Sekali lagi isu ajaran sesat muncul untuk dijadikan agenda wacana nasional. Isu ini muncul urutan kejadian kecurian senjata di kem tentera di Grik dan Banding, Perak.
Sebenarnya wacana ajaran sesat ini tidak pernah lupus daripada ingatan masyarakat Malaysia terutama orang Melayu yang beragama Islam.
Dalam konteks negara ini, konsep "ajaran sesat" hanya dikaitkan dengan pengikut Islam dan majoriti penganutnya orang Melayu. Justeru, secara automatis anggota masyarakat yang sering diperkatakan sebagai "dipengaruhi" untuk mengikuti ajaran sesat adalah orang Melayu.
Sebenarnya konsep ajaran sesat ini bukan suatu yang baru. Ia juga bukan khusus untuk Islam sahaja. Dalam tradisi Kristian, juga wujud konsep heretic - atau mereka yang sesat dan menyeleweng. Zaman Pasitan Sepanyol (1475-1650) adalah contoh terbaik lembaga gereja telah menuduh sesiapa saja yang berani menentang kekuasaan paderi sebagai kumpulan heretic .
Pada zaman itu, sesiapa yang dituduh sesat boleh dipenjara, diseksa atau dibunuh. Joan of Arc (1412-1431) merupakan contoh daripada ribuan mangsa akibat konsep "menyeleweng" dalam sejarah Kristian. Anak gadis Perancis ini akhirnya mati dibakar. Tetapi hari ini mendiang Joan telah dinobatkan sebagai seorang wali untuk penganut Kristian Roman Katolik.
Apabila kuasa Sepanyol memasuki Amerika Latin, mereka juga memperkenalkan Kristian. Penduduk asli Amerika Latin yang mempunyai ribuan tahun tamadun dan kepercayaan sendiri telah dipaksa memeluk Kristian.
Hujah yang digunakan untuk memaksa penduduk asli ini ialah anggapan bahawa agama tempatan yang dipegang oleh penduduk itu menyeleweng daripada kitab Bible.
Manakala dalam sejarah Islam sendiri terdapat banyak contoh "ajaran sesat." Di Pakistan pada tahun 1972, secara rasmi mazhab Ahmadiah (Qadiani) telah dianggap terkeluar daripada Islam. Hingga ke hari ini, ada penganut-penganut Ahmadiah yang dipenjara atau perkampungan mereka dibakar.
Pada tahun 1981, apabila Profesor Abdul Salam memenangi hadiah Nobel untuk ilmu fizik, timbul ketegangan dan tuntutan agar profesor ini dilarang masuk ke Pakistan kerana beliau seorang pengikut warak "ajaran sesat" Ahmadiah.
Ini agak berbeza sedikit dengan apa yang terjadi kepada pengikut mazhab Ismaili. Di Pakistan, kebanyakan saudagar dan peniaga di bazaar - kecil dan besar - adalah penganut mazhab ini. Pengikuti Ismaili menguasai satu cabang jual-beli yang begitu penting.
Kerana mereka mempunyai kekuataan ekonomi, maka mereka tidak pula menerima sasaran seperti yang diterima oleh pengikut Ahmadiah.
Di Iran yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah, mereka menganggap penganut Bahai dan Majusi sebagai pengikut ajaran sesat. Mereka diperlakukan sama seperti penganut Ahmadiah di Pakistan. Ramai penganut mazhab ini melarikan diri dari Iran.
Dalam konteks politik moden, terdapat juga konsep heretic atau ajaran sesat. Di Republik Bersekutu Soviet Sosial, pada zaman Joseph Stalin, Leon Trotsky telah dianggap pengembang ajaran sesat.
Trotsky dituduh demikian kerana menentang dan mengkritik tindak-tanduk Stalin yang dilihat oleh Trotsky sebagai percanggahan dengan cita-cita dan falsafah Revolusi Bolshevik. Akhirnya Trotsky dihalau keluar dari USSR dan beliau mendirikan mazhab revolusinya sendiri.
Sesudah kematian Stalin, pimpinan Parti Komunis USSR dipimpin pula oleh Khrushchev. Pada tahun 1960, Setiausaha parti ini telah dituduh pula "menyeleweng" oleh Mao Zedong. Dalam istilah gerakan komunis antarabangsa, Krushev dianggap revisionist atau "menyelewengkan" ajaran Marx dan Lenin.
Contoh-contoh ini, sama ada ajaran agama kitab atau ajaran politik moden, masing-masing mempunyai penganut atau pengikut yang dituduh sesat. Dari sini timbul satu persoalan, siapakah yang dapat memberikan takrifan ajaran yang mana sesat dan yang mana tidak sesat?
Namun, hujah atau tuduhan sesat ini selalunya datang daripada pihak yang memiliki kuasa. Kuasa ini mungkin bersifat ekonomi, politik, senjata atau agama. Kuasa inilah yang berupaya menguatkuasakan takrifan sesat atau tidak.
Dalam konteks badan politik masyarakat moden seperti di Malaysia hari ini, negaralah yang mempunyai kuasa dan keupayaan untuk melabelkan sesuatu kelompok atau kumpulan dalam masyarakat itu sesat atau tidak.
Daulah mempunyai jentera seperti undang-undang, lembaga kehakiman, polis dan tentera sebagai penguatkuasa. Tanpa lembaga-lembaga ini, tidak mungkin muncul konsep ajaran sesat.
Ajaran sesat bermula apabila satu kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza daripada anutan daulah atau asas ideologi negara. Perbezaan pandangan politik atau agama adalah satu pekara yang biasa dan wujud dalam semua masyarakat pada semua masa.
Tetapi apabila pandangan politik atau pandangan agama ini mula dilihat berkembang dan popular, maka sikap daulah akan berubah. Apabila pandangan kumpulan baru ini berupaya mencabar dan menggugat kuasa daulah, maka akan muncul tuduhan ajaran sesat.
Daulah akan menuduh sesuatu kelompok sebagai pengembang atau penganut ajaran sesat jika dirasakan kuasa daulah tercabar dan terggugat.
Dalam konteks budaya politik Malaysia, tuduhan ajaran sesat akan membuka banyak permasalahan terutama kerana Malaysia dimiliki pelbagai bangsa dengan berbagai-bagai pendekatan dan pegangan agama.
Untuk ketika ini, hanya beberapa kumpulan dan penganut Islam sahaja (baca: Melayu) yang dituduh pengikut ajaran sesat. Kesesatan ini hanya diperlihatkan dalam amalan adat keIslaman.
Pada ketika ini Umno sahaja yang mempunyai kudrat untuk menuduh sesiapa saja daripada kumpulan Islam-Melayu yang lain sebagai "sesat." Dalam masa yang sama, jika PAS atau parti politik Islam lain pada satu ketika nanti memiliki kudrat ini, maka mereka juga berupaya menuduh kumpulan Islam-Melayu yang tidak selari dengan mereka sebagai sesat. Justeru tuduh-menuduh ini mungkin tidak berkesudahan.
Apa yang seharunya dilakukan hari ini, akibat kejadian rampasan senjata ini ialah semua pihak menolak semua bentuk keganasan. Keganasan yang ditolak ini bukan hanya datang daripada pembangkang sahaja tetapi jenis keganasan yang datang daripada daulah juga wajib ditolak
Perbezaan pendapat dan pandangan adalah ciri-ciri demokrasi. Semua pandangan boleh dihujah, dikritik atau diterima. Dalam suasana yang bebas, tidak mungkin pandangan atau idea yang karut-marut boleh diterima. Hanya dalam suasana yang gelap, maka segala macam tahyul dapat berkembang biak.
Kebenaran dan keadilan bukan hanya monopoli satu bangsa atau satu parti politik.
