Most Read
Most Commented
Read more like this

Pada pagi 29 November, saya diberitahu oleh sahabat saya Tan Kai Hee bahawa kawan kami Saudara Usman Awang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berita sedih ini tidak terlalu memeranjatkan kerana beberapa bulan dahulu, saya bersama Tan telah melawat Allahyarham di Pusat Perubatan Pantai. Kami tahu beliau kian tenat. Tetapi, beliau masih cuba bertahan dengan tabah hati.

Pemergian beliau bukan saja bermakna negara kita telah kehilangan seorang sasterawan agung yang patriotik dan humanis, rakyat berbilang kaum juga telah kehilangan seorang pejuang yang menjunjung tinggi panji keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan yang universal tanpa mengira ras.

Dalam tahun 1950an dan 1960an lagi, Usman Awang (lebih dikenali sebagai Tongkat Warrant) merupakan sasterawan idola di kalangan pelajar dan aktivis Cina yang berhaluan kiri. Sebagai tokoh Asas 50 (Angkatan Sasterawan 50), beliau bersama Keris Mas dan A Samad Ismail, merupakan pendukung aliran "Seni untuk Masyarakat" yang bertentangan dengan aliran "Seni untuk Seni" yang dipelopori oleh Hamzah Hussein.

Oleh kerana "Seni untuk Masyarakat" adalah slogan aliran realisme yang merupakan arus utama ideologi penulis berhaluan kiri masa itu, Usman Awang dan kawan-kawan sealirannya disambut baik oleh pelajar dan aktivis Cina kontemporari. Banyak karya mereka telah diterjemah dan diterbitkan dalam majalah dan suratkabar tempatan dari semasa ke semasa.

Usman Awang mendapat tempat yang istimewa di kalangan pembaca kaum Cina kerana penguasaan bahasanya yang indah dan menarik. Kekayaan mesejnya yang pelbagai dan berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang universal dan melintasi batasan ras, serta penyatuan realisme (isi/mesej) dengan romantisme (bentuk/ penyampaian) begitu harmonis dan unik sekali.

Pencapaian beliau sebagai seorang sasterawan realis rasanya boleh dijadikan tauladan yang klasik di negara kita tanpa banyak dipertikaikan. Ini adalah sumbangan beliau kepada aliran sastera realisme negara kita, rantau ini dan dunia.

Diskriminasi

Pada tahun 1983 ketika beliau berkhidmat di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera dan Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan inisiatif beliau, suatu perhimpunan penulis pelbagai kaum telah diadakan. Perbuatan yang boleh disalahtafsirkan sebagai mengkhianati kedaulatan penulis Melayu ini membuktikan keberanian beliau untuk melakukan sesuatu yang dianggap betul dan patut dilakukan.

Tidak dapat dinafikan bahawa dasar kebudayaan kerajaan yang hanya mengiktiraf karya yang dicipta dalam bahasa Melayu sahaja sebagai Sastera Nasional merupakan diskriminasi terhadap penulis yang menulis dalam bahasa bukan-Melayu.

'Ketuanan Melayu' yang menjelma akibat pelaksanaan Dasar Sastera Negara ini telah memecah-belahkan penulis-penulis pelbagai bahasa negara kita dalam dua kategori: Penulis yang menulis dalam bahasa Melayu yang diiktiraf oleh kerajaan, dan penulis yang menulis dalam bahasa bukan-Melayu yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Agak lucu dan tidak masuk akal bagi seorang penulis tribahasa umpamanya, jika ia menulis dalam bahasa Melayu, hasilnya diiktiraf sebagai Sastera Negara, jika ditulis dalam bahasa Cina atau bahasa Tamil, sungguhpun isi dan mesejnya serupa, ia tidak akan diiktiraf sebagai Sastera Negara.

Inisiatif Usman Awang ini telah menggalakkan penulis-penulis Cina yang dapat menguasai Bahasa Kebangsaan untuk mengusahakan terjemahan Cina-Melayu selain daripada Melayu-Cina secara lebih sistematik. Jawatankuasa Penyelarasan Penterjemahan Penulis-penulis Berbagai Kaum telah ditubuhkan di bawah DBP untuk memberi bantuan dari segi bahasa dan kewangan.

Jawatankuasa tersebut telah dirombak pada tahun 1998 sebagai Majlis Penulis-Penulis Pelbagai Kaum untuk meluaskan skop kerjasama antara penulis-penulis pelbagai kaum di bawah DBP.

Inisiatif Usman Awang telah melahirkan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia oleh penulis-penulis Cina pada tahun 1986. Persatuan ini juga sering mendapat galakan dan bantuan daripada Usman Awang yang sangat mengambil berat tentang usaha penterjemahan yang diselenggarakan. Beliau juga kesal kerana jarang kedapatan penulis Melayu yang berkecimpung dalam bidang penterjemahan Melayu-Cina atau Cina-Melayu yang sangat bermakna ini.

Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, antara lain, telah menghasilkan dua antologi cerpen Mahua yang berjodol Angkatan Ini dan Gadis dalam Gambar , sebuah sejarah sastera Mahua yang disusun oleh Yang Kui Yi yang berjodol Sejarah Perkembangan Sastera Mahua , dan sebuah sastera klasik China yang akan diterbitkan yang berjodol Hikayat Pinggir Air .

Pada tahun 1983, sesudah Usman Awang dinobat sebagai Sasterawan Negara , 'Malam Salam Benua' telah dianjurkan oleh beberapa orang kawan untuk meraikan beliau. Ratusan orang dari kalangan pendidikan dan kebudayaan telah menghadiri malam perayaan tersebut.

Puisi-puisi klasik Usman Awang telah dideklamasikan dalam bahasa Melayu dan Cina, dan beberapa adegan drama musika Uda dan Dara juga telah dipertunjukkan .

Kata-kata hikmah

Pada malam itu juga, dalam ucapan Usman Awang, kata-kata hikmah yang sering dipetik telah diutarakan dengan lantang: Musuh orang Cina bukan orang Melayu, dan musuh orang Melayu juga bukan orang Cina. Musuh bersama kita ialah kemiskinan, ketidak-setaraan dan penindasan . Kata-kata ini sungguhpun diucap pada tahun 1980an, ia masih benar pada masa kini memandangkan hubungan kaum dalam negara kita masih tegang lagi.

Pada 25 November 1998, majlis meraikan 50 tahun Usman Awang berkecimpung dalam dunia kesusasteraaan telah diadakan di Actors Studio, Dataran Merdeka. Tan Kai Hee sebagai seorang kawan karib Usman Awang telah diundang untuk memberi ucapan dalam bahasa Mandarin sungguhpun Tan fasih berbahasa Melayu (bahasa yang digunakan oleh pengucap lain termasuk bahasa Melayu, Tamil, Palestin, Inggeris dan Rusia).

Saudara Tan telah berkata: "Kawan saya Usman Awang, selama 50 tahun, beliau merupakan panji yang melambangkan perpaduan kaum, perdamaian, dan progresif. Puisi-puisi, karya-karya dan fikiran beliau memberi galakan yang mendalam kepada rakyat jelata dan rangsangan yang bersemarak kepada idealis dan aktivis negara ini.

"Setengah abad telah beliau lalui, penuh dengan pahit getir dan azab sengsara, beliau tetap hidup dengan tabah dan gigih.

"Pelbagai perangkap dan godaan telah beliau hadapi, beliau tetap 'teguh seperti sebuah institusi' .

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS