Most Read
Most Commented
Read more like this

Mungkin tidak ramai yang menyedari bentuk seni filem yang wujud di dunia hari ini bermula daripada tradisi wayang kulit.

Sama seperti penemuan belerang dan bahan letupan di negara China, teknik wayang kulit juga gagal berkembang di wilayah tanah tumpah darahnya.

Bentuk seni filem bersama lakonan pentas telah dikembangkan dan diadunkan dengan teknologi moden untuk menjadi bentuk seni termoden kurun ke-20. Oleh kerana wujud tradisi keilmuan, teknologi dan budaya kebebasan berfikir serta berkarya di Barat, maka hari ini bentuk seni filem dilihat sebagai suatu artifek dari budaya occidental (Barat).

Di Malaysia, bentuk seni bayang bergerak seperti filem dan video bukan lagi asing. Filem, video dan televisyen kini telah diterima sebagai sebahagian daripada aksesori kehidupan moden.

Tetapi dalam semua genre seni di negara kita ini, kelihatan bentuk seni filemlah yang paling banyak menerima fitnah, tohmah dan salah tanggap. Jika bentuk seni ini dibandingkan dengan genre novel, sajak, teater, syair, gurindam, seloka, cerpen, puisi, lukisan dan arca.

Faktor utama yang menimbulkan fitnah kerana seni filem paling dekat menyerupai bentuk dan tingkah laku insan. Dengan skrip yang tersusun, lakonan yang baik dan arahan yang trampil, maka filem berkemungkinan menyerupai kehidupan insan.

Bayang yang menyerupai bentuk manusia ini menimbulkan kegerunan kerana para penonton berhadapan dengan 'realiti'. Filem membawa penonton mengintai realiti kehidupan, kelakuan, perangai dan emosi para protagonis-antagonisnya.

Tetapi sebenarnya filem bukan realiti. Tidak wujud realiti dalam filem. Semua 'realiti' dikonstruk (construct) - filem adalah seni bayang bergerak yang dikonstruk mengikut skrip, lakonan, arahan dan berpuluh-puluh jenis teknik bantuan untuk mewujudkan 'realiti' itu.

Ilmu filem tidak berkembang

Di dalam sebuah panggung yang gelap, para penonton dibenarkan mengintai ke suatu dunia yang asing - sama ada dunia moden, dunia purba atau dunia masa depan. Walau apa latar belakangnya, filem hanya berupaya membawa naratif hidup manusia - tentang cinta, dendam, kelahiran, kematian, kejujuran, kesetiaan dan pembelotan.

Naratif ini hanya terhad kepada dua cerita asal manusia semenjak zaman Adam lagi - komedi dan tragedi.

Filem akan mengasak naluri bawah sedar penonton yang sedang mengintai untuk berperang. Keinginan yang tersimpan di bawah sedar akan terbuka. Penonton sebagai insan dengan sendirinya akan berhadapan dengan dirinya sendiri. Kerana takut menghadapi diri sendiri, maka ada pihak yang cuba menyelamatkan diri.

Jalan pintas yang paling baik dan dilihat pula suci bersih di mata masyarakat ialah menfitnah bentuk seni ini. Maka timbul pula konsep lucah, tidak bermoral, menyeleweng atau membawa maksiat. Sebenarnya bentuk seni filem bukan semua ini.

Disebabkan oleh tohmah dan fitnah seperti ini, maka keilmuan filem di negara ini tidak berkembang. Fahaman dan pandangan yang tidak ilmiah terus disuarakan, disambut dan dijadikan 'fatwa'. Justeru tanpa keilmuan, maka bentuk seni filem akan terus menerima fitnah. Secara fait accompli (terpaksa) bentuk seni filem di negara kita hari ini telah terjerumus ke dalam suasana 'Pak Pandir meminta pisang bakar' (catch 22 situation).

Hakikatnya ialah bentuk seni filem, malah semua bentuk seni tidak mungkin dapat dinilai hanya dengan berlandaskan pandangan moral. Tetapi inilah yang terjadi apabila 'huha-huha' tentang filem Hindustan (Bollywood) dibaca umum baru-baru ini.

Manusia sebagai penonton adalah insan yang kompleks - mempunyai pandangan dunia, sistem nilai dan fikrah yang boleh menolak atau menerima sesuatu yang dihadapkan ke mata mereka.

Suatu anggapan yang salah jika kita menerima hakikat bahawa filem boleh mengubah pandangan penonton. Menerima hakikat ini bererti memberikan pengiktirafan yang begitu tinggi dan suci terhadap pembuat filem. Ia juga bermakna pembuat filem begitu berpengaruh sekali - boleh menghitam-putihkan masyarakat. Sebenarnya filem dan semua bentuk seni tidak mungkin mengubah masyarakat.

Sebagai buktinya, cuba perhatikan berapa ratus filem yang telah dibuat di Malaysia yang menyebarkan nilai-nilai murni. Berapa ratus ribu cerekarama daripada RTM atau TV3 yang berdakwah untuk membawa penonton ke jalan yang benar?

Nilai murni cerekarama gagal

Apakah hasilnya? Nil, zero, sifar - tidak ada apa-apa.

Kejahilan, kesesatan, kezaliman dan keganasan masih lagi terdapat di sekeliling kita. Kejadian-kejadian rogol, rompak, bunuh, penipuan, penyalahan guna dadah dan rasuah terus bertambah dan tidak pernah berkurang; walaupun filem-filem dan drama TV kita terus digalakkan membawa nilai-nilai murni.

Satu lagi bukti yang jelas ialah kedudukan anggota-anggota lembaga penapisan filem. Pegawai-pegawai inilah yang sepatutnya menjadi perogol, perompak, pemadat dan kaki rasuah kerana saban hari mereka menonton pelbagai jenis filem - yang lucah dan tidak bermoral! Tetapi mengapa mereka tidak menjadi sasau atau mereng? Apakah rahsia kekebalan mereka? Apakah mereka mempunyai otak yang lebih besar daripada kita, para penonton? Tidak mungkin.

Ini bermakna wujud faktor-faktor lain yang mempengaruhi insan untuk melakukan kejahatan atau kebaikan.

Semua ini terbukti bahawa ada kejahilan dalam menilai bentuk seni serta makna dan peranan seni dalam kehidupan manusia. Ahli-ahli politik dan pendakwah daripada semua agama kelihatan sedang membawa watak protagonis yang sering menfitnah dan menohmah filem.

Ahli-ahli politik, kerana ingin terus dilihat melakukan sesuatu untuk membasmi kepincangan masyarakat, telah memilih filem sebagai mangsa untuk dipersalahkan. Ahli-ahli politik di negara ini - mahu dilihat diri mereka 'lebih putih dan bersih' daripada pencuci 'Breeze' - telah meniupkan trompet moral yang lebih tinggi dari gunung Kinabalu!

Pendakwah-pendakwah semua agama yang mungkin sepanjang hidupnya tidak pernah menonton filem telah menyuarakan pandangan yang paling lawak tentang filem. Mereka telah memprojekkan ketakutan diri mereka sendiri apabila berhadapan dengan keinginan naluri bawah sedar mereka.

Kerana mereka takut berhadapan dengan keinginan mereka sendiri tidak mestinya para penonton juga akan turut takut. Jika mereka terjerumus ke lembah yang hina apabila melihat potongan badan Erra Fazira, tidak mestinya semua penonton akan turut terjerumus.

Wayang Pak Dalang sebagai bentuk seni asli tamadun Melayu kini telah berubah. Ravana sedang menyamar sebagai Rama. Hanya Sita yang boleh mengeluarkan dialog 'Sam, mainkan lagu itu sekali lagi'.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS