Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Rencana ini panjang, dan ia tentang Adam Adli

Sebahagian besar sejarawan memperakukan bahawa gerakan kemahasiswaan memainkan peranan penting dalam sejarah politik negara khususnya pada tahun-tahun 1966 dan 1967. Pada 27 Mei 1966, gerakan siswa yang tidak tersusun sebelumnya menjadi impak politik yang bertaring apabila sudut pidato diperkenalkan di Universiti Malaya. 

Di sudut pidato ini mahasiswa berbincang mengenai pelbagai isu semasa dekad tersebut. Ketika era 1960-an itu, semakin ramai siswa dari pedalaman Malaysia berjaya menempatkan diri di menara gading seperti Universiti Malaya. Justeru, siswa ini berasal dari keluarga miskin dan memiliki jati diri atau identical ethnic characteristic yang kuat. Isu seperti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan, perbezaan kelas dan jurang ekonomi yang besar antara masyarakat bandar dan kampung, ketidakselesaan terhadap polisi-polisi pentadbiran Tunku Abdul Rahman misalnya diperdebatkan dengan meriah. Isu-isu ini dipanjangkan menerusi kawan-kawan sebaya dan segenerasi dan menjadi getar respon tanpa sekatan yang kuat.

Era tersebut juga ditandai oleh gerakan sosialisme yang bergaya dan fashionable yang dipinjam langsung dari Amerika Latin dan Eropah. Nama seperti Che Guevera dan Fidel Castro menjadi idola. Tulisan Jean Paul Sarte, dan Albert Camus, antara lain disebut dan dibincangkan. Falsafah eksistensialis dibincang dan dikupas. Kelab Sosialis UM menganjurkan aktiviti-aktiviti anti-establishment. Tingkah laku kiri dengan falsafah Barat sebagai lapik ini menjadi ideologi tunjang gerakan mahasiswa selama satu dekad kemudiannya. Juga, Kelab Sosialis UM sering menganjurkan perhimpunan dan tunjuk perasaan. 

Sebuah lagi organisasi yang terkenal dan berpengaruh adalah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). 

Untuk mengatakan hanya sosialisme sahaja memainkan peranan penting ketika era 1960-an dan 1970-an tidaklah sepenuhnya benar. Malah, nasionalisme turut mendapat tempat. Kehadiran ramai pelajar Melayu dari pedalaman dengan identiti kampung yang kuat telah mengikat sejumlah siswa, dengan kuat. Jatidiri kampung ini merujuk secara langsung kepada pengaruh ibu-bapa mereka. Istilah ‘kampung’ juga, walau tidak selalu, merupakan satu terma sosial untuk menjelaskan nilai tradisional dan ortodoks. Siswa dari kampung kebiasaannya berbangga dengan dasar fundamental Islam dan ia tidak semesti bermaksud mereka adalah ‘ultra-nationalistic’. Sehubungan dengan itu, siswa dari kelompok ini cenderung mempertahan bahasa dan budaya Melayu dan seterusnya agama Islam. 

Sebagai contoh, PBMUM berperanan dalam mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada 29 dan 30 Oktober 1966,  PBMUM menganjurkan sebuah seminar bahasa Melayu dan mendesak kerajaan supaya lebih serius dalam mengimplementasikan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional. Selain itu pada September 1967 mereka menganjurkan pula simposium untuk melihat masalah masyarakat pedalaman. Resolusi simposium tersebut adalah menghantar mesej yang jelas bahawa kawasan pedalaman telah tertinggal dari arus pembangunan dan tidak menikmati kek ekonomi yang wajar. Siswa menjadi juara kaum tani dan buruh. 

Sokongan kepada tokoh tani

Pada Oktober 1967, PBMUM turun ke jalan raya untuk menunjukkan sokongan kepada Hamid Tuah (tokoh tani yang ditahan pihak berkuasa kerana meneroka tanah di Selangor). Oleh kerana isu kaum bawahan ini turut dikongsi oleh Kelab Sosialis, serta merta Kelab Sosialis dan PBMUM bergabung tenaga untuk menjadi jurucakap kaum murbawan. Pada tahun 1973 apabila PBMUM beroleh ketua mereka yang baharu; iaitu Anwar Ibrahim, PBMUM menjadi strong pressure group yang mencabar establishment.

Hamid Tuah

Pada tahun 1974, dua faham yang berbeza dalam kalangan siswa iaitu sosialisme dan nasionalisme dirapatkan untuk menempa satu matlamat. Kelab Sosialis yang lebih kiri dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya yang lebih kanan mencapai satu kefahaman. Kedua-duanya bergerak untuk menganjurkan tunjuk-tunjuk perasaan yang besar, perhimpunan demi perhimpunan dengan jumlah kehadiran yang luar biasa untuk mendesak penyelesaian bagi masalah tani. Demonstrasi di Tasik Utara dan Baling pada tahun 1974 dianjurkan untuk membela nasib kaum tani yang kebuluran. Pihak berkuasa hilang sabar lalu melakukan penangkapan besar-besaran, antara crack down paling besar terhadap gerakan mahasiswa, lebih 1,000 pelajar dari pelbagai universiti khususnya Universiti Malaya ditahan. Mereka antara lain adalah Anwar Ibrahim. Terdapat juga pemimpin pelajar yang bolos ke luar negara seperti Hishamudin Rais.

Aksi besar di Baling ini membuatkan pemerintah berasa perlu mengawal gerakan siswa dan menumpulkan sisi tajam gerakan ini. Sebelum dari itu pihak pemerintah telah pun menggubal undang-undang untuk mengehadkan aktiviti siswa dalam tahun 1971. Kerajaan Barisan Nasional bertindak lebih keras dan mengetatkan lagi bahagian lompong undang-undang tersebut dengan pindaan pada tahun 1975 (iaitu selepas peristiwa di Tasik Utara dan Baling). Hasrat kerajaan adalah jelas, iaitu untuk ‘memandulkan’ gerakan mahasiswa dengan menganjurkan penubuhan sebuah entiti dalam kampus – Badan Hal Ehwal Pelajar. Peranan badan ini adalah untuk memerhati, mengawal dan mengurus selia pelajar. Pelajar-pelajar serta merta terhempuk dengan undang-undang draconian yang dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti. Menurut Wan Mohd Mahyiddin dalam Kepimpinan: Sorotan Pelbagai Aspek Bagi Meningkatkan Kualiti dan Pencapaian akta ini bertujuan untuk menyekat aktivisme mahasiswa; “pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada awal tahun 1971 adalah langkah yang bertujuan meredakan kegiatan-kegiatan politik seperti ini di kalangan pelajar.” 

Pada 20 September 1974, kerajaan telah berhasil mengambil alih seluruh kampus di Malaysia dan menubuhkan Majlis Tertinggi Sementara untuk mentadbir Universiti Malaya. Tidak lama kemudian kerajaan menubuhkan pula Majlis Tertinggi Nasional dengan memulangkan kuasa kepada Naib Canselor Universiti Malaya.

Seperti yang dinyata sebelum, Akta Universiti dan Kolej Universiti diperkenalkan mulanya pada 17 Mac 1971 dan mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971 untuk meredakan siswa. Namun begitu ia kelihatan gagal mencapai tujuannya. ‘Penambahbaikan’ dilakukan pada tahun 1975 dengan memasukkan klausa-klausa yang mengehad dan membataskan hak-hak asasi siswa.  Klausa 15, 16, 48, 49 dan 51 secara langsung menyekat kebebasan mahasiswa. Sebagai contoh klausa 15 menjelaskan pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi “ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu; atau terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus” (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971).

Klausa 16 Auku

Klausa 16 pula memberi hak penuh kepada kabinet untuk melantik atau memecat mana-mana Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor sesebuah universiti. Badan Hal Ehwal Pelajar ditubuhkan di bawah akta ini. Kesannya, selepas 1975, pertubuhan siswa yang berhasrat menganjurkan simposium sastera dan mengutip wang derma untuk mangsa bencana alam perlu mendapatkan keizinan  Badan Hal Ehwal Pelajar ini terlebih dahulu. Badan ini diletakkan di bawah Timbalan Naib Canselor sementara Naib Canselor pula perlu menjawab kepada kabinet. Birokrasi yang berlaku akibat dari penggubalan dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ini menyebabkan gerakan mahasiswa terkongkong.

Pada 17 Disember 2011, kira-kira seratus aktivis siswa telah berarak ke Putra World Trade Centre (PWTC) untuk menyerahkan memorandum yang dinamai ‘kebebasan akademik’ kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah. Ketika protes berlangsung, Adam Adli Abdul Halim, berusia 22 tahun, siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menurunkan bendera Perdana Menteri waktu itu, Najib Abdul Razak buat satu tempoh yang singkat. Aksi simbolik beliau mendapat kritikan meluas. Akan tetapi kritikan awam tersebut ternyata berlawanan dengan lebih 30,000 peers, atau rakan segenerasi yang mendokong beliau menerusi kempen Facebook, ‘We Are All Adam Adli’. Ia mengambil pendekatan yang sama digunakan oleh Wael Ghonim ketika melancarkan kempen Facebook ‘We Are All Khaled Said’ untuk menyokong Khaled Said yang meninggal dunia kerana dikeronyok polis Mesir. Kempen Ghonim menerusi Facebook itu mencetuskan apa yang dinamai hari ini sebagai ‘Egpyt’s Revolution’ sehingga membawa kepada kejatuhan rejim Hosni Mubarak setelah berkuasa selama lebih dua dekad.

Jawatankuasa Disiplin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendakwa Adam bertanggungjawab mencemar nama baik UPSI dan menjejaskan kestabilan awam. Adam menolak untuk merayu dan memilih mahkamah sivil.  Adalah jelas Adam Adli, salah seorang tokoh Solidariti Mahasiswa telah beroleh manfaat dari peers menerusi pangkalan Facebook. Sebagai pusat atau headquarters kepada peers, Facebook juga berperanan sebagai maklumat utama; ‘first hand information’

Pada 21 Oktober 2011, Adam Adli dan rakan-rakannya menubuhkan Bebas untuk mendokong Professor Dr Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) yang digantung tugas sehari sebelumnya. Aziz Bari adalah seorang ahli akademik yang lantang. Ketika protes di IIUM berlangsung, kedengaran laungan “Hidup hidup mahasiswa! Hancur kezaliman!” 

Tekanan yang dialami oleh Adam Adli, mendorong peers untuk melakukan protes duduk bantah di hadapan kampus UPSI di Tanjung Malim pada ambang tahun baharu 2012. Protes tersebut berakhir dengan pergelutan dan Mohd Safwan Anang (siswa Universiti Malaya) tercedera. Pihak berkuasa menafikan sebarang keganasan berlaku dan kecederaan Mohd Safwan Anang adalah kerana pergelutan sesama sendiri. Menteri Dalam Negeri pada waktu itu,  Hishammuddin Hussein turut menafikan keganasan di pihak polis.  Pelajar-pelajar ini menerima dukungan dari kumpulan pembangkang. Sebagai contoh Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir 

PRU 2013

Hashim menyeru supaya masyarakat mendokong siswa dan memberikan semangat kepada gerakan tersebut:

“For me, I feel proud and hope that the people would give their support and give them (the students) spirit to move forward. If not they will be crushed by the existing system... so we have to back them up.”

Pilihan raya 5 Mei 2013 menyaksikan pertembungan sengit antara dua kumpulan politik iaitu BN dan Pakatan Rakyat. Kumpulan pembangkang yang diketuai oleh ketua gerakan siswa dalam era 1970an, Anwar Ibrahim menguasai 89 kerusi parlimen dari jumlah besar 222 kerusi. Meskipun meraih lebih 51 peratus undi popular, sistem pilihan raya FPTP yang  diwarisi oleh Malaysia dari British tidak memungkinkan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Sejak 5 Mei 2013, Pakatan Rakyat menganjurkan siri bantahan besar dan menuduh parti yang menguasai kerajaan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menipu pilihan raya yang lalu. Laporan Reuters menjelaskan bahawa terdapat jumlah besar rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya yang lalu. Kritikan, cemuhan, senda dan suara antipenguasa menjadi semakin kuat. Ekoran dari itu, Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia buat masa ini dalam keadaan tersepit antara dua pendekatan iaitu bersikap keras atau berlembut dengan ‘kekuatan’ pembangkang:

“Every day Najib sees angry Malaysians on the Internet. It is not an easy thing to swallow,” said a senior government official who declined to be identified. “There are people in his cabinet asking for a crackdown and there are others asking for him to brandish his reformist side.”

Pada 13 Mei 2013, badan bukan kerajaan Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), antara lain Adam Adli (siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris) telah menganjurkan sebuah acara iaitu ‘Rapat Rakyat 13 Mei: Hari Bangsa Malaysia — Selamatkan Demokrasi’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH). Adalah jelas perhimpunan tersebut untuk menolak keputusan pilihan raya 2013. Retorik untuk mengajak peserta ke acara tersebut antara lain menyatakan  ‘demokrasi dinafi’, ‘kemenangan rakyat dinafikan’, ‘kecurangan pilihan raya diatur’ dan ‘pilihan raya terkotor dalam sejarah’. Adam Adli adalah salah seorang dari panel yang berucap di acara tersebut. Ekoran dari ucapannya, pada 18 Mei 2013, aktivis mahasiswa tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan ditahan di lokap di Jinjang.

Penahanan Adam Adli di Jinjang serta merta mencetus kebangkitan peers di Facebook. Selain wujudnya akaun ‘We Are All Adam Adli’ dengan jumlah ‘likes’ melebihi 48,000, sebuah akaun bernama ‘Mama Wants Adam Home’ turut dilancarkan. Setiap malam sejak penahanan beliau sejumlah besar anak muda pelbagai kaum mulai berhimpun di luar lokap Jinjang untuk menyatakan solidariti. Penahanan Adam Adli serta merta meraih simpati awam. Syahredzan Johan menggambarkan suasana di Jinjang sepanjang penahanan Adam Adli sebagai sesuatu yang fenomenal di mana tembok perkauman terburai. Apatah lagi jumlah demonstran yang ramai di Jinjang tersebut adalah mereka yang beretnik Cina datang mempertahankan nasib seorang remaja beretnik Melayu; Syahredzan menulis:

“Mereka yang percaya dengan retorik ‘pengkhianatan Cina’ ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. “Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini.”

Nyalaan lilin di Jinjang

Pada 22 Mei 2013, satu kekecohan berlaku. Polis menahan 18 orang yang hadir memegang lilin di luar balai polis Jinjang. Kumpulan anak muda yang ditahan tersebut kemudian dibebaskan dan dirai sebagai wira dengan sorakan dan tepukan. Dalam konteks makalah ini, ternyata peers yang turun menyatakan solidariti buat Adam Adli di Jinjang tidak berasa khuatir dengan momokan pihak berkuasa. Pada 23 Mei, Mahkamah Sesyen membebaskan Adam Adli dari tahanan reman dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Rentetan dari insiden di atas tidak berakhir begitu sahaja. Pada 25 Mei, lebih 70,000 orang awam berhimpun di padang hadapan Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk memprotes keputusan pilihanraya ke 13. Acara tersebut adalah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama 58 buah badan bukan kerajaan yang lain. Adam Adli tidak hadir dalam himpunan tersebut tetapi KS Bawani (siswa Universiti Utara Malaysia) yang menjadi masyhur kerana klip video ‘Listen Listen Listen’ dan Mohd Safwan Anang, mahasiswa Universiti Malaya yang cedera di malam tahun baharu 2012 telah hadir berucap. Di acara tersebut, Safwan telah mempersendakan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang sebelumnya menganjurkan rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya ke 13 supaya berhijrah ke luar negara; ‘Ada sesetengah orang tak faham bahasa, mereka kata jika orang yang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya, boleh keluar dari Malaysia. Ini kenyataan bodoh, betul atau tidak?’.

Hari ini, Pakatan Rakyat sudah berkubur. Syahredzan Johan, dan Ahmad Zahid Hamidi dalam Kerajaan Perpaduan. Najib Razak di dalam penjara. Saya tidak tahu di mana Mohd Safwan Anang. KS Bawani dengan Parti Sosialis Malaysia. Saifuddin Abdullah mengkhianati kerajaan mandat rakyat pada tahun 2019-2020 dengan menjadi sebahagian dari ahli parlimen yang meninggalkan PKR. Di Sheraton, ketika pengkhianatan itu berlaku, kata orang ada kelihatan sosok Hishamudin Rais; apa dia buat di sana saya tidak tahu. Aziz Bari adalah salah seorang mantan pimpinan DAP di Perak. 

Anwar Ibrahim sudah menjadi perdana menteri.

Manakala Adam Adli adalah timbalan menteri belia dan sukan dalam kabinetnya. 

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diperkenalkan pada 17 Mac 1971 dan mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971 itu masih ada. Betul, anda tidak silap membacanya. Ia masih ada.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS