Minggu lepas Eropah Barat dikejutkan dengan berita kematian 58 pendatang haram dari China. Mayat mereka ditemui di dalam sebuah kontena membawa tomato dari Belgium ke pelabuhan Dover di United Kingdom.
Ini bukanlah kali pertama pendatang haram yang cuba diseludupkan ditemui mati di dalam kontena di pelabuhan Dover. Pasti, ia juga bukan kali terakhir.
Eropah Barat masih menjadi lampu neon untuk para pelarian politik dan 'kelkatu ekonomi' dari negara-negara Dunia Ketiga. Cahaya tarikan ini belum pernah malap-malap hinggakan amat susah untuk ditakrifkan siapakah pencari suaka politik yang tulen dan siapa pula yang menjadi kelkatu ekonomi.
Malah hingga ke hari ini belum ada kepastian tentang jumlah pendatang haram yang sedang bermastautin di Eropah Barat.
Negara-negara Eropah Barat yang mengamalkan sistem demokrasi telah menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ini bermakna negara-negara ini bersetuju untuk memberikan suaka politik kepada individu-individu yang terancam atau diancam kebebasan dan keselamatan mereka kerana pandangan politik atau fahaman ugama. Mempertahankan kebebasan dan hak asasi individu adalah tiang seri piagam PBB sendiri.
Sayangnya hak suaka politik ini disalahgunakan. Piagam ini menjadi daya tarikan kepada kelkatu ekonomi untuk menyerbu masuk ke Eropah Barat. Kelkatu ekonomi ini lari dari tanah air mereka bukan kerana pandangan atau perjuangan politik tetapi ingin mencari suasana ekonomi yang lebih baik untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka.
Memang wujud orang pelarian akibat peperangan seperti yang sedang berlaku di Kosovo, Palestin, Iran atau Lebanon. Jika kehidupan mereka terancam akibat perang, maka mereka berhak mendapatkan perlindungan sementara di negara yang lebih selamat. Dalam menakrifkan "mangsa perang" ini, tidak wujud perbezaan pendapat kerana mereka adalah pelarian yang sahih.
Tetapi masalah sekarang, kelkatu pelarian ekonomi. Pelarian ekonomi ini telah menimbulkan krisis baru di Eropah Barat sejak tahun 80-an dahulu. Kelkatu ekonomi ini menyamar sebagai pencari suaka politik. Mereka datang melalui kapal terbang dan terus menuntut hak mendapatkan suaka di Eropah Barat.
Kemasukan mereka seperti ini dan memperalatkan hak suaka politik ini menyemarakkan sikap benci orang tempatan terhadap orang asing, terutama yang berkulit hitam.
Sikap ini dieksploitasi oleh parti-parti politik kanan seperti Barisan Nasional di Perancis atau Parti Konservatif di United Kingdom. Imigrasi, pendatang haram dan hak mendapat suaka politik terus menjadi agenda pilihan raya di United Kingdom dan Peranchis. Isu ini juga digunakan untuk membangkitkan kembali sikap perkauman kulit putih terhadap orang kulit hitam.
Atas desakan parti-parti kanan, dasar terbuka Eropah Barat untuk menerima suaka politik diperketatkan. Pengawasan yang rapi diselaraskan untuk semua negara Kesatuan Eropah. Sesiapa yang didapati bukan pelarian politik tulen akan dihantar pulang. Di United Kingdom, kapal terbang yang membawa mereka juga akan didenda.
Kawalan ketat ini dilihat subur untuk dieksploitasi oleh kumpulan mafia dan sindiket di bawah tanah. Mereka kini menjalankan perniagaan menyuludup manusia ke Eropah. Sindiket-sindiket ini mempunyai rangkaian yang luas untuk menyeludup sesiapa saja ke Eropah Barat atau malah, ke mana saja. Semakin ketat undang-undang, semakin mahal harga yang diletakkan oleh sindiket-sindiket ini.
Bagi pencari suaka politik yang tulen, mereka tidak akan memilih sesuatu negara Eropah yang khusus. Bagi mereka, yang penting ada negara yang sanggup memberikan suaka politik. Budaya apa atau bahasa apa tidak diambil kira.
Keadaan ini berbeza dengan pendatang haram dan kelkatu ekonomi - mereka telah menjadikan United Kingdom sebagai pilihan utama dan London sebagai kota neon idaman.
United Kingdom dan London dipilih bukan kerana budaya sandiwara atau kerana panggung bangsawan yang berselerak di West End atau kerana dunia wayang kota ini yang menarik. Bagi pendatang haram, budaya ilmu di kota London tidak menjadi tarikan atau diambil perhitungan. Kepada pendatang haram dan kelkatu ekonomi, yang penting ialah keselamatan dan peluang mencari kekayaan.
Di negara-negara tanah besar Eropah, mereka berasa cuak dan kurang selamat. Negara-negara ini mempunyai undang-undang yang bersemadi sejak zaman Napoleon lagi. Undang-undang ini mewajibkan setiap warga kota atau penduduk kampung mendaftar kepada majlis tempatan atau commune . Majlis-majlis tempatan ini dipilih secara demokratik oleh penduduk tempatan. Semua yang bersangkutan dengan warga daerah atau warga kawasan akan diuruskan oleh pegawai majlis tempatan - termasuk siapa yang dibenarkan tinggal di dalam daerah dan commune .
Di tanah besar Eropah, warga negara diwajibkan membawa kad pengenalan dan kartu penduduk yang dikeluarkan oleh majlis tempatan. Dalam masa yang sama, pihak polis dibenarkan memeriksa kad pengenalan dan kartu penduduk individu. Tanpa kartu penduduk, individu tidak dibenarkan menyewa bilik atau rumah -- ini menjadi asas yang menakutkan pendatang haram.
Semua undang-undang ini tidak wujud di United Kingdom. Sebagai sebuah negara demokrasi yang telah dewasa, rakyat United Kingdom menolak cadangan untuk mewujudkan kad pengenalan. Kad pengenalan dianggap sebagai unsur pencerobohan hak asasi individu. Di United Kingdom, polis tidak berhak meminta pengenalan dari individu.
Keadaan inilah yang menarik pendatang haram dan kelkatu ekonomi untuk menyeludup masuk ke United Kingdom. Apabila mereka dapat menerobos masuk, itu bermakna mereka akan selamat. Mereka hanya akan ditangkap jika didapati melakukan kesalahan jenayah. Jika mereka menjauhkan diri daripada jenayah mereka boleh tinggal di United Kingdom sampai akhir hayat.
Kekosmopolitanan London juga menjadi neon tarikan yang bergemerlapan. Di dalam kota 12 juta penduduk ini, pendatang haram boleh menyelinap dan menghilangkan diri dalam budaya dan komuniti mereka sendiri.
Di sini, ada Chinatown, ada kawasan Arab, ada daerah Poland, ada daerah Yahudi, ada perkampungan Russia, ada perkampungan Bangladesh dan daerah Jamaica. Dari mana saja pendatang haram sampai, mereka akan menemui kawan dan sahabat-handai yang akan membantu mereka memulakan penghidupan baru.
Jika terselamat, kemungkinan untuk mendapatkan kerja dengan bayaran yang lumayan terbuka luas berbanding peluang ekonomi di tempat asal mereka. Tarikan ekonomi inilah yang telah memanggil 58 pendatang haram dari Selatan Cina yang sanggup membayar beribu-ribu pound untuk menceroboh ke United Kingdom.
Untuk seorang pendatang haram yang tertangkap, masih ada tiga lagi yang telah berjaya menerobos masuk. Mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam kontena tomato itu hanya sebahagian daripada metanaratif pelarian politik dan kelkatu ekonomi rakyat Dunia Ketiga.
