Tiba-tiba orang ramai dikejutkan sekali lagi oleh isu bahasa. Ramai yang hairan dan ada yang tersenyum sinis apabila isu ini muncul kembali. Hairan dan sinis adalah dua sifat manusia apabila berhadapan dengan fenomena yang tidak masuk akal.
Mereka hairan kerana kerajaan (baca: Umno) mengambil masa 12 tahun untuk menyedari bahawa pengucapan baku tidak mempunyai apa-apa makna terhadap perkembangan bahasa dan kebudayaan Melayu. Dua belas tahun merupakan jangka masa yang lama. Pokok getah telah boleh ditoreh untuk mendapatkan hasil yang baik. Kalau menanam durian D24, pasti ia telah berbuah lima musim. Kalau pasukan "Malaysia Boleh" yang berkhemah di Princess Hill mula merangkak, pasti mereka telah sampai ke kutub selatan!
Ada kumpulan yang memandang sinis arahan terakhir kabinet mengenai pengucapan baku kerana agenda ini diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada hari ini, nama Anwar bukan lagi satu fesyen yang chic dan trendy , maka apa saja yang diperkenalkan oleh beliau pada satu ketika dahulu akan dilihat sebagai politik songsang. Dengan melahirkan sikap sinis, masyarakat umum membaca tujuan tersirat daripada arahan ini - permulaan langkah-langkah untuk mengikis imej atau ingatan kolektif orang ramai terhadap Anwar.
Kedua-dua sikap di atas tadi tergelincir jauh daripada agenda induk. Pengucapan baku ini bukanlah satu isu bahasa yang asasi atau induk. Pengucapan dalam apa saja bahasa, untuk bangsa siapa pun tidak pernah sama. Di Tiongkok, rakyat boleh membaca Mandarin tetapi di antara bahagian utara dengan selatan China, ada puluhan cara pengucapan bahasa utama Cina ini. Di Britain, penduduk Scotland, Wales, England Utara atau penduduk kota London mempunyai cara pengucapan Bahasa Inggeris mereka tersendiri. Cara pertuturan orang Arab Levantine (di Syria, Palestin dan Lebanon) dengan Arab Teluk amat jauh berbeza walaupun mereka menggunakan bahasa Arab. Justeru, pengucapan adalah isu sampingan dan bukanlah satu isu asasi.
Anwar mempopularkan agenda bahasa pada tahun 1971 melalui PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya). Isu bahasa menjadi penting dalam agenda gerakan pelajar pasca 1969. Ramai pemimpin pelajar pasca 1969 mengambil isu bahasa sebagai lantai loncatan untuk memaparkan keterampilan kepimpinan dirinya di kalangan pelajar dan masyarakat Melayu. Setelah menyertai Umno dan kerajaan, Anwar sedar orang ramai menunggu langkah beliau vis a vis agenda bahasa. Semasa bersama parti itu, Anwar berhadapan dengan satu struktur ekonomi dan politik yang melihat agenda bahasa hanya sebagai umpan retorik untuk berkempen kepada orang Melayu kampung.
Sebagai langkah politik untuk mententeramkan dan meyakinkan penyokongnya bahawa agenda bahasa akan terus diperjuangkannya, Anwar memperkenalkan pengucapan baku. Memperkenalkan pengucapan ini memusatkan pandangan orang ramai bahawa sesuatu yang positif telah dilakukan oleh beliau dalam bidang bahasa. Walhal, pada hakikatnya - tetapi dilupakan dan tidak dibangkitkan - penggunaan Bahasa Malaysia yang rasmi semakin merosot. Hanya jabatan-jabatan kerajaan yang menggunakan Bahasa Malaysia. Pihak swasta langsung tidak mempedulikan agenda bahasa. Di IPT swasta, agenda bahasa tidak lagi ditimbulkan.
Hujah ini dapat dibuktikan dengan kukuh apabila kita mendengar rancangan radio atau menonton televisyen. Radio dan televisyen kita bukannya memperluaskan pengucapan baku tetapi memperkenalkan pengucapan campur aduk. Semua ini hasil dasar bahasa kebangsaan yang sedang berjalan di negara kita.
Justeru menimbulkan isu pemansuhan pengucapan baku memberi makna yang sama dengan memperkenalkannya 12 tahun dahulu. Kedua-duanya adalah langkah politik murahan untuk mengalihkan pandangan orang ramai daripada agenda bahasa yang induk lagi asasi iaitu penerapan dan pengunaan Bahasa Malaysia di semua bidang kehidupan. Menerapkan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul merupakan isu asasi, bukannya cara mengucapkannya.
Hingga ke hari ini, masih belum wujud satu tenaga politik yang padu, baik daripada golongan nasionalis bahasa mahupun daripada pencinta bahasa yang berpayung di Dewan Bahasa Pustaka atau sarjana bahasa yang berteduh di universiti-universiti. Kumpulan-kumpulan ini tidak lagi mempunyai tenaga batin untuk menegakkan agenda Bahasa Malaysia. Mereka sebenarnya tidak mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan modal. Mereka tidak dapat menundukkan keghairahan terhadap modal yang lebih kuat pengaruhnya daripada sentimen kecintaan terhadap bahasa.
Harus diakui bahawa bahasa pengucapan modal ialah keuntungan maksima. Modal dan pemodal bergerak bebas daripada sentimen cinta bahasa. Justeru modal dan pemodal melihat bahasa Inggeris lebih menjanjikan keuntungan. Maka bahasa Inggerislah yang mereka nobatkan. Selagi politik negara ini berpedomankan keuntungan, selagi itulah modal dan pemodal akan mengariskan pengucapan bahasa dan pembudayaan negara.
Jadi cakap-cakap mengenai pengucapan baku ini adalah cakap-cakap kosong seperti cakap-cakap seekor biawak yang bercita-cita untuk membakar sebuah jambatan. Orang ramai wajib dibawa kembali kepada agenda asasi iaitu penerapan pengunaan bahasa kebangsaan di semua bidang - awam dan swasta.
