Most Read
Most Commented
Read more like this

Suatu hari saya berjalan di batas bendang padi di Kedah. Di sebelah sini saya lihat sawah padi tidak begitu menjadi, di sebelah sana saya lihat padi begitu subur. Sedangkan tanahnya subur dan semuanya sama.

Saya tanya mereka - mengapa sebelah sini tidak baik, sebelah sana baik. Jawapan yang diterima, sawah yang baik itu kepunyaan Cina.

Daripada perbualan itu, saya menarik kesimpulan bahawa orang Melayu malas, suka yang mudah, tidak beretika kerja, dan sikap ini sangat mengecewakan!

Kesimpulan ini tentu dianggap melampau dan menghina orang Melayu. Seorang petani di Kedah tidak boleh menjadi kayu ukur mengenai sikap dan budaya Melayu umumnya.

Namun menyedihkan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah membidas kaum Melayu malas ( Mingguan Malaysia , 22 Julai), dan bukan kali pertama beliau memperlekeh kaum itu.

Benarkah petani Melayu malas? Pekerja Melayu malas? Suri rumah Melayu malas? Kakitangan Melayu malas? Pelajar Melayu malas? Peniaga Melayu malas? Profesional Melayu malas? Sedangkan orang Cina dalam bidang-bidang itu semuanya rajin-rajin belaka?

Pendapat seumpama ini cerita dongeng ciptaan penjajah sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Tidak sangka hampir setengah abad selepas negara mencapai kemerdekaan, Dr Mahathir masih menggunakan cerita dongeng yang sama sebagai alasan untuk menutup kegagalan dasar kerajaannya menolong Melayu.

Sumber manusia

Dr Mahathir sangat bangga negara kita sedang rancak membangun, terutamanya bandar Kuala Lumpur yang dianggap 'sudah setaraf dengan mana-mana kota metropolitan dunia.' Jika Melayu umumnya bersikap malas, tentu mereka tidak memainkan peranan dalam pembangunan itu.

Tanpa sumbangan rakyat semua bangsa, termasuk orang Melayu yang menjadi sumber manusia terbesar di negara ini, pembangunan fizikal itu tentu tidak berlaku.

Pada pandangan Dr Mahathir, Melayu seolah-olah terlalu teruk: tidak boleh diberikan perlindungan yang berlebihan, tetapi tidak boleh juga dikurangkan perlindungan itu. Jika berlebihan, mereka nanti tidak mampu berdikari dan jika dikurangkan perlindungan, dengan kelemahan sedia ada, Melayu mungkin gagal sama sekali.

Apakah kekurangan orang Melayu? Bukankah Dr Mahathir juga menganggap mereka setanding dengan kaum-kaum lain? Bukankah beliau yang mempopularkan 'Malaysia boleh' dan orang Melayu juga boleh?

Ditanya hajatnya sempena ulang tahun ke-20 sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir dengan nada sebak berkata: "Saya berharap orang Melayu berubah. Saya berharap mereka akan menukar budaya mereka dan berjaya seperti bangsa lain".

Pendek kata, orang Melayu juga yang salah. Sebab itu, sikap perlu diubah dan budaya juga perlu ditukar.

Dr Mahathir berkata: "Walaupun sudah diperingatkan, walaupun diberi contoh teladan, mereka sebenarnya terus melakukan budaya yang merosakkan."

"Kita telah terangkan. Saya minta, saya menangis, saya baca doa dan saya buat macam-macam, tetapi tidak jadi juga."

Umno penyakit barah

Padahal apakah Umno yang menghidap barah rasuah dan politik wang seperti yang diakui sendiri Dr Mahathir boleh diteladani Melayu? Jika beliau ketandusan idea dan daya untuk mengubah sikap dan budaya Umno sendiri, layakkah beliau membidas orang Melayu agar berbuat demikian?

Sebagai seorang doktor, Mahathir tentu faham penyakit barah tidak dapat disembuhkan melalui tangisan atau rayuan, melainkan dengan pembedahan atau kaedah perubatan lain yang lebih berkesan.

Dasar kerajaan Barisan Nasional juga sejenis penyakit barah - umpamanya amalan kronisme dalam pelaksanaan dasar penswastaan atau skandal menyelamat (bailout) syarikat-syarikat yang rapat dengan pemimpin kerajaan dan sering dipertikaikan itu.

Tanpa dikaitkan dengan dasar-dasar kerajaan yang pincang, Dr Mahathir hanya menekankan secara abstrak apa yang dinamakan 'ketahanan dalaman' seseorang, seolah-olah rasuah bukan penyakit sosial, tatapi kelemahan individu semata-mata.

Dr Mahathir berasa sedih kerana orang Melayu boleh disogok dengan RM10 saja. Beliau berkata: "Mereka kata, mereka bukan ambil banyak, cuma RM10 saja. Itulah yang jadi sedih. Kalau dia ambil RM1 juta, dia jual dia punya hak, lainlah". Tampaknya 'ketahanan dalaman' anjuran Dr Mahathir itu juga masih rapuh, tidak sanggup menghadapi sogokan RM1 juta!

Contoh yang diberi oleh Dr Mahathir untuk memupuk 'ketahanan dalaman' terhadap rasuah juga mengelirukan. Beliau berkata: "Tahu, kenapa orang Melayu tidak makan babi? Pasal sejak kecil mereka dididik bahawa babi itu kotor, jijik. Mereka tidak makan, tengok pun tidak boleh. Jadi kalau kita tukar budaya mereka supaya mereka menganggap rasuah itu sebagai busuk, jijik, menghina, apabila mereka besar, mereka akan tolak rasuah."

Mengasuh anak

"Di Barat, ada babi yang dibela sebagai binatang manjaan. Orang Melayu tidak makan babi kerana larangan agama yang diamalkan dalam kehidupan harian, lama-kelamaan ia menjadi suatu unsur budaya. Orang yang beragama Hindu tidak makan lembu, bukan kerana ia kotor dan jijik, tetapi kerana lembu dianggap suci dan menjadi unsur budaya penganut agama Hindu."

Barah rasuah sudah menular begitu luas dalam masyarakat kita, sehingga boleh dikatakan ia merupakan suatu budaya yang sering diamalkan di merata tempat pada semua lapisan masyarakat walau dari segi moral atau agama, ia memang boleh dikutuk sebagai busuk, jijik dan hina.

Jika ramai orang dewasa terjebak dengan kegiatan rasuah atau bertolak-ansur dengan amalan tersebut, sanggupkah mereka mengasuh anak-anak secara berkesan tentang kebusukan, kejijikan dan kehinaan rasuah? Kalau 'cakap tidak serupa bikin', bagaimanakah generasi baru hendak mencontohi kita?

Dr Mahathir bukan saja kecewa sikap Melayu yang kononnya tidak mahu berubah dan masih berpegang dengan nilai-nilai buruk, beliau juga mengaku gagal dari segi menerapkan pengetahuan agama.

Beliau pernah merungut: "Kalau saya tunjuk sesuatu itu putih tetapi kalau datang orang beragama kata tidak, tidak, ini hitam... mereka akan jawab hitam. Pasal apa hitam, kita tanya? Orang agama kata hitam. Tok guru kata hitam. Ini Dr Mahathir, dia tahu apa?"

Dr Mahathir juga marah kerana dituduh sebagai antiagama dan terlalu keduniaan. Beliau sebaliknya membidas ulama-ulama PAS hanya mengetahui 'kulit' bukan 'kandungan' ajaran Islam. Umpamanya: hukum hudud; melabelkan pelbagai nama buruk seperti 'Mahazalim' dan 'MahaFiraun'; mengamalkan 'politik benci'; mengutamakan perebutan kuasa politik daripada kepentingan bangsa dan agama; dan sedia bekerjasama dengan 'syaitan' (DAP?).

Beliau mengaku keadaan politik kini sangat sukar kerana dalam isu seperti ini pemimpin Umno lebih lemah daripadanya. Sungguhpun begitu, beliau yakin Umno masih lagi satu kekuatan politik dan ia tidak mudah berkubur.

Namun tanpa kekuatan atau legitimasi moral serta keagamaan, dan rasa kecewa terhadap Melayu yang diwakilinya, bagaimanakah Umno boleh terus hidup sehingga tahun 2020 seperti diharapkan Dr Mahathir?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS