Tersungkur di Pintu Syurga , buku tulisan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Zabidi Mohammad, mendedahkan pengalaman peribadinya diterbalikkan (turning over) oleh polis Cawangan Khas.
Bekas pengikut kanan kumpulan Al-Arqam itu menceritakan modus operandi yang digunakan polis dalam proses tersebut. Mula-mula mereka ditangkap tanpa bicara, diasingkan dari dunia luar, dikenakan deraan minda dan ditanam rasa takut serta kesal.
Bayangan rasa rindu serta kasih kepada anak isteri juga ditanam untuk melemahkan semangat juang orang tahanan. Proses ini menurut Zabidi berlaku setiap hari tanpa mengira waktu. Proses itu berjalan sepanjang Oktober hingga Disember 1994.
Akhirnya setelah menjalani proses turning over lebih sebulan, beliau tewas. Bersama rakan-rakan Al-Arqam termasuk ketuanya Ashaari Muhammad, penulis buku itu muncul di kaca televisyen membuat pengakuan bahawa amalan serta ajaran mereka pegang selama ini menyeleweng daripada Islam.
Modus operadi ini telah diamalkan sejak lebih 30 tahun lalu. Ramai tahanan politik termasuk pemimpin politik Tan Sri Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan tokoh wartawan Tan Sri A Samad Ismail telah melaluinya. Ketiga-tiga nasionalis ini pernah muncul dengan rakaman pengakuan yang mengisytiharkan diri mereka komunis.
Selepas pengakuan kumpulan Al-Arqam itu, kita tidak melihat lagi pengakuan serupa itu muncul di kaca televisyen. Selepas penangkapan penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998, akta ini tidak digunakan lagi oleh kerajaan (untuk melumpuhkan gerakan parti pembangkang, kecuali terhadap apa yang dinamakan 'pengikut Syiah') akibat bantahan keras pelbagai pihak termasuk parti Gerakan, komponen utama Barisan Nasional.
Bagaimanapun minggu lalu seluruh negara dikejutkan sekali lagi apabila akta ini digunakan kembali. Tujuh orang aktivis reformasi termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua dan Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor ditahan atas alasan mereka mahu "menggulingkan kerajaan dan merancang demonstrasi rusuhan."
Reformis belum teruji
Hari ini genap 10 hari mereka ditahan. Tiada khabar berita mengenai mereka, tidak diketahui tempat sebenar mereka berada. Isteri, anak serta anggota keluarga lain dan peguam tidak dibenarkan menemui mereka. Apakah mereka juga sedang melalui proses turning over seperti pernah dilalui Zabidi dulu?
Adakah Tian, Ezam, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, N Gobalakrishnan, Raja Petra Kamarudddin dan Abdul Ghani Haroon akan muncul di kaca televisyen tidak lama lagi seperti juga kumpulan Al-Arqam? Jangan terkejut jika hal ini terjadi.
Penyokong reformasi tidak perlu kecewa jika ada di kalangan mereka itu yang lemah semangat dan sanggup muncul untuk mengaku bahawa mereka memang mempunyai pelancar-pelancar bom, bom petrol, bebola penggalas atau telah mengimport ribuan rakyat Indonesia agar merusuh di Kuala Lumpur!
Habuan akibat pengakuan itu tentulah pembebasan dari bilik tahanan.
Sedangkan Ustaz Ashaari dan pengikut-pengikutnya yang dianggap taksub dan setia itu boleh longlai ditekan oleh deraan zahir dan batin, inikan pula pemimpin-pemimpin reformasi yang belum teruji sepenuhnya kekentalan semangat, minda dan fizikal mereka.
Memang benar aktivis seperti Ezam, Tian dan Hishamuddin sering keluar-masuk lokap. Pemimpin-pemimpin ini mendewasa di dalam lokap tetapi apa yang dihadapi mereka kali ini suatu yang berbeza.
Kini mereka dianggap tahanan politik, bukan lagi tertuduh bagi perbicaraan kes perhimpunan haram. Permainan kali ini berbeza, proses turning over lebih dahsyat daripada pengalaman tidur berhimpit-himpit dengan penagih dadah, kaki pecah rumah, pencopet atau perogol dalam lokap di balai-balai polis.
Mereka akan melalui pelbagai proses deraan minda dan batin. Walau Menteri Dalam Negeri, Abdulllah Badawi memberikan jaminan bahawa tahanan-tahanan itu tidak akan dikasari secara fizikal, namun seksaan jiwa dan mental jauh lebih buruk kesannya daripada satu pukulan mata lebam.
Menghina demokrasi
Sebagaimana Zabidi yang 'tersungkur di pintu syurga', apakah aktivis-aktivis reformasi akan tersungkur di kamar ISA kali ini?
Apa yang sedang dilalui oleh tujuh [sekarang lapan - editor] orang reformis itu bukan sekadar ujian besar pada diri dan keluarga mereka tetapi cabaran besar kepada seluruh rakyat, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pejuang-pejuang hak asasi manusia.
Tindakan kerajaan menggunakan akta yang menafikan hak asasi manusia ini juga adalah penghinaan terhadap demokrasi berparlimen di negara ini, selain cabaran kepada penubuhan dan semangat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Kini kerajaan meneliti reaksi rakyat. Seluruh saf kepimpinan negara terutamanya Umno sedang mentertawakan PAS, Keadilan, Parti Rakyat Malaysia, DAP serta Suhakam kerana 'terkedu' seketika dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk menentang penahanan tersebut.
Matlamat utama siri tangkapan terbaru ini ialah untuk menakut-nakutkan rakyat, dan untuk mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan sedia ada masih kuat dan berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap penentang dan pengkritiknya.
Kalau penahanan tujuh aktivis reformasi ini tidak cukup untuk menyedarkan rakyat, mungkin lebih banyak tangkapan akan menyusul selepas ini - terutamanya apabila Barisan Nasional-Umno rasa kedudukannya semakin lama semakin goncang!
