Most Read
Most Commented
Read more like this

"Al-kesah maka diceriterakanlah kepada anak cucu cicit kita agar mereka pada satu hari nanti akan dapat mengetahui tentang riwayat Raja Bersiong ini:

"Orang-orang kampung pun lari lintang pukang masuk ke hutan rimba kerana takut dengan juak dan hulubalang Raja Bersiong. Ada kampung yang dibakar dan ada kampung yang ditinggalkan kosong. Sawah padi menjadi kering kontang.

Dikesahkan ada orang kampung yang mula mati kelaparan. Jika ada anak-anak muda yang berani bangun melawan, mereka akan ditangkap, disula dan dibunuh. Anak-anak gadis sunti akan dikurung dalam kawasan istana untuk diambil hati dan darahnya sebagai santapan Raja Bersiong.

"Demikianlah ceriteranya kesah Raja Bersiong yang menjadi raja Kedah pada zaman antah berantah. Moga-moga anak cucu-cicit kita akan menjadikan riwayat Raja Bersiong ini sebagai contoh tauladan. Amin."

Tidak ada manusia Melayu yang dapat membebaskan diri mereka daripada naratif Raja Bersiong. Ia adalah cerita rakyat yang popular sehingga dijadikan naratif filem oleh Cathay Kris dan Shaw Brothers Film Production. Buku dan komik popular Raja Bersiong masih boleh ditemui di kedai-kedai buku. Naratif ceerita ini telah menjadi sebahagian ingatan kolektif manusia Melayu.

Nenek moyang kita telah menyampaikan pengalaman hidup mereka melalui cerita-cerita yang menggunakan metafora, kias dan ibarat. Mereka juga berhadapan dengan kezaliman, rasuah dan pemerintahan kuku besi. Naratif perjalanan hidup manusia tidak pernah berubah.

Kisah-kisah yang terdapat dalam cerita-cerita rakyat itu yang diperturunkan daripada mulut ke mulut semenjak zaman berzaman wajib dilihat sebagai falsafah manusia Melayu. Naratif-naratif ini telah menjadi ingatan kolektif untuk membina jiwa atau psyche Melayu.

Justeru kisah Raja Bersiong boleh dijadikan metafora keadaan politik negara pada waktu ini. Sebagai metafora, kita boleh melihat unsur-unsur lama bermain kembali dalam badan politik moden. Memang tidak ada gadis sunti yang diambil darah dan hatinya untuk dijadikan hidangan. Juga, tidak ada kampung yang menjadi padang jarak padang terkukur.

Melihat sesuatu melalui metafora memerlukan imaginasi untuk kita memahami makna dan tanda-tanda yang telah muncul lebih awal daripada zaman kita. Tanda-tanda ini telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita ribuan tahun dahulu - cerita-cerita mereka itu merupakan pengumpulan pengalaman hidup mereka.

Unsur-unsur kezaliman kerajaan dalam zaman mana pun sama. Mangsanya ialah rakyat dan orang ramai yang tidak berkuasa. Yang bertindak zalim ialah mereka yang kaya dan berkuasa. Hukum ini tidak pernah berubah sehingga pada zaman kerajaan Barisan Nasional hari ini.

Seratus tahun dari sekarang, mungkin bangsa Malaysia telah terbentuk. Babak dan drama politik yang berlaku dua tahun kebelakangan ini akan menjadi sebahagian daripada mitos, legenda dan ingatan kolektif Bangsa Malaysia pada saat itu.

Naratif-naratif ini tidak lagi akan disampaikan dari mulut ke mulut seperti disurahkan oleh nenek moyang kita dahulu. Teknologi akan membantu penyebaran ingatan kolektif masyarakat Malaysia moden. Mitos, legenda dan babak-babak politik yang sedang berlangsung hari ini telah dibukukan, disimpan di dalam cakera padat atau data-datanya boleh dipanggil datang dari alam siber.

Kajian ilmiah akan dibuat untuk memahami apakah yang sedang berlaku hari ini. Detik-detik penting seperti 2 September 1998 atau 4 Ogos 2000 akan tercatit sebagai legenda moden bangsa Malaysia. Kisah reformasi juga akan didramakan. Mungkin ada teater, ada bangsawan, ada sandiwara, mungkin ada filem atau mungkin ada pementasan muzik reformasi secara terbuka di Stadium Bukit Jalil.

Kita juga wajib berwaspada, sama seperti yang dikisahkan Raja Bersiong dahulu, babak politik kita pada hari ini mungkin akan mengulangi episod purba itu. Mungkin muncul sekali lagi seorang diktator yang lebih zalim daripada Raja Bersiong. Bukan sahaja si diktator ini memakan hati dan darah anak dara sunti, malah akan memaksa semua rakyat percaya padanya agar tidak ditangkap di bawah akta ISA atau dibuangkan ke dalam minyak panas.

Apakah nanti naratif Raja Bersiong akan terus berulang-ulang dalam sejarah tamadun kita? Jawapannya bergantung kepada diri kita sendiri.

Orang kampung yang melarikan diri daripada ditangkap oleh juak dan hulubalang Raja Bersiong telah membuka tanah baru dan mendirikan negeri baru. Tetapi sejarah melupakan mereka. Tidak ada satu legenda atau satu naratif direka tentang kisah hidup mereka.

Tetapi seorang Anak Muda yang kekasihnya ditangkap tetapi telah bangun untuk melawan Raja Bersiong, sehinggakan raja zalim itu lari ke hutan, hingga ke hari ini masih diingati oleh rakyat.

Dari sinilah, nenek moyang kita meninggalkan falsafah hidup mereka melalui kias dan ibarat. Terpulanglah kepada kita semua untuk memahami dan menghayatinya..

'Raja Bersiong' di hadapan mata kita hari ini bukan satu metafora lagi. Ia merupakan satu hakikat. Untuk itu, kita sendiri boleh menjadi perawi untuk menunda, menggubah dan mengadun realiti sejarah.

Kita juga boleh memercikkan sedikit serbuk 'aji-no-moto' untuk menyedapkan jalan cerita sejarah politik Malaysia hari ini.

Diharapkan 100 tahun dari sekarang, cucu-cicit kita akan berkata, "Raja Bersiong tidak dibenarkan lagi muncul di pentas politik bangsa Malaysia."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS