Most Read
Most Commented
Read more like this

Satu kesilapan besar jika orang ramai diberikan gambaran bahawa berdemonstrasi atau menunjuk perasaan itu bercanggah dengan asas demokrasi dan pilihanraya. Pandangan yang salah ini sedang rancak disebarkan melalui media media arus perdana.

Ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan juga 'komplot orang Yahudi' telah dipergunakan untuk membantu mengukuhkan hujah terhadap pandangan songsang ini. Tujuan mereka menaburkan pandangan salah ini ialah untuk memasung kesedaran orang ramai daripada mengetahui hak-hak asasi mereka dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Pilihanraya dan hak menunjuk perasaan samalah seperti isi dengan kuku dalam konsep demokrasi berparlimen. Demonstrasi dan pilihanraya samalah seperti aur dengan tebing. Tanpa tebing, aur tidak mungkin hidup. Tanpa aur, tebing akan dihanyutkan air.

Asas konsep demokrasi ialah menerima keputusan pilihan suara terbanyak. Keputusan menobatkan suara terbanyak ini bukan hanya untuk memilih kerajaan atau wakil rakyat sahaja. Jika hanya pemilihan kerajaan dan wakil rakyat disamakan dengan amalan demokrasi, ini bermakna kefahaman tentang apa itu demokrasi terlalu cetek dan tempang.

Konsep menerima dan menghormati suara terbanyak wajib dilakukan dalam semua perkara yang melibatkan kepentingan awam. Menghormati suara orang ramai bukan hanya semasa pilihanraya dijalankan. Pandangan, cadangan, sokongan dan bantahan orang ramai yang melibatkan kepentingan awam seharusnya berjalan terus-menerus.

Konsep akur kepada suara terbanyak ini bukan perkara yang baru. Semenjak 2,000 tahun dahulu konsep ini telah diteroka oleh pemikiran tamadun Greek. Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan hari ini adalah contoh demokrasi daripada tamadun Melayu. Pengalaman ratusan tahun masyarakat Melayu di Minangkabau, Sumatera yang berasaskan ekonomi sawah telah melahirkan pepatah-petitih; yang menjadi kanun dan rujukan demokrasi bagi kegunaaan orang ramai.

Demokrasi bukan hanya pilihanraya

Justeru menohmah konsep demokrasi sebagai 'amalan Barat' dan bukan budaya Timur sama seperti berfikir di lutut dan terkentut di mulut!

Menghormati suara, pandangan, kritikan, bantahan atau sokongan orang ramai adalah natijah masyarakat madani (civil society) - sebuah masyarakat yang telus, adil dan demokratik. Dalam masyarakat madani, suara terbanyak menjadi kemudi tanpa memperlekehkan pandangan dan suara minoriti.

Dalam masyarakat madani pilihanraya (untuk memilih wakil rakyat) hanyalah satu mekanisme (cara) untuk mengumpulkan suara dan pandangan. Suara dan pandangan boleh juga diambil dengan cara mengangkat tangan, membuka mulut menyokong atau membantah, menganggukkan kepala tanda bersetuju atau menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

Jadi, jangan dianggap bahawa jika wujud pilihanraya di sesebuah negara, maka bermakna sudah wujud demokrasi dan kebebesan di negara itu. Pilihanraya dan membuang undi hanyalah satu daripada pelbagai mekanisme dalam konsep dan kerangka demokrasi. Untuk menyuburkan demokrasi, kita memerlukan lebih daripada satu mekanisme.

Pilihanraya ini akan menjadi cacat dan tidak jujur jika beberapa rukun serta asas demokrasi tidak turut wujud bersama dalam proses membuang undi. Rukun utama yang diperlukan untuk menjadikan pilihanraya itu jujur, telus dan adil ialah ruang demokrasi.

Ruang demokrasi ini juga satu konsep yang tidak mungkin dapat dilihat, dipegang atau dikendung ke hulu ke hilir. Mungkin kerana ia satu konsep, maka mereka yang bebal akan gagal memahami makna konsep ini. Kebebalan ini menyebabkan konsep ruang demokrasi gagal dihayati sepenuhnya.

Ruang demokrasi yang diperlukan untuk menghidupkan mekanisme pilihanraya ialah kebebasan berkumpul, kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, kebebasan menerbit serta mencetak. Empat perkara ini menjadi rukun pertama pilihanraya. Jika rukun ini tidak wujud, maka tidak mungkin pilihanraya itu dapat dilihat jujur, telus dan adil.

Pilihanraya yang ingin mencari, menafsir dan menilai suara terbanyak akan gagal. Sesiapa sahaja atau parti apapun yang dipilih melalui mekanisme pilihanraya (tanpa ruang demokrasi) pasti tidak mempunyai mandat, watikah dan kewibawaan sebagai jurumudi suara terbanyak.

Bantahan kolektif rukun demokrasi

Pada masa yang sama, individu, kelompok atau parti politik yang telah dipilih melalui suara terbanyak bukan pula bererti telah diberikan cek kosong untuk berbuat apa sahaja.

Suara dan pendapat orang ramai masih diperlukan sebagai rujukan. Merujuk pandangan orang ramai bukan boleh hanya sekadar lima tahun sekali sahaja. Setiap hari dan setiap detik, apa sahaja langkah yang kerajaan ingin ambil - yang akan melibatkan kepentingan awam - pandangan orang ramai wajib diambil serta dihitung.

Justeru demonstrasi, piket, mogok atau bantahan secara kolektif wajib dilihat sebagai satu daripada rukun yang menyokong demokrasi dan menyokong pilihanraya. Jangan kita membuat takrifan salah, kononnya menunjuk perasaan ini hanya untuk membantah. Demonstrasi juga dijalankan untuk menunjukkan sokongan.

Contohnya pada pagi 31 Ogos setiap tahun, gerakan serta aktiviti orang ramai di Dataran Merdeka itu merupakan demonstrasi rakyat Malaysia untuk menyokong konsep kenegaraan Malaysia.

Berkumpul dan menunjukkan perasaan bukan kegiatan yang menentang pilihanraya. Berdemonstrasi bagi menuntut dijalankan pilihanraya yang jujur dan adil adalah perbuatan yang baik. Bersifat adil dan telus adalah amalan baik dan digalakkan oleh semua agama. Keadilan, kejujuran dan ketelusan menjadi asas ajaran semua agama dan kitab-kitab suci.

Tiada satu pun agama yang membenarkan penipuan, penyelewengan dan kong kali kong dalam apa saja bentuk; apatah lagi dalam proses meminta pandangan dan suara rakyat.

Menunjukkan perasaan bagi menentang golongan yang zalim dan menegakkan keadilan menjadi asas semua agama dan dasar semua parti politik. Apa yang seharusnya diwar-warkan oleh media massa ialah ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang bentuk demokrasi, lembaga-lembaga yang menyokong demokrasi dan contoh pilihanraya yang jujur dan adil.

Orang ramai perlu disedarkan hak asasi mereka. Pandangan orang ramai wajib dihormati.

Menyongsangkan dan menakut-nakutkan orang ramai dengan dosa-dosa politik mungkin boleh diterima pakai pada satu ketika dahulu. Tetapi setelah muncul Gerakan Reformasi, lanskap budaya dan politik Malaysia telah berubah dan sedang maju ke hadapan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS