Setiap tahun apabila musim persekolahan bermula, maka dipentaskan komedi berapa kati dan berapa kilo berat beg anak-anak sekolah. Pementasan komedi ini berulang saban tahun. Kadang kala watak protagonis dan watak badut ditukar baru. Pada satu ketika dulu protoganis-badut ialah Anwar Ibrahim, kemudian peranan ini diambil alih oleh Najib Tun Razak dan hari ini watak protagonis-badut dimainkan oleh Musa Mohamad.
Naratif komedi ini tidaklah kompleks. Plotnya tidak terlampau canggih sehingga sukar difahami umum. Konfliknya juga mendatar dan amat mudah untuk diselesaikan. Cuma, agak menghairankan orang ramai, terutama ibu bapa, apabila melihat para protagonis dan sang badut saban tahun gagal menterjemahkan peranan mereka berpandukan dialog pada naskhah yang telah diamanahkan.
Konflik induk dalam komedi "beg sekolah" ini bukan tentang saiz atau bentuk beg sekolah itu tetapi tentang berat buku-buku yang wajib dibawa oleh anak-anak sekolah. Beg sekolah yang dijadikan tajuk komedi wajib dilihat hanya sebagai alat. Si pembawa yang dibebankan memikul buku ialah anak-anak kecil yang baru saja menjejakkan kaki ke dunia pembelajaran rasmi. Untuk orang ramai, terutama ibu bapa, konflik dalam komedi ini begitu jelas. Malangnya para protagonis dan si badut telah gagal mengucapkan kalimah dialog dari naskhah komedi ini. Kegagalan untuk menghayati dan menterjemahkan dialog dari naskhah ini telah memanggil beberapa badut dan pelawak lagi ke pentas sebagai watak tambahan.
Contohnya minggu lepas, satu cadangan diucapkan dari jabatan rekabentuk untuk mencipta satu jenis beg baru yang boleh mengisi semua buku yang wajib dibawa.
Ini adalah contoh dialog sang badut. Sang badut dari jabatan rekabentuk ini gagal untuk memahami plot induk dalam komedi ini. Terbukti telah berulang kali para protagonis, sang badut dan beberapa watak sampingan tergelincir daripada melihat plot induk. Plot induk komedi ini ialah berat buku sekolah dan bukan saiz beg sekolah. Mata mereka telah menjadi buta dan juling hingga mereka gagal melihat hakikat yang terpampang di hadapan mata mereka. Mereka gagal untuk membaca naskhah asal. Mereka mengucapkan dialog tanpa memahami dan menghayati naskhah.
Yang paling aneh ialah kebanyakan protagonis dan para badut gagal untuk melihat sejarah diri mereka sendiri. Mereka lupa bahawa semasa mereka memasuki persekolahan darjah satu dahulu, mereka hanya membawa kalam dan papan batu. Proses awal pembelajaran mereka tidak bergantung kepada buku teks yang berat-berat. Ada beberapa protagonis dan sang badut yang bermula dengan kalam dan papan batu kini telah dapat membaca, menulis dan malah menerima ijazah dari dalam dan luar negara. Tetapi kenapa hari ini anak-anak sekolah semakin dibebani "buku yang berat-berat"?
Untuk mencari jawapan kepada komedi ini, kita wajib melihat akidah atau zat pembelajaran hari ini. Pembelajaran bukan lagi satu proses mendidik warga negara untuk menjadi manusia yang berilmu pengetahuan. Mencari ilmu pengetahuan di 'Bolehland' (baca: Malaysia ) terjatuh dalam agenda sampingan. Apa yang dipentingkan dalam pembelajaran hari ini ialah persekongkolan yang intim antara badut-badut dari jabatan pelajaran dengan tuan punya syarikat percetakan buku.
Tuan punya syarikat percetakan buku, walau pun perniagaannya berkait rapat dengan buku tetapi tidak ada kaitan walau pun sebesar zarah dengan perkembangan ilmu pengetahuan. Apa yang penting untuk syarikat percetakan ialah keuntungan maksima daripada jualan buku. Buku akan dicetak kerana diwajibkan oleh kementerian untuk dibeli oleh anak-anak sekolah. Perkataan yang kudus di sini ialah "wajib dibeli". Sama ada buku ini mustahak dibaca atau bakal menjana fikiran anak sekolah tidak termasuk dalam akidah syarikat percetakan.
Persekongkolan intim yang berakidahkan keuntungan maksima inilah yang sedang membebankan anak-anak sekolah secara fizikal dan mengoyakkan dompet duit ibu bapa. Di negara 'Bolehland,' persekongkolan ini menjadi sebahagian budaya hidup. Sesiapa yang rajin meneliti atau menyiasat pasti akan menemui nama beberapa protagonis dan sang badut dari kementerian pelajaran yang mempunyai kepentingan dalam syarikat percetakan buku teks sekolah.
Sama seperti genre komedi buku teks sastera yang dipentaskan tidak berapa lama dahulu. Dalam komedi buku teks sastera, panel yang diamanahkan menilai buku teks sekolah telah memilih buku anak, isteri dan kekasihnya sendiri. Di negara 'Bolehland,' drama seperti ini bukan lagi mustahil.
Justeru cadangan baru dari sang badut yang ingin mencipta beg sekolah baru itu wajib dilihat dalam konteks budaya 'Bolehland' tersebut. Syarikat pembuat beg ini pula pasti akan melobi dan mengajukan beberapa cadangan kepada kementerian pelajaran. Jika cadangan itu diterima, ini bermakna beg sekolah yang baru ini juga akan wajib dibeli oleh ibu bapa.
"Komedi beg sekolah" tidak mungkin akan sampai ke grand finale apabila tirai dilabuhkan. Para protagonis dan sang badut masih terlari-lari berlakon di atas pentas untuk mencari jalan penyelesaian. Seperti biasa, waktu dan kesempatan akan digunakan sebagai helah penyelesaian kepada apa saja masalah. Ibu bapa diharapkan akan melupakan masalah beban buku yang dibawa oleh anak-anak mereka. Media yang mengacah-acahkan komedi ini akan membuka komedi baru pula. Akhirnya pementasan komedi awal tahun persekolahan ini akan dibuka kembali tahun hadapan.
Penonton dan orang ramai berasa kecewa kerana naskhah konflik asal daripada komedi beg sekolah gagal diselesaikan. Persoalan hakiki dari naratif ini tidak terusik. Dialog penting dalam komedi beg ini tidak pernah dilafazkan. Dialog-dialog seperti: Apakah perlu pada permulaan sekolah anak-anak dibebankan dengan buku teks? Kenapakah pada zaman penjajahan dahulu buku teks disediakan di sekolah? Apakah dengan banyak dan beratnya buku teks boleh membuka minda anak-anak sekolah? Kenapa di negara yang sering kita tohmah sebagai negara kurang bermoral (baca: negara Barat) mempunyai sistem pendidikan awal yang tersusun baik tanpa bebanan buku teks? Semenjak buku teks diperkenalkan dari peringkat darjah satu, bagaimanakah hasil kemajuan akademik murid-murid, selain daripada memperkayakan tuan punya syarikat percetakan?
Selagi dialog dan persoalan hakiki ini tidak dilafazkan oleh para protagonis dan sang badut, maka komedi beg sekolah pasti akan dipentaskan sekali lagi tahun hadapan. Mungkin ditambah pula dengan komedi sampingan "beg rekaan baru."
