Paling Popular
Terkini

KOLUM | Jemaah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada keluarga besar yang dianggotai Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Walaupun mempunyai tiga entiti namun dari segi ideologi dan pendekatan mereka tidak banyak berbeza. Perbezaan ketara cuma dari segi keahlian yang mengikut umur, manakala dari segi sejarah, ketiga-tiganya saling memperlengkap sebagai sebuah pertubuhan yang berpengaruh.

Jemaah Abim turut terlibat dalam proses penubuhan Amanah di peringkat awal. Gerakan Harapan Baru (GHB) menggerakkan beberapa pertubuhan yang bersama mereka untuk mewujudkan parti. GHB dan Amanah bukanlah sekadar lahir dari tembuni PAS tetapi juga atas kesedaran masyarakat sivil.

Salah satu gerakan sivil ialah Wadah yang dianggap sebagai abang kepada Abim kerana anggotanya berumur 40 tahun ke atas.

Dalam proses penubuhan Amanah, di peringkat awal Abim mengambil pendekatan lebih sederhana walaupun ahli majlis syura dan bekas presidennya, Dr Siddiq Fadhil, antara pendukung idea penubuhan parti baru Islam itu.

Dr Siddiq Fadhil.

Dia banyak menjadi rujukan oleh pimpinan GHB dalam fasa asas pembinaan Amanah. Siddiq merupakan rakan akrab Allahyarham Fadzil Noor dan Anwar Ibrahim, serta berpengaruh pada pemimpin PKR khususnya yang mempunyai sejarah dengan Abim.

Jika imbas kembali penubuhan Parti Keadilan Nasional, ia memiliki sentuhan Fadzil. Kemudian apabila mahu membidani Amanah, giliran Siddiq dan Abim pula.

Abim sebagai jurucakap kepentingan Islam

Rafizi Ramli antara pemimpin PKR yang kuat menyokong idea penubuhan parti baru oleh bekas pimpinan PAS yang kalah. Pada masa sama, seteru Rafizi dalam PKR, Azmin Ali, memberi sokongan kepada pimpinan yang sedang menguasai PAS selepas muktamar di Kuala Selangor.

Azmin memerlukan PAS kerana parti itu memiliki prasarana organisasi yang berakar umbi dalam membina kekuatan politik.

Sejarah penglibatan Abim dalam politik Malaysia memang menarik. Pada awal penubuhannya (1971), Abim menjadi wadah tokoh-tokoh pemuda Islam yang kritis terhadap kerajaan.

Pada 1973, PAS telah bersama dengan Umno membentuk kerajaan BN.

Sebahagian aktivis PAS mengambil sikap untuk aktif dalam Abim berbanding PAS. Ketika itu, Abim menjadi jurucakap yang penting untuk menjaga kepentingan Islam.

Anwar yang menjadi Presiden Abim ketika itu berjaya membina reputasi dan wibawa sebagai pemimpin Islam. Antara yang bersama Abim pada masa itu termasuklah Fadzil Noor, Abdul Hadi Awang dan Nakhaei Ahmad.

Apabila Anwar menyertai Umno pada 1986, ramai pemimpin Abim mengikut langkahnya. Mereka termasuklah Kamarudin Md Nor, Kamarudin Jaffar, Fuad Hasan dan ramai yang lain.

Mereka melepaskan jawatan masing-masing dalam Abim selepas menyertai Umno. Langkah tersebut menjadikan Abim dilihat kekal bebas dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Dalam realiti, pendekatan Abim sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan politik negara. Apabila Anwar dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998, Abim antara pertubuhan yang ke hadapan membelanya.

Karismatik kepimpinan Anwar mewujudkan kelompok yang dikenali sebagai ‘Anwariun’ atau ‘Anwarinas’. Namun istilah itu sering membawa konotasi negatif.

Suatu ketika dulu golongan ‘Anwariun’ wujud dalam Umno dan juga PAS. Namun label ‘Anwariun’ kadangkala digunakan bagi menyerang sesuatu kelompok yang tidak disenangi.

Bekas Naib Presiden PAS, Hasan Ali, pernah menyebut golongan ‘Anwariun’ yang merosakkan parti itu dari dalam.

Persoalan seperti ‘Anwariun’, ‘IRC dalam PAS’ atau ‘PKR dalam PAS’ ini bukanlah suatu kemasukan (infiltration) dari segi organisasi. Ia lebih kepada proses keseimbangan antara nilai dan sifat yang saling bertentangan antara kelompok-kelompok yang ada dalam masyarakat.

Kelompok yang mempunyai persamaan nilai dan sifat serta pendekatan lebih cenderung menyokong kelompok yang sama walaupun berada dalam organisasi berbeza. Begitulah sebaliknya.

Buka ruang perbincangan

Hubungan Amanah dengan Abim (lebih tepat ialah Wadah) lebih kepada persoalan sosiologi berbanding politik. Dalam konteks di Perak, Pengerusi PKR Perak ketika penubuhan Amanah ialah Muhammad Nur Manuty.

Dia juga pernah menjadi presiden Abim.

Hubungan baik yang sudah sedia terjalin di antara Muhammad Nur dengan pemimpin utama PAS semasa Pakatan Rakyat menjadi kerajaan Perak memberi kelebihan kepada GHB negeri itu.

Namun pada masa yang sama, salah seorang bekas Yang Dipertua Abim Perak, Wan Ahmad Tarmizi Abd Aziz, adalah Ketua Penerangan PAS Perak. Pengaruhnya tidak boleh diabaikan dalam mempengaruhi pendekatan politik Abim Perak berhadapan situasi tersebut.

Dalam hal penubuhan parti baru di Perak, Wadah yang lebih berperanan melalui perbincangan dengan GHB. Ia mengambil sikap untuk bersedia bekerjasama dengan mana-mana kumpulan atau pertubuhan demi kepentingan Islam.

Meskipun Abim mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam penubuhan Amanah, ia tetap membuka ruang perbincangan.

Perbincangan di antara pimpinan GHB Perak bersama Wadah Perak berlangsung di Hotel Casuarina Meru.

Wadah Perak diwakili pengerusinya, Nasir Kamaruddin, dan disertai Abdul Razak Ali (setiausaha) Saidi Adnan Md Noor (bekas Yang Dipertua Abim Perak) dan Azizi Abdul Muain.

GHB Perak pula diwakili Asmuni Awi, Mohd Nizar Jamaluddin, Khairuddin Malek, Zainuddin Mohd Yusuf dan Salman Salleh.

Tidak seperti Ikram, Wadah tidak menghantar wakilnya untuk berada di dalam organisasi parti yang bakal ditubuhkan. Kebanyakan ahli Abim lebih cenderung menyertai PKR.

Terdapat beberapa aktivis Wadah dan Abim di peringkat daerah yang menyertai Amanah atas kapasiti peribadi termasukkan Saidi Adnan.

Di peringkat nasional pula, bekas Naib Yang Dipertua Abim Melaka, Hasan Baharom, menjadi naib presiden Amanah. Setiausaha Agung Amanah yang pertama, Anuar Tahir, merupakan bekas setiausaha Abim.

Presiden pertama Abim, Razali Nawawi, merupakan ahli Amanah dan diberikan tanggungjawab sebagai anggota Majlis Penasihat Pakar Amanah.

Peranan dan pengaruh Abim, Ikram dan pertubuhan lain dalam organisasi politik seperti Amanah akan memberi sentuhan sivil yang diperlukan dalam sesebuah parti politik.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional. Artikel ini adalah petikan dari buku ‘Amanah. Mekar Dalam Api’ yang bakal diterbitkan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS