Kalakian mengikut kata sahibul hikayat Sang Rajuna Tapa pun membukakanlah pintu kota Temasik. Maka meloroh masuklah tentera dan hulubalang Pateh Gajah Mada dari Majapahit. Sang Rajuna Tapa masuk sama ke dalam kota untuk mencari Raja Iskandar Kut yang zalim itu. Raja Iskandar Kut telah mencontengkan arang ke muka rakyat Temasik. Raja Iskandar Kut bertanggung jawab menyula Dang Anum puteri kesayangan rakyat Temasik. Bila rakyat melihat Raja Iskandar Kut cuba melarikan diri mereka pun membalingkan tombak dan lembing. Lalu Raja Iskandar Kut pun ditangkaplah oleh orang ramai lalu dibenamkan ke dalam ludah rakyat. Demikianlah kisah raja yang zalim yang perlu disampaikan buat ingatan anak cucu cicit kita adanya ("Hikayat Melayu" versi baru, DotMai). Minggu ini sebuah lagi purbawara dipentaskan. Kali ini temanya perderhakaan. Sayangnya ia dipentaskan pada tahun 2000, dari sudut pandangan politik moden konsep derhaka dilihat tidak lagi bermakna. Konsep derhaka kepada raja dan suku sakat feudal telah lama ditinggalkan. Menakut-nakutkan orang biasa dengan tulah, busung atau sumpah raja telah tidak lagi dipercayai orang ramai. Mungkin konsep derhaka terhadap ibu bapa seperti mitos Si Tenggang masih boleh dihayati. Tetapi dalam masyarakat moden konsep dan nilai ini juga semakin berkurangan. Manusia semakin rasional . Melalui perubahan asas ekonomi, cara manusia menyusun kehidupan dan nilai-nilai yang dianuti turut berubah. Justeru apabila Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Umno marah dan menuduh Mohamad Ezam Mohd Nor, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional sebagai penderhaka maka kelihatan purbawara ini telah menjadi pementasan "lawak bodoh." Tuduhan ini muncul selepas ketua pemuda itu mendedahkan pertemuannya dengan kedua-dua bakal Presiden Amerika Syarikat, Al Gore dan Bush, tetapi Dr Mahathir yang terlalu ingin untuk berjabat tangan dengan dua pemimpin Barat itu tidak dilayan. Lawatan Perdana Menteri ke negara itu hanya mendapat layanan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Washinton DC. Ezam dalam siri lawatannya ke Amerika Syarikat menerangkan kepada ahli politik, ilmuan Islam dan intelektual bukan Islam tentang keburukan sistem perundangan serta kehakiman dan kepupusan demokrasi di negara ini di bawah rejim Dr Mahathir. Akibat penerangan ini, Ketua Pemuda Keadilan dianggap menderhaka dan memalukan Malaysia. Perangai PM diketahui dunia Ada beberapa faktor yang wajib diterangkan di sini. Pertama, tidak salah dan bukan satu perderhakaan untuk bercakap benar walau di mana sahaja. Bercakap benar adalah nilai mulia yang wajib diperkukuhkan dalam masyarakat. Kedua, perangai buruk serta sikap autokratik Dr Mahathir telah diketahui di seluruh ceruk dunia ini. Ketua pemuda ini hanya menerangkan sesuatu yang telah diketahui umum. Membuang angin memang berbau busuk kepada sesiapa sahaja - sama ada Ezam memberitahu hal itu atau tidak kepada Al Gore atau Bush. Kentut tetap berbau busuk! Ketiga, menjadi tugas dan tanggungjawab Ketua Pemuda Keadilan untuk mencari dan menambahkan sokongan, sama ada dari dalam atau luar negara. Hari ini, apa yang penting dalam perjuangan meluaskan ruang demokrasi di Malaysia ialah meramaikan kawan dan mengurangkan lawan. Pemimpin politik dan pelabur Barat Eropah melalui kepentingan ekonomi melihat Dr Mahathir sebagai "celupar" dan cuba menghalang kemajuan mereka dengan melakukan tindak-tanduk yang dianggap bertentangan dengan hukum kapitalisme bebas. Namun, ia bukan pula bermakna Dr Mahathir seorang sosialis yang prorakyat. Dr Mahathir seorang penganut mazhab kapitalisme terpimpin. Sistem kapitalisme terpimpin khusus diwujudkan untuk mengenyangkan tembolok anak-pinak dan kroni Perdana Menteri. Media dan wartawan yang berhaluan liberal di Barat melihat Dr Mahathir sebagai tin pot dictator (pemerintah kuku besi kecil-kecilan) yang antidemokrasi dan antikebebasan bersuara. Mereka terus-menerus mengkritik dan meminggirkan beliau.. Kumpulan badan bukan kerajaan dan aktivis hak asasi pula melihat Dr Mahathir sebagai serpihan kelongsong Idi Amin, bekas pemimpin diktatot Uganda, yang telah ketinggalan zaman. Kumpulan seperti inilah yang dilihat oleh Dr Mahathir sebagi seteru. Bagaimanapun, dalam konteks perjuangan politik telah wujud titik pertemuan antara kumpulan ini dengan gerakan prodemokrasi di negara kita. Golongan yang menjadi seteru Dr Mahathir merupakan kawan kepada gerakan reformasi. Dalam taktik dan strategi perjuangan, seteru musuh kita adalah kawan kita. Negara hanya ruang imaginasi Satu perkara lagi yang wajib dijelaskan ialah memburukkan Dr Mahathir di mata dunia bukan bermakna memburukkan negara ini. Malaysia adalah satu konsep. Malaysia hanya satu ruang imaginasi yang tidak mungkin dapat diburukkan, dimalukan atau dicemerlangkan. Memburukkan Malaysia tidak mempunyai apa-apa makna. Malaysia tidak dapat menjawab, bersuara atau mengeluarkan pandangan. Suara Ezam bukan bertujuan mendedahkan keburukan Malaysia tetapi keburukan pemerintahan zalim Dr Mahathir. Beliau sengaja berbohong dengan cara menyamakan dirinya dengan Malaysia. Memburukkan Dr Mahathir bermakna memburukkan Malaysia, menurut logik hujah Perdana Menteri itu. Ia merupakan percubaan Dr Mahathir agar rakyat Malaysia tersinggung. Apabila rakyat tersinggung, beliau berharap mereka tidak akan menyokong Keadilan. Hakikatnya, Dr Mahathir bukan Malaysia dan Malaysia bukan Dr Mahathir. Justeru, seperti Sang Rajuna Tapa yang puterinya telah disula oleh raja yang zalim, maka tidak menjadi satu kesalahan atau penderhakaan apabila dia bekerjasama dengan Pateh Gajah Mada. Kepentingan Sang Rajuna Tapa dan kepentinagn Pateh Gajah Mada telah sampai ke titik pertemuan yang membolehkan mereka bekerjasama. -------------------------------------------------------------------------------- HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho. Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI beliau akan menulis isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.
