-hikmah yang bermanfaat. Semakin kita membaca dan berfikir, maka semakin tahulah bahawa terlalu banyak yang kita tidak tahu. Tapi anehnya manusia ini, kerana dorongan dari ketidaktahuan itulah manusia mahu menjadi lebih tahu biarpun akhirnya nanti manusia tetap terhapus dalam ketidaktahuan.
Kefahaman yang berpencar-pencar
Anehnya, kefahaman setiap orang masih tetap berpencar-pencar. Kita mengolah dan mentafsir segenap kata. Mengisi dan memberikan makna menurut pemahaman masing-masing. Semua orang menikmati kemanisan buah delima dengan mengunyahnya perlahan-lahan dengan mulut. Setiap orang memiliki tafsiran tentang sifat manis buah delima. Bagaimana tahap kemanisan dan keenakan yang sedang dirasainya? Pengetahuan yang mengakarkan kesedaran bagai rimbun pohon subur. Dipasak oleh banir yang melebar. Tiangnya gegap dengan ranting-ranting bercambah. Terhasil buah ranum lagi manis. Pengetahuan yang terkandung dalamnya seluruh kecintaan menghidupkan jiwa insan itu sendiri.
Pengetahuan memiliki tahap-tahap kemanisan yang berbeza-beza. Setiap orang mungkin terhenti atau bergerak ke tahap-tahap tertentu dalam perjalanan menerokai alam pengetahuan. Dan kerana manusia harus memiliki kecerdasan fikiran dan jiwa yang tercerahkan sebagai bekal menelusuri alam pengetahuan. Begitulah tabiat tersembunyi kesedaran tahu. Tiada berhujung ikhtiar mendapatkan. Hanya anugerah Tuhan yang empunya ilham. Tanpa diragukan lagi bahawa setiap pengetahuan ada misterinya yang tersendiri. Kita perlu menelusurinya melalui pintu yang telah ditakdirkan. Di alam pengetahuan, masih ada lapisan-lapisan hijab yang meliputinya. Kefahaman kita akan mengembara ke dalam ruang imaginasi. Dari pengetahuan formal sehingga ke titik ketiadaan. Akhirnya pengetahuan yang sesungguhnya menghuni dalam jiwa-jiwa insan yang tercerahkan.
Kita memulakan pembacaan dengan mencintai pengetahuan. Kerana-Nya itu ghaib. Pesona ajaib yang membakar seluruh jiwa. Cinta itu sebagai nyawa yang menghidupkan. Cinta yang menawarkan pengalaman. Cinta yang membenihkan pengetahuan. Cinta yang membuak gelisah sukma. Dari semua ini: sebelum cinta kita mencari pengetahuan. Sesudah gelisah kita menuliskannya.
MOHD ROSLI IBRAHIM antara penggerak kesedaran isu-isu OKU. Dia turut terlibat dalam bengkel-bengkel Disability Equality Traning (DET) di universiti dan jabatan kerajaan serta audit akses di Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ). Dia menghasilkan buku OKU Bangkit dan Gelap Mata: Percikan Renungan OKU Penglihatan. Buku terbarunya yang akan terbit ialah Masharakat Chantek. Fokus penulisannya meliputi agama, falsafah dan wacana perbukuan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
