Sejarah sentiasa berulang. Parti Melayu Semangat 46 berkubur selepas dua pilihanraya umum. Adakah nasib ini juga akan menimpa Parti Keadilan Nasional (Keadilan)?
Tanda-tanda sejarah hitam yang menimpa parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu mula menghinggapi parti yang diilhamkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. Perebutan jawatan sedang berlaku dalam parti itu, suatu pergolakan yang jarang berlaku dalam mana-mana parti pembangkang di negara ini.
Dalam sejarah DAP, PRM dan PAS, jarang berlaku perebutan jawatan. Lazimnya perubahan pucuk pimpinan dibuat secara licin dan berdisiplin tanpa menjejaskan perpaduan parti.
Bagaimanapun Keadilan mewarisi penyakit yang ada dalam Umno - perebutan jawatan dan kedudukan! Apakah yang perlu direbutkan di dalam sebuah parti yang baru setahun jagung usianya ini dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau kuasa pemerintahan?
Sepatutnya pemilihan jawatan buat pertama kali dalam Keadilan ini dibuat secara licin dan penuh kesepakatan. Tidak dinafikan Keadilan didukung oleh ahli-ahli yang berbeza fahaman dan kelompok. Kumpulan paling besar dalam parti ini ialah mereka yang datang dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kelompok-kelompok Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM), pertubuhan-pertubuhan pelajar dan pejuang hak asasi manusia serta profesional menguasai pucuk pimpinan parti ini. Bekas-bekas ahli Umno pula membentuk satu lagi kumpulan yang dominan.
Kelompok-kelompok ini mempunyai latar belakang dan fahaman yang berbeza. Mereka yang berasal dari NGO seperti Anuar Tahir, Dr Mohd Nor Manuty, Sheikh Azmi dan Tian Chua mempunyai idelisme yang tinggi dan sering melihat politik secara lurus.
Manakala kelompok bekas ahli-ahli Umno pula yang dikepalai oleh Ezam Mohd Nor, Azmin Ali, Ruslan Kassim dan Saifuddin Nasution pula lebih licik politik mereka.
'Mengabimkan' Keadilan
Khabarnya perebutan jawatan berlaku antara kelompok-kelompok ini dengan bekas-bekas pemimpin Abim bercita-cita menguasai kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Pemerhati melihat perkembangan ini sebagai satu proses "mengabimkan" Keadilan.
Anuar Tahir, Dr Mohd Nor Nawawi dan Mohd Nor Manuty ialah bekas orang kuat Abim dan mereka dikatakan bakal mengisi kekosongan kerusi nombor dua dan tiga parti itu.
Perebutan yang menolak kompromi ini dikatakan tidak disenangi oleh kelompok bekas ahli Umno dan ini menyebabkan Timbalan Ketua Pemuda, Hamdan Taha, Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang, Dr Abdul Wahid Suhaimi dan Ketua Penerangan, Ruslan Kassim enggan mempertahankan jawatan dalam parti.
Dua profesional dan cendiakawan dalam Keadilan, Dr Chandra Muzaffar dan Zainur Zakaria juga mengumumkan keputusan yang sama.
Walaupun mereka memberikan alasan tidak mahu aktif dalam politik dan mahu menumpukan perhatian pada kerjaya dan perniagaan namun para pemerhati politik melihatnya sebagai satu protes terhadap gejala perebutan kuasa yang sedang berlaku dalam parti itu.
Bekas-bekas ahli Umno terutamanya tidak senang dengan percubaan "mengabimkan" Keadilan ini kerana ia akan membunuh konsep pelbagai kaum yang cuba diterapkan dalam parti itu.
Mereka bimbang penguasaan bekas-bekas pemimpin Abim akan menyebabkan orang bukan Melayu menjauhi Keadilan. Mereka juga bimbang para bekas pemimpin Abim ini akan menggagalkan percantuman PRM dengan Keadilan kerana kelompok ini secara terbuka menentang cadangan penggabungan itu.
Bila berlaku perebutan jawatan di saat Keadilan sedang lumpuh oleh penahanan ramai pemimpin utamanya dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibimbangi parti ini akan menghadapi krisis kepimpinan serius yang akhirnya menyebabkan ramai ahli dan penyokongnya kecewa dan berpaling tadah.
Kepentingan parti
Para pemimpin Keadilan yang bercita-cita tinggi mahu memenuhi agenda peribadi masing-masing ini hendaklah sedar bahawa parti ini diwujudkan oleh gerakan rakyat. Semasa ditubuhkan ia diharapkan dapat memberi satu nafas baru kepada politik Malaysia. Keadilan berjaya mengharungi pilihanraya umum 1999 dengan baik - sokongan rakyat sangat memberangsangkan. Harapan rakyat sangat tinggi dan pemilihan pucuk pemilihan parti pada November depan di Kemaman Terengganu harus mengambilkira aspirasi rakyat ini.
Kalau Keadilan mahu sokongan rakyat terus kekal padanya, para pemimpinnya - Anuar Tahir, Dr Mohd Nor Nawawi, Mohd Nor Manuty, Saifuddin Nasution, Azmin Ali, Zainur Zakaria, Dr Chandra Muzaffar dan ramai lagi harus meletakkan kepentingan parti di tempat teratas.
Sebelum ini mereka sering mengkritik Umno kerana sentiasa dilanda perebutan kuasa namun kali ini diri mereka dihantui fenomena itu. Jalan penyelesaian paling baik ialah kompromi. Buat percaturan politik yang terbaik - pucuk pimpinan teratas Keadilan harus menggambarkan sifat multi etniknya.
Para pemimpin Keadilan harus ingat, musuh mereka terurtamanya Umno sentiasa menunggu peluang untuk "memancing" bekas-bekas orang Umno yang ada di dalamnya.
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Aziz Sheikh Fadzir terang-terang menyatakan akan memujuk Hamdan Taha untuk kembali kepada Umno. Gejala keluar parti ini harus dibanteras. Kalau ia berlaku, parti dan semangat ahli-ahli parti akan terjejas teruk kerana orang seperti Hamdan Taha, Mustafa Kamil, Zahir Mat Arip, Hanafiah Man dan Ruslan Kassim adalah tenaga penggerak utama parti itu.
Jalan tengah harus dicari untuk mengelakkan perebutan jawatan yang akan melemah dan memecahkan perpaduan parti. Kita tidak mahu teori yang diucapkan oleh para pemimpin Umno bahawa Keadilan akan menerima nasib seperti Semangat 46 menjadi kenyataan.
Mungkinkah Anwar Ibrahim mempunyai penawar kepada masalah yang sedang dihadapi oleh parti pimpinan isterinya ini?
