Paling Popular
Terkini

KOLUM | Generasi kini banyak yang melupakan sejarah dan tradisi bangsa sendiri kerana disilaukan dengan jutaan mimpi dijaja ahli politik. Ia menyebabkan pelbagai khazanah sendiri - seperti tanah yang subur dan kerajinan manusia - diabaikan.

Kelapa adalah tumbuhan warisan yang memiliki semangat bangsa. Dalam Batu Bersurat Talang Tuwo bertarikh 684 Masihi ada disebut "nyiur" atau kelapa sebagai salah satu tumbuhan utama di rantau ini.

Dalam Hikayat Abdullah (1849), Abdullah Munsyi menulis keadaan rumah orang Melayu yang biasanya dikelililingi "tujuh enam pokok kelapa". Kenyataan itu menjelaskan akrabnya pertalian pokok kelapa dengan ekologi orang Melayu.

Seperti padi, kelapa adalah simbol kewujudan bangsa yang bermaruah. Dari hujung pucuknya hingga ke akar umbinya ada kegunaan. Itulah tradisi masyarakat kita dengan kelapa sejak ribuan tahun.

Kelapa tidak boleh dilihat sekadar menggamit nostalgia kerana ia juga adalah potensi ekonomi bangsa pada masa akan datang. Namun ia memerlukan fikiran digembeling bersama kemahuan yang kuat.

Inilah yang dinamakan tekad politik (political will).

Pepatah orang tua-tua berpesan, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih; di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Juga sagu tidak akan diperolehi jika ruyungnya tak dipecahkan.

Ramai orang memandang pokok kelapa dengan pelbagai corak fikiran. Melalui pencapahan, pandangan itu dicerakin menjadi tenaga dan tindakan. Akhirnya ia akan menghasilkan keputusan, pendapatan dan kemajuan.

Kelapa sebagai sempadan wilayah

Jika dirujuk kata pujangga, kelapa banyak digunakan sebagai tamsilan dan pepatah. Contohnya, "kelapa tebal sabut, terhempas ke batu tak pecah, dibuang ke laut tak tenggelam."

Ia suatu perumpamaan bagi menggambarkan sesuatu yang sangat kukuh dan tetap pendirian.

Ada juga pepatah "mumbang jatuh, kelapa pun jatuh" untuk menyatakan secara berseni bahawa setiap sesuatu yang bernyawa pasti akan mati pada masa yang ditentukan tuhan.

Sukarno pula melihat pokok kelapa yang bertebaran di kepulauan Nusantara sebagai simbol wilayah Indonesia. Sebagai pemimpin, pandangannya mempunyai nilai untuk dijadikan asas pembinaan negara merdeka.

Ketika ditanya tentang kedudukan wilayah negara yang sedang diperjuangkan kemerdekaannya, Sukarno menegaskan bahawa "di mana daun nyiur melambai-lambai, itulah Indonesia merdeka."

Mungkin saja Hawaii pun mahu dirangkul ke dalam pelukan Sukarno.

Sambutan hari kemerdekaan di Batang Padang

Pada akhirnya dia hanya mampu membentuk negara baru dari Aceh hingga ke Timur Timor yang tidak pernah dijajah oleh Belanda. Itulah kemajuan dan pendapatan dari buah fikiran manusia politik bernama Sukarno.

Pelukis terkenal seperti Allahyarham AB Ibrahim menjadikan pokok kelapa sebagai salah satu objek kegemaran untuk diabadikan pada kanvasnya.

Apabila dia melukis pantai, pokok kelapa dengan daunnya yang hijau pasti tidak ketinggalan. Begitu juga sewaktu dia melukis pemandangan sawah terbentang, akan ada pokok kelapa di belakang denai usang.

Ramuan menguntungkan kantung

Itulah lukisan pandangan sezaman yang dapat mengukur kemajuan masa kini.

Hasilnya, sebuah karya seni untuk tatapan generasi kemudian, selain memberi pendapatan kepada pelukis itu sendiri.

Begitu juga sebagai peminat resipi dan makanan. Lidah dan perut Melayu banyak dipengaruhi akan sedap tidaknya oleh keberadaan kelapa sebagai bahan masakan.

Jika disingkap sejarah penanaman kelapa pada awal kurun ke-20, Inggeris sememangnya mahu membangunkan tanaman itu untuk dijadikan komoditi, bukanlah sangat untuk membela ekonomi orang kampung yang tekun bekerja.

Ia hanya untuk mengisi kantung penjajah.

Inggeris yang tanahnya bukan untuk ditanam pokok kelapa memanfaatkan rahsia dan khasiat tanaman itu di sini.

Orang Inggeris yang kurang mandi menggunakan ramuan menguntungkan untuk membuat sabun mandi - itulah lemak dari pokok kelapa.

Berbanding sebelum itu, antara bahan penting membuat sabun ialah lemak binatang.

Setelah merdeka, kelapa terus menyumbang kepada rakyat. Antara kawasan penanaman kelapa ialah di Bagan Datuk. Daerah di muara Sungai Perak itu dikenali sebagai wilayah pengeluar kelapa dan kopra terbesar tanah air pada tahun-tahun 1940-an hingga 1970-an.

Di daerah itulah saya dilahirkan.

Suasana di Sungai Bernam

Di hadapan rumah datuk, ada dua binaan rumah salai. Sewaktu kecil, kami sering bermain-main sambil menyusun isi kelapa untuk disalai menjadi kopra.

Ada sampan dari baruh membawa timbunan guni yang dipenuhi kopra ke darat sebelum diambil oleh peraih untuk dibawa ke kilang. Sesetengah orang memunggah dengan menggunakan basikal dan sampan.

Dalam pelan Perak Sejahtera 2030 ada dimasukkan pembangunan Bagan Datuk sebagai pengeluar kelapa. Di Bagan Datuk, kawasan seluas 71,10788 hektar (90 peratus daripada tanah pertanian) digunakan untuk kelapa sawit yang dikuasai syarikat perladangan swasta.

Patut ada sebuah lembaga

Kawasan yang ditanam dengan kelapa pula hanya seluas 9,229 hektar (11 peratus).

Bagaimana mahu menjadi pengeluar atau pengeksport kelapa? Dan menjadi lebih ironi apabila simbol daerah itu ialah pokok kelapa.

Syarikat-syarikat besar pula menumpukan tanaman kelapa hibrid seperti matag, mawa, pandan dan malayan dwarf (hijau, kuning dan merah) yang memberikan pulangan lebih.

Sebahagian besar pengusaha kelapa mengusahakan kelapa varieti tradisional malayan tall. Kebanyakan mereka mewarisi tanah itu daripada orang tua masing-masing. Usia pokok juga sudah tua dan kurang produktif.

Kos penanaman semula pula tidak mampu ditanggung oleh orang kampung secara sendirian. Tidak seperti kelapa sawit dan getah, ada skim bantuan daripada kerajaan untuk penanaman semula.

Mungkin pengusaha kelapa masih bergantung harap dengan bantuan kerajaan melalui peranan jabatan pertanian, pertubuhan peladang kawasan dan institusi kewangan tertentu.

Penanaman kelapa perlu diambil perhatian bukan semata-mata menambahkan kocek pekebun tetapi mampu menerbitkan lebih banyak industri hiliran berasaskan komoditi itu.

Jika padi, agensi yang bertanggungjawab mengenai urusan padi diamanahkan kepada Bernas. Agensi yang bertanggungjawab membangunkan kelapa sawit ialah Lembaga Minyak Kelapa Sawit (MPOB), manakala getah di bawah Lembaga Getah Negara.

Nanas di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan tanaman koko diselenggara Lembaga Koko Malaysia.

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara menguruskan hal ehwal kenaf dan tembakau.

Terkini, kerajaan menubuhkan Lembaga Ruminan Negara untuk binatang ternakan seperti lembu, kambing, bebiri, rusa dan kijang

Sepatutnya untuk kegiatan penanaman kelapa perlu juga sebuah agensi sebegitu.

Ketika ini kelapa hanya berdiri kering di bawah kelangkang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta jabatan pertanian negeri untuk bermimpi melangkah ke hadapan.

Pada akhirnya, perlu ditanyakan soalan sinis ini: "Memang tak ada apa-apakah dengan kelapa?"


MUHAIMIN SULAM ialah Naib Pengerusi Amanah Perak merangkap pengerusi Biro Pertanian dan Luar Bandar Amanah negeri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS