Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Budak sekolah panggil saya Cina Apek," kata Idris mengadu.

Dia memang nampak macam anak Cina. Sementelah pula mak dia memang ‘Cina apek’ pun. Cina Gua Musang.

Tapi kalau sekali pandang kamu tidak akan menyangka yang emaknya itu anak Cina betul. Ditambah pula dengan bahasa Melayunya yang langsung tidak terkesan pelat Cina.

Perangainya pula lebih Melayu daripada Melayu itu, justeru dia selalu disangka sebagai orang Melayu yang cuma kebetulan bermata sepet.

"Betullah, dah memang awak anak Cina. Apa pulak nak susah hati?" jawab kami kepada aduan si Deris itu. Dia Nampak sedikit kecewa kerana tidak dibela.

"Saya cakap saja," katanya.

Dia di tingkatan satu tahun ini, dan dari sekolah rendah Idris sudah digelar begitu.

Kami tidak mahu Idris berasa rendah diri hanya kerana digelar demikian, namun kami juga memberitahu dia untuk membelasah siapa saja yang berlebih-lebih dalam hal membuli.

Maksudnya jika dia ditumbuk sesiapa, maka kami benarkan dia untuk masuk ke dalam kancah bergasak.

Kami sampai mengajar dia beberapa buah silat yang masih kami ingat dengan penumpuan diberikan kepada apa yang ada di antara dua paha pembulinya itu.

Langsung tak sakit hati

Di sekolah kami dulu, Tengku Iskandar - yang sama seperti Idris yakni emaknya juga berketurunan Cina - juga kami gelar sebagai Apek. Dia memang seperti anak Cina totok.

Seperti Idris, Tengku Iskandar juga tidak boleh berbahasa Cina walau sepatah pun.

Untuk hal itu kami salahkan emak mereka, iaitu emak Iskandar dan juga emak Idris, yang tidak menggunakan bahasa Cina semasa di rumah. Cuma itulah, emak Iskandar memang tidaklah sefasih emak si Deris dalam berbahasa Melayu.

Mendiang Ghanarajah pula adalah ‘keling’ yang kami semua sayang. Dia yang juga kami panggil sebagai ‘gajah’ - kerana besar tubuhnya dan ‘Rajah’ pada namanya - tidak langsung mengambil hati bila dengan gelaran itu.

Ghanarajah tahu itu adalah term of endearment dan tanda akrabnya persahabatan antara kami.

Pernah sekali kami ternampak Ghanarajah di tengah orang ramai. Sambil menyorok kami berkata dengan kuat: ‘Keling tak boleh masuk sini!"

Melilau mata dia mencari dari mana punca suara itu.

Demi terlihat kami, dia berkata, "Aku tahu doh, mesti budok St Thomas yang bodo tu kalau panggil aku macam tu."

Lalu kami sama-sama gelak besar. Kami adalah "budak St Thomas yang bodoh" dan kami langsung tidak sakit hati apabila digelar begitu.

Biasanya kita marah apabila dipanggil dengan pelbagai gelaran disebabkan oleh intonasi yang digunakan. Duduk dengan kawan-kawan baik, digelar ‘babi’ sekalipun kita akan ketawa.

Namun apabila orang lain atau individu yang tidak rapat dengan kita menjeritkan ungkapan sama, kita akan jadi marah.

Kita gelar orang itu dan orang ini sebagai kafir, dan bersama gelaran itu datangnya sangkaan bahawa mereka itu kita samakan dengan Abu Jahal, Abu Lahab serta Ubai bin Khalaf.

Gelaran kafir itu datang bersekali dengan maksud bahawa mereka itu tidak ada jalan pulang yang lebih baik.

Yakin jadi ahli syurga

Kita sangka bahawa siapa saja yang belum menerima Islam adalah sama dengan mereka yang disebut oleh al-Quran sebagai orang yang tidak mungkin mendapat kemaafan.

Bertegaslah kita mahu mengkafirkan semua orang yang tidak sehaluan dengan fahaman kita kerana menyangka bahawa kita ini kumpulan yang diuntungkan oleh Tuhan.

Kita lupa bahawa Ustaz Ravi adalah ‘keling’ yang bacaan al-Qurannya jauh lebih baik daripada kita semua, manakala Ustaz Hussain Yee pula ‘Cina apek’ yang begitu dihormati dalam kalangan masyarakat fasih dalam ilmu agama.

Kita ini walau tidak sembahyang, walau malas membaca al-Quran, namun sentiasa berasa aman kerana diyakinkan bahawa sejahat mana pun kita, kononnya nanti setelah dibasuh segala dosa, lalu bakal bersenang-lenang di dalam syurga buat selama-lamanya.

Apabila pelakon Will Smith berkata yang dia membaca al-Quran sepanjang Ramadan ini, kita jadi bangga tak tentu hala.

Padahal di rumah kita, kitab suci itu mengumpul habuk menunggu untuk dibuka.

Hubungan dengan Tuhan kita abaikan sementara hubungan dengan manusia pula kita ambil dengan bersangka-sangka. Lalu kita sangat yakin bahawa kita ini pasti dan pasti adalah bakal ahli sorga? Mana maunya yoep!

Semua kita adalah bersalah kerana saling tidak mahu menjadi sahabat. Melayu dengan ketuanannya sementara bangsa-bangsa lain pula sentiasa memandang ‘tuan’ ini sebagai bangsa yang diuntungkan negara.

Lalu apabila kita semua masuk ke dalam hal beragama, faktor bangsa masih memainkan peranan penting. Kita sangka yang Islam adalah Melayu dan Melayu adalah islam.

Kerana itu juga kita berasa belas apabila melihat ada Cina misalnya, sesudah memeluk agama Islam lalu mereka memaksa diri untuk menjadi lebih Melayu daripada Melayu.

Berbaju Melayu ke sana ke mari dan sibuk membela bangsa yang satu itu.

Walhal tidak pernah ada ketetapan di mana sekalipun yang jika kamu berbangsa Melayu maka Islam adalah agama kamu.

Tidak juga ada sebarang syarat bahawa kamu mesti menjadi Melayu apabila memeluk agama Islam.

Lihat di Bali sebagai contoh. Hampir seluruh penduduknya berkulit sawo matang, namun lebih ramai yang mengamalkan ajaran Hindu. Di Filipina pula sebahagian bangsa Melayu adalah beragama Kristian.

Lebih menarik adalah penduduk Bali yang beragama Hindu itu kekal dengan tanjak dan kain samping. Malah mereka juga sering dilihat bersongkok yang menjadi kebanggaan sebahagian orang Melayu di tempat kita.

Tumpu dalami agama

Siapa pun yang masuk kepada agama Islam tidak diwajibkan untuk menukar nama asal mereka kepada nama Melayu. Ini harus kita tekankan supaya semua orang tahu yang nama tidak menjadikan seorang itu Islam atau kafir.

Selagi ia bermaksud baik maka nama apapun boleh diterima oleh Islam.

Lainlah jika nama kamu itu - jika diterjemah - bermaksud "babi guling yang sedap" misalnya.

Kerana bencikan Melayu juga menyebabkan agama Islam dipandang sebagai sesuatu yang jelik lagi menjengkelkan oleh sesetengah orang daripada bangsa-bangsa lain.

Masih terdapat kes ahli keluarga memutuskan hubungan dengan mana-mana anggotanya yang memeluk Islam.

Orang Melayu pula tidaklah membantu apabila sibuk dengan agenda melebihkan bangsanya berbanding beramal mengikut ketetapan beragama.

Islam tidak pernah menyuruh sesiapa pun memutuskan hubungan kekeluargaan sejurus kamu mengucapkan dua kalimah syahadah. Bahkan mereka disarankan untuk kekal rapat dengan semua orang termasuk saudara-mara yang tidak seagama.

Kerana itu, kepada mereka yang sudah dan akan memeluk Islam, kekallah menjadi ‘Cina apek’ dan juga ‘keling’ kerana semata-mata menjadi Melayu tidak ada sedikit pun kemuliaannya di sisi Tuhan.

Orang Melayu pula jangan terlalu sibuk mahu mengkafirkan semua orang.

Kamu sudah duduk dalam agama yang benar. Sepatutnya berusahalah untuk terus kekal di dalam agama itu dengan memberi tumpuan yang lebih dalam memahami Islam.

Luangkan masa untuk ke masjid lebih dari masa di tempat lain. Jika bukan lima waktu, jadikan masa di antara Maghrib dan Isyak setiap hari sebagai masa untuk kita semua memuhasabah diri misalnya.

Masjid pula disarankan untuk jadi lebih mesra pengguna dan tidak disibukkan dengan peraturan yang pelbagai rupa. Masjid adalah rumah Allah dan Dia menerima bagaimanapun rupa dan bentuk tetamunya.

Kita bimbang jika terlalu sibuk menuduh orang itu orang ini kafir, rupa-rupanya kita sendiri sebenarnya tidak pernah duduk pun di dalam ajaran Islam.

‘Gajah’  meninggal dunia lebih 20 tahun lalu akibat kanser paru-paru manakala Tengku Iskandar - dengan rambut belah tepi dan kemeja serta seluar slack - masih ‘apek’ yang kami kenal lebih dari 30 tahun dulu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang gemar menikmati masakan orang Cina.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS