Setiap kali negara kita bercuti perayaan utama, pihak berwajib pun memulakan beberapa kempen untuk mencegah kemalangan di jalan raya. Tiga tahun dahulu masyarakat Melayu dan Tionghua telah berkongsi menyambut Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Jumlah kemalangan maut sebelum dan sesudah pesta Kongsi-Raya ini melonjak tinggi. Sayangnya di negara ini, angka dan statistik tidak memberi apa-apa kesan untuk dijadikan dasar agar dapat melahirkan satu penilaian baru. Ops Statik seperti operasi-operasi yang lain kelihatan tenggelam sebagai satu lagi nama-nama kempen yang menjadi klise tanpa apa-apa makna.
Hari Raya tahun ini sekali lagi Ops Statik dijalankan. Sepuluh hari selepas operasi ini dijalankan, 310 mayat bergelimpangan di jalan raya. Angka ini hanya jumlah kematian - bukannya jumlah kecederaan parah dan ringan yang lebih besar berkali-kali ganda. Ke mana saja kita berhari raya, kita akan mendengar cerita kemalangan jalan raya. Ada sahaja kenalan ini atau kenalan itu yang cedera atau maut. Anak si polan, cucu si polan atau sepupu si polan yang cedera parah di hospital. Atau orang kampung anu dilanggar oleh kereta ini atau lori itu.
Keadaan yang berulang-ulang ini telah melalikan jiwa pembaca atau pendengar berita itu. Cara berita itu disampaikan cukup membosankan tanpa ada apa-apa yang baru untuk diperhatikan. Berapa ratus kali pembaca telah melihat di muka depan akhbar tentang rupa bentuk gambar kereta yang berlanggar. Berita dan gambar tidak membawa apa-apa kesan lagi. Kini kita seolah-olah semakin bersedia menerima kematian di jalanraya sebagai satu hakikat kemodenan, kemajuan dan pembangunan!
Pihak yang berwajib (baca: kerajaan) seperti biasa akan menjalankan kempen media serampang dua mata. Pertama, untuk memperlihatkan kepada orang ramai (baca: pengundi) yang mereka sedang menjalankan sesuatu untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku. Kedua, untuk menyalahkan orang yang mati, orang yang dilanggar, berlanggar atau terlanggar sebagai manusia-manusia yang tidak pandai memandu, cuai dan tidak berhemah. Seolah-olah mereka yang terbabit dalam kemalangan itu disebabkan perbuatan sendiri.
Seperti biasa, untuk menenangkan keadaan itu, statistik perbandingan antara negara ini dengan
negara-negara lain akan dibocorkan - kononnya di Wadunga Wadungu, di Gunda Gundu atau di Mina Minu lebih ramai orang mati kemalangan jalan raya berbanding di Malaysia. Di Malaysia hanya 500 orang yang mati di jalan raya manakala di Wadunga Wadungu terdapat 501 orang. Maka kesimpulan dari angka ini ialah jalan raya kita lebih selamat. Inilah 'logik lucah' yang sering digunakan terutama oleh orang politik.
Sayangnya tidak pula ditunjukkan statistik dari Sweden, Britain, Perancis atau di Belgium. Di
negara-negara ini memang berlaku kemalangan tapi terlalu kecil. Malah di negara-negara ini jika
ditakdirkan dalam masa sepuluh hari terdapat 310 orang mati di jalanraya, maka akan berlaku satu kegemparan di seluruh Eropah. Pelbagai tindakan akan diambil. Negara-negara ini walau pun kafir tetapi mereka lebih peka dan prihatin terhadap kepentingan kehidupan dan kesejahteraan ummah mereka di atas dunia ini. Kelihatan lembaga-lembaga kenegaraan mereka lebih bertanggungjawab berbanding dengan apa yang kita alami.
Pertama media eletronik dan cetak di negara-negara kafir itu akan terus-menerus memaparkan isu kemalangan berminggu-minggu. Isu kemalangan jalan raya akan dilihat dari pelbagai sudut. Isu kemalangan jalan raya akan dibentangkan di parlimen. Mungkin akan muncul cadangan agar seluruh sistem jalanraya dikaji semula. Kalau di Britain, Suruhanjaya Diraja pasti akan ditubuhkan. Di Sweden, negara kafir yang paling demokratik, pasti kerajaan yang sedang memerintah 'terbungkus' kerana orang ramai tidak dapat menerima jumlah mayat bergelimpangan di jalan raya. Angka 310 kematian dalam masa sepuluh hari adalah jumlah yang amat menggerunkan.
Tetapi kita, tidak dapat mengumpulkan pengalaman dari apa yang telah berlaku. Budaya mengumpul pengalaman ini kelihatan bagitu asing untuk kita. Berbagai-bagai pihak berwajib hanya memuntahkan kembali hujah lapuk dari ahli politik kotai tentang sebab musabab berlakunya kemalangan.
Apakah sistem jalanraya kita ini baik, terurus dan ilmiah? Adakah perlesenan dan cara memberikan lesen patut dikaji? Apakah rasuah memainkan peranan dalam pemberian lesen? Dan yang apakah ada alternatif kepada cara pengangkutan kita sekarang? Dan bagaimana pula dengan sistem pengangkutan awam -- apakah kita boleh belajar dari negara-negara kafir yang lebih maju dalam menguruskan sistem pengangkutan awam?
Majoriti yang terus bergelimpangan di jalanraya kita adalah anak-anak muda kita. Mayat-mayat
mereka bertaburan di serata pelusuk tanah air. Adakah politikus kotai telah gagal melihat hakikat ini? Atau mereka hanya senang menghitung wang ringgit hasil dari penjulan alat pembunuh awam (baca: kereta dan motosikal)?
Mari kita bertafakur sebentar. Lupakan angka lonjakan Bursa Saham Kuala Lumpur dan lihat lonjakan angka mayat anak-anak muda yang bergelimpangan di jalanraya.
Jika angka ini dijumlahkan, ia pasti telah melebihi angka orang yang mati dibunuh di Jepun dalam Perang Dunia Kedua dahulu. Pasti angka ini telah melintasi jumlah angka kematian akibat ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Justeru jalan raya kita adalah contoh 'Malaysia Boleh' yang telah berjaya menurunkan darjat Perang Vietnam dan Perang Teluk sebagai satu pesta puja pantai!
