Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akhirnya memberikan keputusan untuk mengekalkan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya setelah penutupannya menjadi kontroversi.
Kemudian wartawan Mingguan Malaysia mewawancara Profesor Diraja Ungku Aziz (28 Januari lalu) dan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad (11 Februari).
Keputusan PM itu dianggap 'satu kemenangan besar orang Melayu' oleh Ungku Aziz tetapi pada hemat penulis, ia mungkin menimbulkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.
Menurut kata pendahuluan di awal wawancara itu, Pak Ungku "sekali-sekala memberi komen yang 'tidak boleh disiarkan' - seperti pertemuannya dengan Dr Mahathir baru-baru ini serta pandangannya mengenai matrikulasi dan program francais matrikulasi."
Menurut Ungku Aziz, pengasas Pusat Asasi Sains UM, pusat itu ditubuhkan pada 1974 dengan sokongan Dr Mahathir, Menteri Pendididkan waktu itu, "bukan sekadar hendak mendirikan kilang tauhu. Tetapi di sini kita masak cukup-cukup, kita hendak buat kuih lapis yang istimewa."
Di sini timbul dua masalah. Pertama, apakah Pusat Asasi Sains itu yang beroperasi selama suku abad telah berjaya mengeluarkan doktor, jurutera dan tenaga profesional lain yang lebih unggul, iaitu 'kuih lapis istimewa' seperti yang dijanjikan oleh Ungku Aziz?
Kedua, benarkah pusat matrikulasi yang diumpamakan sebagai 'kilang tauhu' oleh Ungku Aziz itu telah dan akan terus mengeluarkan secara besar-besaran tenaga profesional yang rendah kualitinya seperti tanggapan Ungku Aziz?
Sekiranya ia telah berjaya mengeluarkan tenaga profesional yang lebih unggul, mengapa pula kabinet telah meluluskan cadangan Najib Razak (Menteri Pendidikan waktu itu) untuk menutupnya?
Sejauh manakah kebenaran tuduhan Ungku Aziz bahawa: "Pusat asasi ini banyak musuh. Orang bukan Melayu tidak suka. Yang ekstrem juga tidak suka. Antara orang Melayu sendiri pun ada yang tidak suka. Orang yang tidak sukakan saya secara peribadi pun tidak sukakan pusat ini"?
Pelajar gagal
Menurut Musa, kerajaan telah memutuskan agar Kementerian Pendidikan mengambil alih semua program matrikulasi universiti itu, termasuk Pusat Asasi Sains UM pada 1999.
Namun hingga sekarang pusat itu masih belum ditutup kerana ada ramai pelajar yang masih gagal dan perlu mengulangi kursus. Adakah prestasi yang kurang memuaskan ini wajar bagi sebuah pusat yang digelarkan sebagai 'pusat elit'?
Apakah wajar dan sihat pusat-pusat matrikulasi kita dibahagikan menjadi 'pusat elit' dan 'kilang tauhu'? Di samping itu, benarkah pelajar Melayu takut menyertai UM kerana bimbang dengan imejnya sebagai ' killer university ' atau 'universiti pembunuh'?
Lebih serius lagi, pusat-pusat matrikulasi lain yang dianggap sebagai 'kilang tauhu' yang menghasilkan keluaran tidak berkualiti secara besar-besaran.
Musa menafikan tanggapan tersebut. Katanya, walau seumpama kilang tauhu tetapi ia 'kilang tauhu geliga'. Antara kata-kata Ungku Aziz, seorang cendekiawan, dan Musa, siapakah yang patut kita percaya?
Musa menganggap ulasan Ungku Aziz itu merupakan pandangan peribadi yang tidak disusuli dengan penyelidikan yang mutakhir. Tambah Musa, beliau belum jelas perbezaan antara doktor Melayu yang dikeluarkan oleh UM dengan doktor lepasan universiti lain. Jika dibandingkan dengan jumlah, Musa fikir Universiti Kebangsaan Malaysia mengeluarkan lebih ramai doktor Melayu daripada UM.
Musa bagaimanapun menyatakan sokongan peribadinya terhadap pengekalan Pusat Asasi Sains bersandarkan hujah keunikannya. Alasan keunikan rasanya tidak begitu meyakinkan, kerana sama ada kualiti atau kuantiti, Musa gagal memastikan keunggulan pusat itu. Dan beliau juga belum menegaskan pendiriannya sama ada pengekalan pusat itu sebagai pusat elit itu wajar digalakkan.
Konsep 'keunikan' adalah kabur dan tidak begitu mudah ditakrifkan. Siapakah yang berani mengatakan sebelum diambil alih oleh Kementerian Pendidikan, pusat-pusat matrikulasi di universiti-universiti lain tidak mempunyai keunikan masing-masing dari segi kurikulum, kaedah pengajaran-pembelajaran, latar belakang pelajar dan tenaga pengajar, persekitaran, malah tradisi dan budaya sesebuah kampus?
Dengan kata-kata lain, bolehkah universiti lain juga meminta agar pusat-pusat matrikulasi masing-masing dikekalkan atas alasan keunikan atau alasan-alasan lain yang relevan?
Pempolitikan pendidikan
Dalam wawancara itu, Musa juga menyentuh masalah autonomi universiti. Jika autonomi universiti wujud, ini bermakna ia berhak membuat keputusan sama ada pusat asasi itu wajar ditutup atau dikekalkan. Jelas sekali sebagai Naib Canselor UM, Dr Anuar Zaini hanya menurut perintah untuk menutup pusat tersebut. Dalam proses penutupan itu, beliau diarah pula mengekalkannya semula.
Menurut Musa, keputusan menutup dan kemudiannya keputusan untuk mengekalkan pusat itu kedua-duanya datang daripada kabinet. Pihak universiti bukan saja tidak memperlihatkan sebarang autonomi, malah dasar yang berubah-ubah tanpa perrancangan yang rapi sudah tentu menyulitkan pentadbiran institusi pengajian tinggi.
Musa menafikan beliau berlepas tangan dalam kontroversi berkenaan. Namun sebagai Menteri Pendidikan, beliau juga tidak kelihatan memainkan peranannya yang menentukan. Nampaknya pembuat keputusan itu bukan beliau tetapi Dr Mahathir melalui saluran kabinet.
Tidak dapat dinafikan, Dr Mahathir sekali lagi menjadi wira Melayu setelah mengarahkan agar Pusat Asasi Sains UM dikekalkan. Atau, dengan kata-kata Ungku Aziz, ia merupakan satu kemenangan besar kepada orang Melayu!
Jika inilah yang ingin dicapai di sebalik kontroversi-kontroversi yang disensasikan dan dimanipulasikan oleh media arus perdana, maka sudah tentu kepentingan pendidikan akan dikorbankan demi expedience politik.
Pempolitikan pendidikan bukan saja sekali lagi berjaya menciptakan seorang 'wira Melayu' atas pengorbanan beberapa kerat 'pengkhianat bangsa,' malah berjaya juga mencipta 'musuh bukan Melayu' di merata-rata tempat.
Demikianlah kepalsuan sandiwara politik perkauman yang menyedihkan serta menjijikkan!
