Most Read
Most Commented
Read more like this

Jumaat lepas adalah hari lahir Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pastinya beliau mendoakan Barisan Alternatif terus maju, dapat mengukuhkan persefahaman dan berjaya meraih kemenangan dalam pilihan raya.

Mungkin itu doa ikhlas Anwar tetapi senario politik semasa tidak memungkinkan harapannya itu menjadi kenyataan. BA jangan bermimpi untuk berkuasa selepas pilihanraya umum 2004!

Senario politik semasa tidak memihak kepada PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat Malaysia untuk menang dalam pilihanraya ke-11 kelak.

Dalam keadaan hubungan antara parti-parti komponen BA renggang sekarang, gabungan itu bukanlah alternatif terbaik kepada Barisan Nasional. Dari segala segi, BN yang dipimpin oleh Umno masih kedepan dalam segala aspek terutamanya dalam soal persefahaman dan perpaduan sesama anggota komponennya.

Selain daripada mempunyai persefahaman yang baik, BN juga mempunyai kuasa, senjata paling penting dalam sesuatu percaturan politik. BA hanya sekadar mempunyai mimpi indah - tanpa persefahaman dan kuasa, tidak mimpi BA mungkin dapat direalisasikan.

Datuk Fadzil Noor, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah dan Dr Husin Ali - lupakanlah angan-angan untuk berkuasa selepas pilihanraya umum akan datang. Lupakanlah juga hajat untuk melihat pejuang reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas pilihanraya umur tersebut.

BA tidak akan mencapai kemenangan yang membolehkannya membentuk kerajaan kalau PAS dan DAP terus bercakaran. BA tidak akan menang jika rakyat tidak didedahkan dengan maklumat yang tepat dan telus. Tekanan-tekanan yang dilakukan oleh kerajaan BN sekarang tidak memungkinkan puak pembangkang mencapai impian untuk memerintah Malaysia pada tahun 2004.

Soal prinsip

Tentunya PAS dan DAP sedar hakikat ini tetapi mengapa mereka terus bercakaran? Mengapa mesti membuang masa membincangkan soal-soal prinsip yang sensitif kepada kedua-dua pihak hingga melupakan tekanan demi tekanan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap gabungan pembangkang?

Tidak bijaksana menekankan soal pembentukan negara Islam semasa BA sangat memerlukan sokongan bukan Islam untuk menang. Soal-soal besar seperti ini sepatutnya dibincangkan apabila BA sudah berkuasa. Perkara yang menakutkan pengundi bukan Islam itu - atau konsep 'Malaysian Malaysia' yang sangat sensitif kepada orang Melayu - sepatutnya tidak dibincangkan pada masa ini.

Apabila PAS dan DAP bertelagah mengenai soal prinsip ini, kedua-dua pihak sebenarnya memasuki perangkap yang dipasang oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. BN sengaja mengeksploitasi isu negara Islam yang dicita-citakan oleh PAS dan mengada-adakan isu perompak, pelajar dan pejuang Islam yang 'militan' untuk menjauhkan pengundi bukan Islam daripada PAS dan BA.

Sekarang, masa untuk semua komponen BA merapatkan saf dan membentuk persefahaman yang lebih padu supaya ia dilihat sebagai alternatif yang baik kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Bila sibuk bertelagah, segala tekanan yang dikenakan ke atas BA seperti tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pencabulan hak asasi manusia dan larangan berceramah tidak dapat ditangani dengan tersusun dan berkesan.

Bila BA dilihat sebagai pihak yang lemah kerana gagal menangani segala tekanan itu, rakyat akan mudah terpesong arah sokongan. Mereka akan menganggap pakatan itu hanya layak menjadi parti pembangkang kerana para pemimpinnya suka bertelagah sesama sendiri, tidak mementingkan agenda rakyat dan takut untuk menegakkan hak serta kebenaran.

Tekanan-tekanan yang dilakukan oleh kerajaan ke atas BA sekarang sangat besar kesannya - sama ada terhadap perkembangan pengaruhnya atau kantung kewangannya.

Sumbangan ceramah

Penahanan aktivis Keadilan mengikut ISA umpamanya telah melemahkan parti itu. Tanpa Tian Chua, Mohamad Ezam Mohd Nor, N Gobalakrishnan, Saari Sungib misalnya Keadilan kini seolah-olah lumpuh.

Begitu juga larangan berceramah, aktiviti dan saluran penyebaran maklumat PAS bukan sahaja tertutup, malahan tabung kewangan parti itu yang sebahagian besarnya dibiayai oleh wang derma semasa majlis ceramah telah terjejas.

Akhirnya akaun kewangan PAS akan kering dan apabila tiada wang, tentunya aktiviti parti sukar dijayakan. Sepatutnya langkah-langkah menangani segala sekatan ini menjadi agenda utama BA sekarang, bukannya bertelagah sesama sendiri mengikut rentak gendang BN.

PAS jangan terlalu yakin pilihan raya umum 2004 akan memihak kepadanya sebagaimana 'durian runtuh' yang diperolehinya pada 1999. Dalam politik, undi kepada seseorang atau sesuatu parti itu tidak pernah kekal.

Ia sentiasa berubah mengikut sentimen dan keadaan semasa. Orang Melayu yang buat pertama kali mengundi PAS, DAP dan Keadilan atau PRM dalam pilihanraya ke-10 mungkin kembali kepada tradisi memangkah dacing jika mereka kecewa dengan tindak-tanduk BA.

BA harus sedar, ketika mereka bertelagah sesama sendiri, BN bergerak secara halus dan kasar untuk memenangi hati rakyat. Nampaknya Dr Mahathir berusaha keras untuk meningkatkan sokongan orang Cina di samping mengekalkan undi Melayu yang masih berpihak padanya.

Pelbagai umpan diberikan kepada bukan Melayu - serentak dengan hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap orang Melayu yang tidak memihak kepadanya. Inilah strategi jangka panjang Dr Mahathir kerana beliau tahu dengan adanya 45 peratus undi Melayu padanya dan 80 peratus undi bukan Melayu, BN akan terus memerintah Malaysia selepas 2004.

BA pula terus berjuang tanpa formula kemenangan - ini bermakna PAS, DAP, Keadilan dan PRM hanya layak menjadi parti pembangkang buat selama-lamanya dan Anwar yang menyambut hari lahirnya Jumaat lalu akan terus merengkok dalam penjara.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS