Minggu lepas, sehari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun, keluarlah ulasan peribadi daripada berbagai-bagai pemimpin dunia. Ini diikuti kenyataan dan pandangan rasmi dari beberapa kerajaan dan badan-badan antarabangsa.
Akhbar-akhbar tersohor dari Timur dan Barat turut sama menulis lidah pengarang yang mempertikaikan kewibawaan sistem kehakiman kita. Suara dan pandangan rakyat dunia terhadap kes Anwar kelihatan seirama. Air telah dibulatkan oleh pembetong.
Tetapi, semua kenyataan dan pandangan rasmi ini cuba dipadamkan daripada pengetahuan dan pembacaan orang ramai. Akhbar arus perdana kita, terutama yang berbahasa Melayu, mengambil jalan untuk tidak melaporkan ulasan-ulasan dan pandangan ini. Media kita, laporan sahihnya yang dipercayai hanyalah keputusan tikam nombor ekor Toto, menggunakan taktik lama: jika tidak dilaporkan, maka perkara ini tidak berlaku.
Sayangnya, akhbar tempatan kurang sedar, punca berita dan maklumat tidak lagi dapat dimonopoli oleh mereka sahaja. Hegemoni maklumat telah pecah terburai. Daulah tidak lagi mempunyai kuasa muktamad untuk menentukan apa yang boleh dibaca umum dan apa yang harus dilarang. Teknologi internet berjaya mengubah semua keadaan. Hubungan antara berita-maklumat dengan pembaca telah berubah.
Teknologi internet membawa budaya baru. Satu bentuk budaya yang belum pernah wujud sebelum ini. Ke mana arah tuju budaya ini masih terlalu awal untuk ditentukan. Apa yang sahih ialah, internet memungkinkan rakyat dunia untuk berhubung dan berbincang antara satu sama lain dalam detik masa yang sama. Jarak antara ruang dan masa semakin didekatkan.
Justeru, budaya baru seperti ini membolehkan sesiapapun di dunia ini memberi apa saja bentuk ulasan terhadap apa yang sedang berlaku di Malaysia atau di mana saja. Kerajaan, lembaga-lembaga antarabangsa, badan bukan kerajaan, individu atau pun akhbar di dunia ini tidak mungkin dapat dihalang daripada menyuarakan pendapat mereka.
Sampai masanya pihak berkuasa menerima hakikat pembudayaan baru ini. Satu anjakan pemikiran baru perlu diterapkan untuk menerima hakikat baru ini. Anjakan pemikiran ini wajib diambil jika kita ingin diterima dan ingin menampilkan diri kita sebagai sebahagian dari kaum kerabat manusia bertamadun di dunia kini.
Anjakan pemikiran ini juga memaksa kita menerima hakikat bahawa negara dan rakyat pelbagai bangsa di dunia ini hidup saling kait-mengait antara satu tamadun dengan yang lain. Rakyat di dunia saling pengaruh dan mempengaruhi. Kita tidak mungkin dapat terus tinggal di dalam tempurung zon selamat yang kita cipta. Orang ramai sedar dan tersenyum melihat kerajaan Malaysia tidak dapat menggunakan Akta Kesalamatan Dalam Negeri untuk menangkap Madeleine Albright, Al Gore atau Bill Clinton kerana mempertikaikan kewibawaan badan kehakiman Malaysia.
Kerajaan juga tidak ada kudrat untuk menggunakan Akta Pertubuhan bagi menutup badan-badan bukan kerajaan seperti Amnesty International, Mahkamah Antarabangsa Juri-juri (ICJ) atau Bank Dunia. Kerajaan Malaysia tidak berupaya menggunakan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak untuk menutup dan mengharamkan akhbar Washington Post, The Nation (Bangkok), The Times (London), The Guardian atau The Melbourne Age .
Kerajaan Malaysia harus disedarkan bahawa media di luar negara bukan seperti Utusan Malaysia atau TV3. Stesen televisyen CNN bukan RTM yang boleh disuruh atau diarah untuk mengeluarkan berita ini atau berita itu. Media luar negara adalah satu lembaga yang bergerak bebas berlandaskan hukum-hakam kewartawanan dan jual-beli berita.
Komen-komen dari luar negara yang bersangkutan dengan kewibawaan lembaga kehakiman kita, walau pun tidak dilaporkan media perdana negara ini, telah disambut oleh kokok bodoh sombong menteri-menteri Umno. Wajib kita bersama-sama menyedarkan menteri-menteri ini bahawa sikap bodoh sombong itu telah terlalu lama mereka gunakan sehinggakan 'kesombongan' itu telah lesap dan tinggal hanya 'kebodohan'.
Retorik politik yang dihamburkan di dewan PWTC mungkin sedap didengar dan menjemput tepukan gemuruh. Mengutuk dan menibai orang luar hingga ke satu tahap mungkin boleh diterima sebagai sikap "nasionalis" atau "patriotik". Tetapi apabila hujah yang sama terus digunakan untuk menghalalkan segala bentuk kezaliman, maka sikap ini akan menimbulkan persoalan tentang kewarasan otak mereka yang terus menggunakan hujah ini.
Selama manakah rakyat ingin dikaburi dan disongsangkan pandangan mereka daripada mengetahui dan memahami apa yang sedang berlaku terhadap lembaga kehakiman negara kita? Apakah jika media kita tidak melaporkan komen-komen dari luar negeri ini bermakna lembaga kehakiman kita berwibawa dan boleh dipercayai?
Soalan "kasar" seperti ini diharapkan akan mengejutkan menteri-menteri daripada tidur di siang hari. Mereka wajib diberitahu bahawa cara yang betul untuk mentadbir kerajaan ialah melakukan keadilan, bukan bertempik-tempik menuding jari mencari salah orang lain.
Walaupun kerajaan Barisan Nasional telah dapat membuktikan dengan fakta-fakta sahih bahawa kerajaan Wadunga Wadungu sedang menahan rakyat mereka tanpa bicara, mengharamkan akhbar atau melarang rakyat berkumpul; semua ini tidak semestinya akan menambahkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap lembaga kehakiman kita.
Oleh kerana kerajaan Wadunga Wadungu ganas menekan dan menindas rakyat mereka yang berkulit biru; fakta ini tidak dapat menjuruskan atau membuktikan bahawa kerajaan BN hari ini menjadi adil, telus dan saksama. Jika negara lain mengganasi rakyatnya tidak semestinya kerajaan Malaysia perlu mengikutinya. Kezaliman tetap juga kezaliman.
Kesatuan pandangan rakyat dunia terhadap lembaga kehakiman kita bukan kerana mereka mempunyai agenda tersorok. Rakyat dunia sependapat kerana mereka dapat melihat dari luar dengan jelas dan terang tanpa ugutan dan tekanan. Sampai bilakah menteri-menteri Umno sanggup melawan arus pandangan dunia?
