Most Read
Most Commented
Read more like this

Dua hari lalu, saya sampai ke Lunas untuk kali kedua. Lebuhraya dibasahi hujan yang mencurah-curah. Apabila memasuki pekan Lunas, saya dapat rasakan udara petang yang segar.

Pelbagai jenis kereta, yang pastinya datang dari luar, masih lagi bersimpang-siur tanpa hala tujuan. Keadaan ini diganggu pula oleh kerja menurap jalan oleh Jabatan Kerja Raya - kelihatan begitu rajin dan tekun sekali.

Sepanduk, banting, kain rentang dan poster gambar orang politik kelihatan bertaburan. Kain rentang dengan iklan: Menteri ini merasmikan itu dan menteri itu merasmikan ini, kelihatan terentang di pesisiran jalan. Warung-warung yang dahulunya tidak wujud, tiba-tiba muncul dengan pelbagai barangan Reformasi. Warung barangan politik ini diselang-seli pula gerai yang menjual juadah berbuka puasa.

Aduh! Inilah suasana pesta pilihanraya kecil Lunas yang kini telah sampai kemuncaknya.

Hujan yang datang mencurah-curah petang itu seolah-olah ingin membersihkan segala "kekotoran politik" yang telah dibawa ke daerah pedalaman ini. Atau hujan ini rahmat untuk menyambut kedatangan DAP yang telah merajuk seminggu dahulu tetapi datang merujuk kembali?

Berita DAP merujuk terus menjadi perbualan pemerhati politik daripada semua mazhab. Sebuah van sedang bergerak ke hulu ke hilir mengelilingi kawasan Lunas dengan alat pembesar suara untuk mengumumkan ceramah raksasa - Lim Kit Siang sendiri akan muncul bersama tiga orang presiden gabungan Barisan Alternatif. Laungan dari van ini semakin menceriakan suasana hari pertama berbuka puasa di Lunas.

Hampir jam 9 malam, seperti telah dijanjikan, tiba-tiba hujan renyai-renyai terus berhenti. Kelembutan malam dapat dirasakan dalam asakan ribuan orang yang berpusu-pusu datang untuk mendengar dan melihat si pencermah. Barisan hadapan, yang paling hampir dengan penceramah, telah dipenuhi masyarakat Tionghua yang ingin mendengar ucapan dari pertubuhan utama pendidikan Cina, Dong Jiao Zong atau dari Pengerusi DAP.

Seperti biasa orang politik bangun berucap dengan retorik mereka. Dr Mahathir Mohamad menerima kutukan dari setiap penceramah. Kemualan dan kebencian orang ramai malam itu terhadap Perdana Menteri tidak dapat disorokkan lagi. Setiap kali laungan "undur Mahathir" disambut dengan gemuruh oleh hampur 10,000 pendengar.

'Bahasa badan' pemimpin BA

Penolakan Sekolah Wawasan kini menjadi agenda politik terpenting masyarakat Tionghua. Orang Melayu pasti masih samar-samar tentang apakah yang sebenarnya konsep dan falsafah Sekolah Wawasan. Sayangnya pada malam itu tidak pula ada penceramah yang dapat menerangkan dengan jelas. Penceramah Dong Jiao Zong telah menerangkan pandangan mereka dengan panjang lebar tetapi dalam bahasa Cina.

Sebenarnya isi ceramah ini tidak begitu penting. Yang penting, "bahasa badan" pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif yang dapat dilihat kembali duduk bersama satu barisan. Inilah yang ingin dilihat oleh penduduk di Lunas pada malam itu. Tidak dapat tidak ceramah raksasa ini telah berjaya menaikkan nafsu politik penyokong Barisan Alternatif untuk pulang bermimpi bahawa kerusi Lunas adalah milik mereka.

Esoknya, pagi, saya berjalan di pekan Lunas. Pekan dengan dua deretan kedai ini - tidak sampai 200 buah - mungkin tidak akan menjadi agenda lawatan saya jika tidak ada pilihanraya kecil ini. Kedai tua di bandar ini suatu ketika dahulu bergantung kuat dengan ekonomi getah. Malah masih ada sebuah kedai yang khusus membeli getah buku betul-betul di tengah bandar ini.

Kemiskinan bandar ini jelas jika dinisbahkan dengan empat buah kedai pajak gadai. Sebuah pekan kecil yang mempunyai empat kedai pajak memberi makna kepada saya bahawa penduduk di sekitar bandar ini sering keputusan wang dan perlu bergolok-gadai.

Di tengah bandar ini saya terserempak dengan sekumpulan orang kampung yang sedang menonton video ucapan Saifudin Nasution. Saya tersenyum dan melarikan diri agar tidak dijemput masuk ke dalam kedai. Hati saya cukup senang kerana telah ada persefahaman yang baik di antara orang Melayu dengan orang Tionghua yang berani memberikan rumah kedai mereka untuk dijadikan markas.

Tidak jauh dari markas ini ialah bilik gerakan Barisan Nasional. Walau pun markas BN ini tidak berorang tetapi bilik operasi mereka diletakkan beberapa buah Pajero dan kereta-kereta besar yang numbor pendaftarannya dari luar.

Saya merapati tembok dan tiang kedai untuk melihat pelbagai poster yang terpasang. Gambar Saifuddin Nasution kelihatan lebih banyak terpampang daripada gambar calon BN. Apakah ini memberi makna bahawa di bandar Lunas ini Saifuddin lebih popular, tidak pula dapat saya pastikan.

Apa yang saya pasti, semenjak dua hari yang lalu masyarakat Tionghua telah mula beranjak daripada Barisan Nasional kepada Barisan Alternatif. Anjakan ini dapat saya perhatikan kerana pada hari penamaan calon saya tidak dapat melihat kibaran bendera DAP dan orang Tionghua tidak datang bersama di pejabat daerah untuk meraikan calon Barisan Alternatif.

Lantai yang sama

Justeru, jika saya diberi peluang untuk menjadikan nujum dan menelik siapakah yang akan menang; maka jawapan saya ialah Saifuddin Nasution. Tetapi saya juga seorang realist dan tidak mahu harapan dan angan-angan saya mengaburi pembacaan tafsiran politik hari ini. Jika pertandingan pilihanraya kecil Lunas ini dijalankan di lantai yang sama, maka kemenanganBarisan Alternatif sudah pasti.

Tetapi hakikatnya amat berlainan. Berita kehilangan nama 1,400 pengundi telah mula tersebar. Siapa mereka ini dan kenapa nama mereka tidak di dalam senarai pengundi tidak mungkin dapat saya berikan penjelasan. Pagi ini, Samy Vellu telah dilaporkan berkata dalam akhbar bahawa beliau sedang mencari 400 orang pengundi yang tinggal di luar pekan Lunas. Apakah mereka yang bukan "orang Lunas" ini bakal menjadi pengundi hantu? Hanya Samy yang dapat menjawabnya.

Telah ada desas-desus tentang beberapa buah lori yang dilihat masuk ke kampung membawa beras dan bahan-bahan makanan. Apakah mereka ini sedang bersedia untuk menjalankan perang gerila atau beras ini ditujukan untuk membeli undi?

Satu perkara lagi yang menjadi komedi ialah bagaimana pemuda Barisan Alternatif diarahkan untuk menjaga kawasan kampung pada malam sebelum hari membuang undi. Saya bertanya dengan penuh kehairanan, apakah ada harimau atau babi luka yang akan melanggar kampung? Jawapannya tidak. Mereka mengawal kedatangan kereta Pajero yang dijangka akan menaburkan beg duit untuk membeli undi orang kampung.

Semua ini membuktikan kepada saya, bahawa pilihanraya kecil di Lunas ini tidak banyak bezanya daripada piliharaya umum. Mereka yang ingin berkuasa akan menjalankan pelbagai tipu-helah untuk meneruskan kuasa mereka. Terlalu banyak yang akan "tergadai" jika Lunas jatuh ke tangan Barisan Alternatif.

Apa yang pasti hanyalah sesudah pilihanraya ini, Lunas akan kembali seperti sedia kala. Mungkin jalan-jalan yang diturap itu akan pecah kembali kerana ia dibuat dengan begitu tergesa-gesa. Projek perumahan yang dijanjikan akan terbengkali lagi.

Pak menteri pasti tidak akan menyibuk berlegar-legar di pasar sambil bertanyakan khabar. Orang-orang di Lunas boleh kembali tenteram untuk menikmati Itik Panggang Seribu Rempah yang menjadi makanan terkenal di Lunas.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS