Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya berasa bangga kerana berpeluang menulis kata pengantar untuk versi bahasa Cina memoir Said Zahari, Meniti Lautan Gelora . Penulis adalah jaguh politik kiri yang dihormati rakyat Malaysia dan Singapura.

Saya bersyukur atas kepercayaan beliau terhadap saya, dan membolehkan saya menjadi seorang daripada pembaca awal memoir politiknya.

Jika seseorang itu sanggup mengorbankan kebebasan selama 17 tahun demi kepercayaan politiknya, dia tentu bukan insan yang biasa. Jika sesebuah regim sanggup merampas kebebasan seorang lawan politiknya yang tidak bersalah selama itu tanpa dibawa ke mahkamah, tidak syak lagi regim itu tentu bersifat kuku besi dan antidemokrasi.

Semasa rakyat kita sedang bangun untuk menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kejam itu, memanglah suatu peluang keemasan bagi kita untuk membaca huraian Pak Said yang menceritakan bagaimana beliau tidak "reput dalam penjara" seperti diperkecilkan oleh musuh politiknya.

Sebaliknya Pak Said terus hidup bermaruah. Malah selaku karyawan tamu Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau sanggup menulis dengan tangan sendiri memoir politiknya untuk membidas dan mendedahkan wajah sebenar si penindas demi menuntut keadilan untuk dirinya dan juga rakan-rakan seperjuangannya dalam politik kiri masa itu.

Daripada memoir ini, selain pengalaman Pak Said, pembaca juga dapat meneladani dan belajar daripada pemimpin-pemimpin kiri di Malaysia dan Singapura pada tahun 1950-an dan 1960-an, terutamanya A Samad Ismail dan Lim Chin Siong, dua orang tokoh politik zaman itu yang banyak disebut Pak Said dalam memoirnya. Butir-butir yang diceritakan memanglah bahan sejarah yang amat berharga.

Selain watak-watak perseorangan, lebih penting lagi ialah peristiwa sejarah yang dicatatkan. Sebagai seorang wartawan, Pak Said menceritakan proses penubuhan dan perjuangan Utusan Melayu sebagai lidah kumpulan nasionalis kaum itu, dan bagaimana ia berubah menjadi alat propaganda Umno di bawah tekanan kerajaan, termasuklah asal usul pemogokan pekerja syarikat akhbar itu untuk mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan akhbar.

Nasionalis Melayu tulen

Memoir ini menceritakan secara terperinci peristiwa-peristiwa seperti rundingan damai Baling, bagaimana Lee Kuan Yew mengkhianati kawan-kawan seperjuangan sayap kiri, rancangan dan penubuhan Malaysia, konfrontasi Indonesia-Malaysia, dan pemisahan Singapura daripada negara ini. Pak Said mengupas dan menganalisakan peristiwa-peristiwa tersebut, sebahagiannya beliau terlibat secara langsung, dengan mendalam.

Sesetengah maklumat yang didedahkan Pak Said, yang merupakan wartawan berpengalaman, adalah bahan-bahan 'eksklusif' yang belum diterbitkan, malah sesetengahnya masih tinggal misteri sehingga hari ini, misalnya: Kenapa Samad tiba-tiba dibuang ke Indonesia apabila Utusan Melayu bersedia untuk berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur menjelang kemerdekaan?

Samad sendiri terus menyimpan rahsia ini, tidak mahu mededahkan hakikat yang sebenarnya. Apakah dengan terbitan memoir ini, kisah lama akan dibangkit semula dan misteri dunia kewartawanan ini dapat diungkap jawabannya?

Daripada pelbagai fakta sejarah yang terpapar dalam memoir ini, kita dapat mengenali Pak Said secara lebih dekat dan konkrit. Kita akan mengetahui sentimen dan komitmennya terhadap Utusan Melayu , rasa hormatnya terhadap Aziz Ishak, Ahmad Boestamam, Dr Burharuddin Helmi dan Rashid Mydin; tentang pilihannya untuk menyertai Parti Rakyat dan menolak jemputan Lim Chin Siong untuk menyertai Barisan Sosialis; tegurannya secara kritis terhadap Plen (gelaran yang diberi Kuan Yew) Parti Komunis Malaya (PKM) di Singapura, yang mengarah supaya sokongan terhadap calon Parti Rakyat ditarik balik; penafiannya secara tegas terhadap tuduhan bahawa beliau seorang komunis, dan beberapa perkara lagi. Semua ini menunjukkan beliau sebenarnya seorang pejuang nasionalis Melayu yang tulen.

Bagaimanapun, beliau secara terbuka menyatakan sanjungannya terhadap Republik Rakyat China, sebuah negara sosialis. Apabila isterinya menjalani pembedahan, Pak Said malah berangan-angan hendak menghantar anak-anaknya yang masih kecil itu untuk mendapatkan pendidikan di China.

Hubungan Said dengan Chin Siong amatlah karib, seakan-akan abang-adik. Beliau mencemuh usaha Kuan Yew dan kumpulannya yang menuduh Chin Siong sebagai 'cauvinis Cina.' Pak Said memetik ucapan Samad dalam Majlis Peringatan Mendiang Lim Chin Siong untuk menyangkal tuduhan tersebut. Samad telah mengingatkan bahawa "Chin Siong memainkan peranan penting untuk membolehkan bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan di Singapura walau 80 peratus rakyatnya Cina."

Regim Kuan Yew menggunakan momok komunis untuk menindas pejuang demokrat dan antipenjajah. Said secara keras membela dirinya, Chin Siong, Samad dan rakan-rakanya yang lain, dengan suara lantang bahwa mereka bukanlah komunis.

Saya tertanya-tanya dalam minda saya: Sekalipun mereka itu komunis, adakah wajar mereka ditindas dan dipenjarakan? Nampaknya, jawapan itu tidak syak lagi 'ya' kerana PKM itu haram, maka sudah tentu kerajaan yang sah berhak menindas pertubuhan yang haram.

Plen parti komunis di Singapura

Namun, sekiranya kita merenung kembali sejarah negara ini, PKM itu diisytiharkan haram oleh penjajah Inggeris. PKM menjadi parti politik yang sah di sisi undang-undang selepas bersekutu dengan Inggeris untuk melawan pencerobohan Jepun. Selepas negara matahari terbit itu menyerah kalah, penjajah Inggeris sekali lagi mengisytiharkan PKM haram.

Dalam rundingan damai Baling sebelum kemerdekaaan Malaya, PKM bersedia meletakkan senjata untuk menjadi sebuah parti politik yang sah dan berjuang berdasarkan perlembagaan. Tetapi Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama, yang bertindak atas arahan penjajah Inggeris, berdegil supaya PKM menyerah diri.

Fakta-fakta sejarah membuktikan bahawa PKM terpaksa bergiat di bawah tanah setelah kedudukan sahnya itu dirampas. Walau selepas perjanjian damai Haadyai antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada penghujung 1989 untuk menamatkan perjuangan bersenjata, kerajaan masih enggan mengembalikan hak perlembagaan PKM untuk bergerak sebagai parti politik yang sah.

Pak Said mengkritik dengan tajam peranan Plen PKM di Singapura. Selain itu, beliau juga menyampaikan kritikannya secara langsung terhadap Chin Peng, dan telah meminta untuk berjumpa dengan "the Plen", tetapi gagal kerana kesuntukan masa. Bagaimanakah agaknya reaksi Plen selepas memoir ini diterbitkan nanti?

Menurut Said, presiden Parti Rakyat Ahmad Boestamam semasa berucap dalam rapat umum di Geylang Serai (Singapura) pernah secara terbuka memperingatkan rakyat negara itu supaya berhati-hati terhadap pemimpin yang bersifat fasis (fascist), tetapi bertopeng sebagai sosialis.

Jika Boestamam dari Kuala Lumpur dapat mengetahui sifat fasis Kuan Yew, kenapa PKM yang sepatutnya lebih mengenali Kuan Yew sebaliknya sanggup memilih seorang yang bersifat fasis ini sebagai rakan utama dalam Barisan Bersatunya? Adakah benar anggapan Said bahawa Chin Siong tidak tahu menahu sama sekali tentang perkara ini?

Dalam memoir Pak Said, perwatakan Kuan Yew, regim reaksionernya dan pengkhianat-pengkhianat gerakan kiri di sekelilingnya juga dapat mencetuskan pemikiran kita. Lihatlah tingkah laku Perdana Menteri Singapura (waktu itu) dan tali barut-tali barutnya, dan bandingkanlah moral mereka dengan pejuang-pejuang kiri yang dijual dan ditindas oleh mereka. Alangkah ketaranya perbezaan antara pejuang-pejuang yang berjiwa terbuka, jujur dan gagah berani dengan pengkhianat-pengkhianat yang tidak mengenali sifat malu, curang dan pengecut.

Dalam falsafah politik "yang menang jadi raja, yang kalah jadi penyamun," tidak dapat dinafikan bahawa Kuan Yew dan kumpulannya masih berkuasa dan berlagak di merata-rata tempat. Tetapi ingin saya tanyakan, dalam sejarah manusia, siapakah diktator yang dapat mengelakkan nasibnya daripada keruntuhan pada akhirnya?"

Dengan kesimpulan tersebut, saya akhiri kata pengantar ini. Sekian, salam sejahtera dan selamat berjuang.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS