Korea Selatan adalah salah satu negara "harimau ekonomi" Asia. Selain pembangunan ekonomi yang baik, pembangunan demokrasinya juga boleh dibanggakan. Lee Kuan Yew ketika berucap di Filipina pada satu ketika dahulu pernah berkata, masalah Filipina ialah terlalu banyak demokrasi, maka ekonominya sukar untuk berkembang.

Nilai Asia seringkali digunakan oleh orang seperti Kuan Yew dan Dr Mahathir Mohamad untuk mengekang demokrasi. Korea Selatan telah membuktikan bahawa tesis Kuan Yew dan alasan "nilai Asia" itu salah. Demokrasi yang dipraktikkan di Korea Selatan langsung tidak mengganggu pembangunan ekonominya.

Malahan, pembangunan ekonomi di Korea Selatan seiring dengan pembagunan demokrasinya. LG, Samsung, Kia, Daewoo dan Hyundai contohnya, adalah produk dari Korea Selatan yang tidak asing lagi di negara kita. Kalau dahulu, hanya produk dari Jepun menguasai Malaysia, sekarang kita boleh melihat produk dari Korea Selatan (yang dahulunya pernah dijajah oleh Jepun) bersaing dengan sihat di pasaran.

Namun semua ini bukanlah diperolehi dengan mudah. Kejayaan Korea Selatan adalah hasil perjuangan rakyatnya yang begitu cintakan negara. Semangat nasionalisme yang telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi, telah menjadikan rakyat Korea Selatan bekerja keras. Walaupun pernah dijajah Jepun dengan begitu lama, sekarang Korea Selatan telah bangkit dan boleh duduk "sebaris" dengan bekas penjajahnya itu.

Sewaktu berada di Korea Selatan tahun yang lalu, saya berkesempatan untuk menyaksi dan merasai "bahang" Piala Dunia di sana. Gelombang Merah memenuhi seluruh negara. Dari pelajar tadika sehinggalah orang tua, semuanya memakai baju-t merah atau jersi pasukan bolasepak kebangsaan mereka untuk menyatakan sokongan.

Saya telah diajak teman-teman untuk menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan pertama Korea Selatan menentang Togo di sebuah stadium Piala Dunia di Gwangju. Teman saya membelikan saya sehelai baju-t merah untuk dipakai di dalam stadium. Apabila sampai di Stadium Piala Dunia di Gwangju, terkejut saya apabila menyaksikan lautan manusia yang berbaju merah.

Memperingati kemenangan

Stadium penuh sehingga penonton melimpah ke dalam padang. Siaran langsung di skrin besar itu dibanjiri manusia seolah-olah perlawanan Piala Dunia itu sedang berlangsung di Gwangju! Begitulah kuatnya semangat nasionalisme di Korea Selatan. Tanggal 10 Jun merupakan tarikh keramat di Korea Selatan. Pada 10 Jun 1987, perjuangan menuntut demokrasi mencapai kemenangan.

Kemenangan ini telah menghentikan pemerintahan diktator tentera yang dipimpin oleh Chun Doo Hwan. Tahun ini adalah tahun ke-20 Korea Selatan menyambut kemenangan demokrasinya. Setiap tahun, pada 10 Jun, sambutan bagi memperingati kemenangan demokrasi akan diadakan secara besar-besaran di ibukota negara itu di Seoul.

Tanggal 10 Jun juga merupakan hari nasional dan rakyat diberi cuti untuk bersama-sama dengan presiden dan menteri kabinet untuk menyambut hari besar itu. Semuanya bermula apabila Chun Doo Hwan mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada awal bulan Mei 1980. Sekolah dan universiti turut ditutup.

Pada ketika itu, Kim Dae Jung (pemenang hadiah Nobel tahun 2000) dan ramai lagi aktivis telah disumbatkan ke dalam penjara. Sebagai reaksi kepada penutupan universiti dan pengisytiharan darurat, mahasiswa Universiti Kebangsaan Chonnam dan Universiti Chosun keluar berdemonstrasi pada 18 Mei 1980 untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Kebangkitan mereka disambut oleh penduduk Gwangju dan pada 19 dan 20 Mei, 300,000 rakyat bersama mahasiswa, turun ke jalan untuk meminta Chun Doo Hwan dan pemerintahan tentera turun dan demokrasi dikembalikan.

Sebagai reaksi kepada kebangkitan ini, Chun Doo Hwan yang tidak mahu gerakan rakyat di Gwangju mempengaruhi daerah-daerah lain, menghantar pasukan tentera yang besar untuk berhadapan dengan kebangkitan ini. Maka ramailah yang terkorban dan cedera di Gwangju dimamah peluru dan keganasan tentera Chun Doo Hwan. Media yang dimanipulasi oleh pemerintah tentera, mengeluarkan propaganda yang Gwangju telah dipengaruhi oleh Korea Utara yang berideologikan komunis.

Walaupun telah diganasi sebegitu rupa, gerakan untuk menuntut demokrasi tidak mati begitu sahaja. Aktivis mahasiswa dan buruh yang terselamat dari keganasan Chun Doo Hwan telah pergi ke bandar-bandar lain seperti Seoul, Busan dan Daegu untuk menyusun gerakan dan menyedarkan rakyat tentang kezaliman regim tentera.

Tugu peringatan

Selama tujuh tahun perjuangan yang berterusan dan konsisten diteruskan. Demonstrasi untuk menuntut pemerintahan tentera turun, dilakukan di bandar-bandar seperti Daegu, Busan dan Seoul. Mahasiswa menjadikan kebangkitan rakyat Gwangju sebagai inspirasi untuk berjuang. Tangkapan, pembunuhan dan ugutan perisik tentera langsung tidak melemahkan semangat mereka, membangkitkan lagi semangat untuk memastikan hak rakyat dikembalikan dan demokrasi ditegakkan.

Pada tahun 1987, gerakan rakyat telah sampai ke kemuncaknya. Senapang, kereta kebal dan bom tangan tidak lagi mampu menahan "tsunami" kebangkitan rakyat. Pada 10 Jun 1987, perarakan mahasiswa yang disokong rakyat, membanjiri bandar Seoul dan akhirnya kemenangan diisytiharkan apabila Chun Doo Hwan terpaksa akur dengan tuntutan rakyat, dan meletak jawatan.

Perjuangan yang panjang dan telah memakan banyak korban itu ternyata tidak sia-sia. Darah yang dibayar oleh anak muda, petani,buruh dan mahasiswa, telah membuahkan hasil pada hari ini. Korea Selatan pada hari ini boleh berbangga dengan pembangunan ekonomi dan demokrasinya.

Malahan, pemerintah yang dipimpin oleh Roh Moo Hyun telah memberikan dana untuk mendirikan yayasan-yayasan yang mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia seperti Yayasan Demokrasi Korea, Yayasan Memperingati 18 Mei dan Yayasan Hak Asasi Manusia Korea. Selain itu, yayasan ini turut menganjurkan pelbagai program untuk menjemput aktivis demokrasi dan hak asasi manusia dari negara Asia untuk datang dan melihat sendiri kejayaan mereka.

Tugu-tugu didirikan, seperti Tugu Kebangkitan 18 Mei di Gwangju, yang dibuka kepada umum untuk mengenang para pejuang yang terkorban kerana demokrasi. Bagi membantu dan menyokong pergerakan demokrasi dan hak asasi manusia di Asia pula, Yayasan Memperingati 18 Mei memberikan anugerah kepada pejuang demokrasi dan hak asasi manusia di negara Asia.

Anugerah yang diiringi dengan wang tunai AS50,000 itu telah dimenangi oleh Xanana Gusmoa sebagai pemenang pertama pada tahun 2000. Tujuan anugerah ini diwujudkan ialah untuk memberikan motivasi kepada para aktivis di Asia untuk terus berjuang sehingga kemenangan dicapai dan demokrasi tulen ditegakkan.