Guruh tidak berdentum petir tidak menyambar. Dengan tidak semena-mena diberitahu seantero pelusuk negara bahawa orang Melayu hari ini wajib bersatu. Biasanya mengikut ceritera hikayat Melayu lama, Sultan atau Raja akan mengarahkan juak dan sida memukul tabuh dan canang apabila negara dilanggar garuda atau naga berkepala tujuh telah mula membuat angkara.
Hari ini tidak ada garuda yang datang melanggar. Tidak kelihatan pula naga kepala tujuh muncul di kuala sungai meminta darah anak dara sunti.
Justeru kenapa pula canang dipukul dan tabuh dipalu? Untuk apa juak dan sida heboh ke hulu ke hilir meminta orang Melayu bersatu ?
Slogan orang Melayu wajib bersatu ini adalah slogan yang paling lapuk. Seruan untuk Melayu bersatu ini adalah seruan yang paling tidak masuk akal yang sedang dijual kepada orang Melayu.
Tukang jual ''minyak attar' agar Melayu bersatu ini tidak lain dan tidak bukan ialah parti siasah
Umno sendiri. Parti siasah yang memanggil orang Melayu bersatu ini sendiri pun amat ''segan'' untuk menggunakan nama persatuan mereka dalam bahasa Melayu.
Mereka lebih senang dikenali sebagai United Malay National Organisation atau Umno, dalam
bahasa Inggeris!
Untuk menilai kembali parti yang memakai nama Inggeris ini, kita wajib melihat sejarah parti ini. Umno ini bukanlah parti yang terulung dalam gerakan siasah negara ini. Lebih awal daripada Umno, telah lahir Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada bulan Mei 1937 di Kampong Baru Kuala Lumpur.
Kesatuan inilah yang menjana penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945. PKMM adalah gabungan kumpulan nasionalis, agama dan kumpulan sosialis yang berjuang menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah Inggeris. Umno baru muncul pada tahun 1946.
Dalam kongres kebangsaan pertubuhan itu pada tahun 1945, PKMM telah meluluskan laungan 'Merdeka' sebagai slogan dan matlamat perjuangannya. Sayangnya Umno yang wujud terkemudian di bawah pimpinan Sir Onn Jaafar hanya sanggup memperkenalkan 'Hidup Melayu'
sebagai slogan parti.
Parti siasah ini bukan saja enggan melaungkan 'merdeka' sebagai slogan malah pucuk pimpinan
parti ini telah memperlekehkan konsep dan falsafah kemerdekaan itu sendiri.
Umno hanya boleh berkembang melalui sokongan, bantuan dan dukungan dari pihak penjajah Inggeris. Pada 18 Jun 1948, penjajah Inggeris telah mengisytiharkan darurat.
Parti siasah yang patriotik dan demokratik seperti PKMM, parti Islam Hizbul Muslimin, parti komunis PKM, Pembela Tanahair (PETA), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BTM), New Democratic Youth League telah diharamkan.
Pada 20 Jun 1948, pihak Inggeris telah melakukan penangkapan besar-besaran. Para pemimpin dan kader parti siasah yang antipenjajah ditangkap, dipenjara, ada yang dihukum gantung atau dibuang negeri.
Maka daripada perkembangan ini, barulah parti siasah Umno dapat bernafas kerana parti-parti lain tidak wujud lagi.
Justeru hari ini apabila parti siasah ini cuba menjual "minyak attar" agar Melayu bersatu sebagai slogan baru mereka, pasti orang ramai akan menjadi hairan dan takjub. Ketakjuban ini timbul kerana pada hari ini Umno tidak lagi mempunyai ''locus standi'' (asas) untuk bersuara mengkristalkan harapan, mimpi dan cita-cita manusia Melayu.
Pembelotan demi pembelotan yang dilakukan oleh Umno terhadap cita-cita, mimpi dan harapan Melayu telah menimbulkan kesangsian yang maha sangat terhadap parti siasah ini.
Puncak kesangsian ini ialah munculnya soalan asas sama ada parti siasah ini masih relevan lagi atau tidak untuk orang Melayu.
Pembelotan yang sedang berlaku hari ini sebenarnya adalah penerusan arus daripada sejarah, fahaman dan nafas yang menghidupkan Umno itu sendiri. Pembohongan demi pembohongan yang dilakukan oleh Umno untuk menutup hakikat fakta sejarah siasah negara ini semakin sehari semakin terbongkar.
Slogan 'hidup Melayu' sama seperti slogan 'Melayu bersatu' juga - cetek, dangkal dan kosong
tanpa apa-apa makna.
Manusia Melayu akan terus hidup kerana 3000 tahun sebelum Umno wujud, manusia Melayu telah hidup dan berupaya mendirikan tamadun mereka. Hidup atau matinya orang Melayu tidak bergantung hanya kepada satu parti siasah atau kepada satu ideologi politik atau kepada satu pandangan dunia.
Tempikan slogan 'Melayu bersatu' lebih banyak menimbulkan persoalan daripada memberi apa-apa jawapan kepada lanskap politik yang wujud pada hari ini.
Secara ilmiah manusia daripada bangsa apa pun tidak pernah bersatu. Manusia yang dirangkumkan dalam kerangka satu bangsa, satu agama atau satu bahasa tidak menjamin yang mereka semuanya akan bersatu.
Manusia adalah jasad yang berfikir dan kewujudan manusia terlalu kompleks untuk disatukan hanya dengan satu slogan.
Manusia Melayu sama seperti bangsa-bangsa lain dalam dunia ini. Mereka hidup terpencar-pencar dan mempunyai pelbagai harapan, mimpi dan cita-cita. Manusia Melayu hari ini juga dipisahkan oleh kelas-kelas sosial mengikut pendapatan ekonomi mereka. Ada Melayu daripada kelas feudal-bourgeoise, kelas komprador-kapitalis, kelas pemodal, kelas menengah profesional dan juga kelas buruh serta kaum tani.
Landasan ekonomi, wang ringgit dan harta kekayaan juga boleh membezakan manusia walaupun mereka juga berasal daripada satu rumpun bangsa. Ia merupakan hakikat ilmiah.
Slogan 'Melayu bersatu' ciptaan pemimpin Umno kini juga menimbulkan satu kumpulan persoalan besar bersatu untuk apa? Apakah tujuannya untuk berasak-asak, dan berhimpit-himpit terkumpul dalam satu barisan?
Ahli-ahli korporat Melayu (yang mendapat kontrak beribu-ribu juta ringgit) pasti "ingin bersatu"
tetapi niat dan cita-cita hidup mereka tidak sama dengan kaum petani di Kerpan, walaupun mereka sama-sama Melayu.
Terbukti sebelum ini, tanpa segan silu mereka "bersatu" merampas tanah kaum tani untuk
memperluaskan lagi perniagaan mereka. Pemodal dan pemaju Melayu juga tidak akan teragak-agak untuk membakar rumah-rumah setinggan Melayu jika mereka memerlukan tanah-tanah
penduduk miskin di tengah kota ini untuk memperluaskan modal mereka.
Adolf Hitler pernah melaungkan slogan 'Jerman bersatu untuk ibunda'. Ini tiupan slogan sangka kala untuk memanggil rakyat Jerman bangun berperang menawan Eropah.
Alex Lee juga pernah melaungkan slogan 'kesatuan etnik-etnik Cina' selepas peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. Slogan ini bertujuan mengapi-apikan orang Cina agar menyokong beliau bagi merebut kedudukan dalam MCA.
Adakah orang Melayu hendak pergi berperang, maka ditiupkan slogan 'Melayu bersatu'? Berperang untuk apa dan dengan negara mana? Siapa pula yang hendak dinobatkan ke atas takhta hari ini?
Justeru slogan memanggil Melayu untuk bersatu kelihatan lompong. Apakah kerana orang Melayu tidak lagi menyokong Umno bererti orang Melayu telah berpecah? Atau, jika orang Melayu menyokong Umno bererti orang Melayu telah bersatu? Atau, jika orang Melayu menyokong parti-parti PAS, KeADILan atau Parti Rakyat Malaysia bererti mereka membawa perpecahan Melayu?
Logik seperti yang dibawa pemimpin Umno ini adalah logik lucah! Orang Melayu dalam sejarahnya tidak pernah bersatu dan tidak mungkin akan bersatu. Kepentingan mereka berbeza-beza. Sejarah telah membuktikan, walaupun dalam saat-saat yang paling genting, orang Melayu tidak akan bersatu.
Dalam sejarah, Umno sendiri enggan bersatu, malah parti itu telah belot apabila para nasionalis
Melayu bangun mengangkat senjata melawan Inggeris. Umno menikus kerana juak-juak mereka melihat kepentingan mereka dijamin oleh penjajah Inggeris.
Justeru juak-juak Umno yang mencanangkan slogan ''Melayu bersatu'' terlupa bahawa 'minyak attar' yang mereka sedang jajakan itu telah hilang wanginya.
Sayang sekali, Umno berpura-pura lupa bahawa garuda yang sedang membuat angkara di dalam negara ini ialah mereka sendiri! Naga yang sedang mengaut harta kekayaan negara ini adalah naga peliharaan mereka.
Orang Melayu porak-peranda kehidupan mereka hari ini angkara serangan garuda yang sekali lagi sedang bersekongkol dengan naga untuk menjadikan Tanah Melayu padang jarak padang terkukur.
