Kesedaran orang ramai terhadap penindasan dan kezaliman timbul bertahap-tahap. Dalam dekad pertama kemerdekaan, hanya Parti Komunis Malaya, Parti Buruh, PMIP dan Parti Rakyat yang melihat Umno dan Perikatan sebagai sebuah pertubuhan politik reactionary yang dipelihara dan ditunjang oleh British untuk menjaga kepentingan pemodal. Parti-parti ini terus menentang pelbagai dasar kerajaan Perikatan yang dikepalai Umno. Kecuali PKM yang berjuang mengangkat senjata, semua parti politik lain melawan Perikatan melalui jalan pilihanraya. Tetapi kerana musuh utama, penjajah British, telah berundur, maka parti-parti ini sukar mendapat sokongan orang ramai. Umno yang membawa garis politik konservatif telah menjalankan dasar-dasar pembangunan yang memihak kepada keuntungan kaum pemodal. Dasar-dasar prorakyat hanya diperjuangkan oleh parti-parti di luar kerajaan. Selepas 1957, Umno-Perikatan telah berjaya meninabobokkan rakyat. Politik konservatif ini disokong pula oleh pelbagai undang-undang seperti Ordinan Darurat 1948 dan akta keselamatan ISA yang telah membantu Perikatan menundukkan lawan politik mereka dan memperluaskan hegemoni Umno. Selama lebih 42 tahun hegemoni politik, Umno-Perikatan (kini Barisan Nasional) berjaya mengajak penentang politik mereka ke gelanggang politik yang berat sebelah. Parti Buruh yang pada satu ketika dianggap sebuah parti pembangkang yang berpengaruh telah sedar lebih awal tentang ketidakseimbangan perlawanan politik ini. Kader-kader dan pucuk pimpinan parti ini sering ditangkap dan dipenjarakan. Akhirnya ia hilang kepercayaan terhadap pilihanraya dan memansuhkan diri mereka sendiri. Hegemoni politik Umno telah meresap luas ke dalam semua ruang hidup rakyat negara ini. Tentangan, suara bangkangan dan pendapat yang berbeza tidak dihiraukan atau diambil kira. Ideologi hegemoni yang menzalimi rakyat negara ini bukan hanya bermula dengan pembuangan Anwar Ibrahim daripada Umno. Hegemoni yang kita lihat wujud hari ini adalah satu proses yang telah bermula semenjak British mengundurkan diri lagi. Garis politik propemodal yang konservatif yang dibawa oleh Umno adalah asas yang bertanggungjawab melahirkan hegemoni politik zalim yang wujud pada hari ini. Hegemoni dan garis politik Umno ini datang secara meresap. Resapan hegemoni kezaliman ini dihalalkan dan dikaburi pula oleh apa yang dipanggil Parlimen.
Anjakan paradigma
Lembaga parlimen secara bijak dan terancang telah dipergunakan untuk menghalalkan kezaliman yang wujud hari ini. Melalui lembaga parlimen satu demi satu undang-undang dan akta telah diluluskan.
Suara pembangkang di parlimen hanya digunakan untuk mengaburi mata rakyat dan menunjukkan bahawa telah ada "perbincangan dan berdebatan" sebelun rang undang-undang atau akta baru diluluskan. Walhal orang ramai dapat melihat kemustahilan pihak pembangkang untuk dapat melakukan sesuatu atau menentang kemaraan hegemoni kezaliman ini.
Resapan hegemoni Umno di luar parlimen juga berjalan dengan licik. Suara-suara bantahan akan dibeli, diugut, turned over, dirasuah atau coopted. Jika ada suara yang gagal ditundukkan maka tuan punya suara ini akan dipenjarakan atas "sebab-sebab keselamatan." Akhirnya hegemoni kezaliman ini telah dapat melemahkan atau memperkudakan pelbagai lembaga daulah.
Pengalaman melawan musuh politik telah mengajar Umno untuk menutup semua ruang yang mungkin memunculkan tentangan mereka. Raja, parlimen, lembaga keagamaan, media massa, kehakiman, kepolisan, pendidikan, kesatuan buruh dan termasuk persatuan pelajar telah ditundukkan oleh hegemoni Umno.
Pada tahun 2000 hegemoni Umno ke atas negara ini telah lengkap.
Hegemoni politik inilah yang mewujudkan Dr Mahathir Muhamad. Tanpa latar belakang dan garis politik propemodal yang dibawa oleh Umno seawal 1957, tidak mungkin seorang diktator boleh wujud. Harus diakui bahawa diktator bukan hanya wujud melalui rampasan kuasa. Diktator juga boleh wujud melalui proses pilihanraya seperti yang kita alami sekarang.
Justeru memusnahkan hegemoni ini tidak mungkin dapat dilakukan melalui pengunaan lembaga-lembaga daulah yang telah tidak berfungsi lagi atau disangsikan perjalanannya. Menggunakan lembaga-lembaga ini hanya akan menghalalkan penerusan hegemoni itu. Resapan hegemoni Umno-Barisan Nasional ini telah merebak semua superstructure daulah (rangka besar bernegara).
Justeru suara-suara alternatif wajib keluar daripada lingkungan pengaruh ideologi hegemoni ini. Sesiapa saja yang menentang atau cuba melawan hegemoni ini wajib dapat memikirkan sesuatu yang belum pernah difikirkan - to think beyond the thinkable. Di sinilah konsep anjakan paradigma wajib dilakukan. Di sini jugalah lateral thinking wajib digunakan apabila menghadapi hegemoni budaya kezaliman.
Menentang hegemoni tidak mungkin berjaya jika si penentang menggunakan jalur politik budaya hegemoni itu sendiri. Misalnya, jika musuh mengajak kita bermain bola untuk memperlihatkan siapa yang bijak, tidak semestinya kita turut bermain. Ini bermakna musuh telah menguasai padang, pengadil dan penjaga garisan. Kerana itu musuh berani menjemput kita bermain bola.
Merobohkan pemikiran
Hasilnya kita akan tewas. Seharusnya kita melakukan anjakan paradigma yang mewajibkan kita menolak bermain bola dan memilih untuk bermain kriket, misalnya.
Hegemoni ideologi Umno-Barisan Nasional sedang berjalan setiap detik dan ketika. Kerana ini adalah salah untuk kita berfikir bahawa hegemoni ini hanya boleh dilawan lima tahun sekali (ketika pilihanraya). Jika kita memiliki pandangan sedemikian, ini bermakna kita sedang menggunakan kerangka ideologi hegemoni itu untuk mendefinisikan diri kita. Hasilnya hegemoni kezaliman akan berterusan.
Selagi budaya dan ideologi hegemoni kezaliman dapat mendefinisikan apa yang betul dan apa yang salah, selagi itulah kezaliman bertapak kukuh.
Sebelum individu, kumpulan atau parti politik dapat merobohkan ideologi hegemoni yang dibawa oleh Umno, mereka terlebih dahulu wajib mengubah cara pemikiran yang telah dan sedang ditakluki oleh ideologi hegemoni itu sendiri.
HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho. Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI beliau akan menulis isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.
