Ketuanan Melayu atau hak istimewa orang Melayu bukannya lagi satu idelisme dalam Umno. Ia tidak lebih daripada satu modal politik untuk meraih simpati dan sokongan orang Melayu. Isu ini telah dijadikan modal ampuh untuk menjamin kuasa politik Umno sejak dari zaman penjajah lagi. Kini isu ini dibangkitkan dan dibesarkan-besarkan di saat-saat pengaruh Umno di kalangan pengundi berkulit sawo matang semakin terhakis.
Sepatutnya soal ketuanan Melayu atau hak istimewa orang Melayu tidak timbul lagi kerana ia telah termaktub di dalam perlembagaan negara. Malahan keistimewaan orang Melayu seperti tanah rezab Melayu, kuota Bumiputera dalam perniagaan dan pusat pengajian tinggi dan pelbagai lagi sudah lama diakui, diiktiraf dan dihormati oleh bukan Melayu.
Mengapa pula tiba-tiba para pemimpin Umno termasuk Presiden dan Timbalan Presidennya melenting mahu mempertahankan keistimewaan dan hak tersebut? Siapakah yang menggugatnya? Adakah pandangan Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Malaysia (Mapen) II, Datuk David Chua boleh menyebabkan segala keistimewaan itu ditarik balik? Siapalah beliau hingga menyebabkan seluruh saf kepimpinan Umno tidak senang duduk.
Sebenarnya orang Melayu secara umum sedikitpun tidak berasa tergugat dengan kenyataan David Chua itu kerana mereka tahu selagi perlembagaan negara tidak dipinda selagi itu hak mereka terpelihara. Hanya orang Umno merasa tergugat, kerana apa? Sebab sejak kebekalangan ini mereka telah meminggirkan idelisme memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
Sejak sedekad yang lalu para pemimpin Umno hanya sibuk mengejar pangkat, kuasa, kontrak, saham, konsesi balak dan projek-projek pensawastaan yang bernilai berbilion-berbilion RM. Agenda Umno 10 tahun lalu ialah ekonomi - kononnya ekonomi Bumiputra tetapi hakikatnya yang kaya raya, bergaya dan berjaya hanya segelintir kroni.
Umno hanya kembali kepada rakyat iaitu orang Melayu selepas pilihanraya umum tahun lalu. Bila lebih 55 peratus orang Melayu menolak parti itu barulah para pemimpinnya tersentak. Bila pengundi Melayu memilih Barisan Alternatif yang diterajui oleh PAS barulah kedengaran suara-suara kecil meminta pucuk pimpinan parti membuat perubahan - kembali kepada perjuangan asal Umno iaitu memperjuangan hak orang Melayu.
Maka kelam-kabut Presiden Umno membuat beberapa penyesuaian dan perubahan kecil seperti melantik tokoh-tokoh muda dan profesional sebagai ahli Majlis Tertinggi, mengadakan mesyuarat MT di negeri-negeri dan melonggarkan kawalan untuk rakyat mendekatinya di majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi.
Namun semua itu tidak memadai. Sentimen marah orang Melayu terhadap Umno dan pemimpinnya masih kuat. Maka Umno pun mencarilah peluang-peluang atau isu-isu yang berkaitan dangan orang Melayu untuk diperbesar-besarkan. Bila David Chua membuat cadangan bantuan istimewa dan polisi "affirmative action" dikaji semula, bingkaslah pemimpin Umno mengeksploitasinya untuk kepentingan politik mereka.
Oleh sebab itu gembar-gembur mengenai hak keistimewaan sekarang ini dilihat tidak lebih daripada satu gimik politik. Umno menggunakan kesempatan ini untuk menunjukkan belangnya bahawa ia adalah hero orang Melayu. Para pemimpin Umno mahu menonjolkan hanya parti ini boleh dan mampu membela nasib Melayu.
Isu lapok
Tapi sedarkah Umno bahawa strateginya mengeksploitasi isu perkauman yang sensitif ini sebenarnya tidak berkesan. Strategi ini mungkin yang terbaik bila digunakan pada tahun 1970an dan 1980an dulu. Generasi siber sekarang kurang berminat bercakap tentang isu yang sempit ini.
Bagi anak-anak muda sekarang perhitungan utama mereka ialah soal akhlak, moral, keadilan, hak asasi manusia dan ketelusan dalam pengurusan dan pentadbiran. Mereka lebih suka mendengar cerita dan berita mengenai reformasi, gerakan anti rasuah dan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.
Para pemimpin Umno perlu ingat bahawa bukannya mudah bagi mereka untuk membuang imej buruk yang tercalit di wajah parti itu. Rakyat sekarang sudah celik. Para penoreh getah, nelayan, petani, penarik beca dan pemandu teksi sedar cakap-cakap mengenai hak istimewa orang Melayu tidak dapat meringankan beban kewangan mereka.
Cakap-cakap kosong seperti ini tidak dapat mengenyangkan perut kosong anak-anak mereka. Mereka akan lebih menghargai kerajaan dan Umno jika masalah harga getah yang rendah, isu tekanan orang tengah dan bantuan subsidi pertanian diatasi segera.
Jangan salahkan orang Melayu bila mereka tidak percaya pada janji-janji manis Umno. Dapatkah mereka mempercayai ketulusan perjuangan parti ini jika pada hari ini seorang pemimpinnya bercakap mengenai hak istimewa orang Melayu tetapi pada keesokannnya pemimpin yang sama pergi ke kampung-kampung dan pinggir bandar untuk membeli tanah-tanah orang Melayu dengan tujuan untuk menukar status tanah tersebut kepada tanah perindustrian dan akan menjualnya kepada pelabur asing dan bukan Melayu?
Retorik mengenai hak istimewa orang Melayu tidak akan dapat mengatasi masalah Umno. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Hishamuddin Hussein Onn dan Datuk Rafidah Aziz perlu melakukan sesuatu yang lebih besar jika mahu memenangi semula hati orang Melayu. Mereka perlu buktikan kepada orang Melayu bahawa Umno ikhlas dan telus dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Kesimpulannya hak istimewa orang Melayu ini adalah satu isu lapuk. Ia tidak patut menjadi bahan perbahasan lagi sebaliknya patut digunakan dan diisi sepenuhnya oleh orang Melayu bagi mengukuhkan kedudukan politik, ekonomi dan sosial mereka. Kalau hak itu cuma sekadar di atas kertas dan dijadikan modal politik dari masa ke semasa, mungkin lebih baik ia dihapuskan.
