Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Lepas tu saya tak pukul dah," kata kenalan kami yang seorang itu.

Kami bertiga adalah kenalan kedai kopi. Akibat selalu terserempak di kedai mamak di kejiranan kami - dan bermula dengan senyum-senyum sambil berbalas mengangkat kening - kami akhirnya akan duduk semeja apabila kebetulan ada di kedai berkenaan.

Kenalan kami itu menceritakan bagaimana dia melihat ketakutan yang teramat sangat pada wajah anaknya semasa dia merotan budak tersebut. Datang perasaan sedih apabila melihat ketakutan berkenaan.

Setelah itu, dia tidak lagi menjadi seorang bapa yang memukul anak-anaknya.

Kenalan yang seorang lagi pula menceritakan bagaimana dia menangis sepanjang malam semasa anaknya hilang. Dia berkejar ke sana ke mari mencari anaknya.

Dia juga menceritakan kepada kami bagaimana dia menangis seperti kanak-kanak.

Mujurlah menjelang pagi anaknya itu ditemui dalam keadaan selamat.

Semua disimpan sendiri

Dia juga menceritakan yang dia tidak pernah menangis sepertimana dia menangis pada malam semasa dia ke hulu ke hilir mencari anaknya di merata-rata tempat.

Kedua-dua kenalan kami itu nampak amat terkesan dengan peristiwa berkenaan. Kami boleh melihat mereka bercerita sambil mengesat air mata.

Mungkin itu yang dikatakan sebagai kasih sayang.

Kami tidak mahu kalah. Lalu kami katakan bahawa yang paling membuatkan kami bersedih ialah apabila memikirkan tentang anak-anak yatim.

Tidak dapat kami gambarkan bagaimana seorang kanak-kanak yang tidak pernah rasa dimanjakan - dan juga bermanja - kedua ibu bapa.

Mereka tidak akan pernah boleh berkongsi kejayaan atau juga kesedihan dengan sesiapa. Segalanya disimpan sendiri.

Mereka tidak pernah dapat melompat kegembiraan untuk menyambut ibu bapa pulang dari kerja. Mereka juga tentu saja tidak pernah ada tempat untuk mengadu apabila dipergunakan.

Gambar hiasan

Anak-anak yang yatim piatu hanya menyerah nasib kepada orang yang entah benar-benar sayang kepada mereka atau pun sayang kerana ada kepentingan lain. Mungkin kerana itu ada ayat al-Quran yang bercerita khusus mengenai hal anak-anak sebegitu.

Kami sendiri bukanlah anak yang baik. Namun jika kami mahu mengadu sesuatu hal kepada ibu dan bapa, kami tahu kami ada tempat untuk dituju bagi meluahkan rasa.

Tidak seperti anak-anak yatim piatu tersebut. Segala puji untuk Tuhan, kedua ibu dan bapa kami masih teramat sihat. Semoga mereka selamanya begitu.

Roti canai terbaik

Anak-anak yang tidak punya keluarga itu pula tentu rasa kehilangan peluang untuk didoakan oleh orang tua masing-masing.

Cerita-cerita ini timbul semasa kami berbual mengenai kes GISB yang hangat sekarang ini. Sementelah pula di kawasan kami ini memang seakan menjadi pusat kegiatan mereka.  

Terdapat hampir 10 premis yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan yang dimiliki oleh kumpulan tersebut di sekitar tempat kami tinggal sekarang.

Kami juga antara pelanggan yang minum air janggut, air kaki dan apa juga jenis air bulu yang didakwa digunakan oleh kumpulan terbabit. Memang kami ada melanggan perniagaan mereka.

Nanti jika kamu dapati yang kami ini sedikit dunggu pada sesuatu masa, maka harapan kami ialah ialah agar kami ini dimaafkan.

Gambar hiasan

Memang selamanya kami tidak pernah melanggan kedai-kedai mereka mulai dari zaman al-Arqam, dulu tetapi semenjak beberapa bulan sebelum ini, emak si budak hitam di rumah kami menjadi ketagih dengan soto kaki ayam di kedai mereka.  

Dan kami diajak bersama ke sana. Roti canai yang dijual di kedai mereka adalah antara roti canai yang terbaik pernah kami makan.

Hari ini jika kami mengingatkan dia tentang hal tersebut, dia akan segera merasa loya. Padan muka dia.

Apa juga kesesatan yang didakwa dilakukan oleh mereka mungkin akan selesai apabila mereka mahu kembali kepada ajaran yang benar. Namun luka dek kurang ajarnya mereka dalam hal menyemai kasih dan sayang kepada anak-anak sendiri memerlukan masa yang lama untuk diubati.

Dilatih mencari derma

Jika benar cerita bagaimana mereka mendaftar anak-anak tersebut tanpa dinasabkan kepada ibu bapa sebenar disebabkan pernikahan tidak didaftarkan, maka kecederaan yang diakibatkan oleh mereka itu mempunyai kesan jangka panjang yang merunsingkan.

Kanak-kanak terbabit bukan saja tidak mengenal siapa ibu bapa yang sebenar mereka, malah lebih daripada itu ditakuti tidak tahu siapa adik beradik sendiri.

Ini adalah satu kemusnahan yang mungkin tidak dirancang dan dilakukan hanya untuk kepentingan peribadi pihak yang berada di atas dalam kumpulan tersebut.

Sistem kekeluargaan yang rosak ini akan mengakibatkan kemungkinan berlakunya perkahwinan sesama keluarga. Tentu saja ini yang sangat perlu kita elakkan.

Mengapa mereka jadi begitu kurang ajar sehingga sanggup membiarkan anak-anak begitu? Jika hanya kerana mahukan untung materi maka mereka adalah manusia yang paling tidak beradab yang pernah ada pada zaman ini.

Gambar hiasan

Anak-anak yang sudah sekian lama dilatih untuk hanya berharap tentu saja akan menghadapi masalah untuk keluar dari anutan sesuatu ajaran.

Lihat saja bagaimana mereka yang telah dilatih untuk mengutip derma atas nama agama sejak kecil akan terus menerus mohon bantuan walaupun setelah menjadi dewasa.

Mereka seakan-akan sudah terbiasa dengan amalan tersebut, yakni semasa di madrasah mereka melihat pengajar ke mana-mana memohon sumbangan. Nanti setelah dewasa mereka pula akan membina madrasah sendiri dan mula meminta-minta untuk membayar bil elektrik, misalnya.

Beri nasihat yang betul

Memulihkan anak-anak yang sudah sekian lama didoktrin memang mengambil masa yang lama. Pihak yang mahu mengambil tanggungjawab ke atas anak-anak tersebut tentu saja akan menghadapi tugas yang berat.

Namun apa yang diharapkan ialah mereka akan menjalankan kerja dengan penuh rasa prihatin. Jadikan kasih sayang sebagai dorongan utama dan misi memulihkan pegangan agama sebagai asas gerakan.

Agama kita adalah agama cinta, bukannya agama yang kerjanya meminta-minta.

Ada orang bertanya: adakah berdosa ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka berbuat bising di dalam masjid. Lalu kami seperti biasa akan panas hati dengan pertanyaan sedemikian.

Yang bertanya itu seolah-olah tidak pernah menjadi kanak-kanak dan tidak mempunyai anak yang tidak selalunya baik.

Anak-anak memang kerjanya membuat bising sama ada di masjid atau pun di perpustakaan. Biarkan mereka jadi kanak-kanak.

Yang paling penting ialah ibu bapa mesti memberi nasihat yang betul, bukan semberono mencari salah orang.

Mentang-mentanglah kamu sudah jadi ahli masjid....

Kanak-kanak yang melompat-lompat di dalam masjid tentu saja lebih baik berbanding kanak-kanak yang dipaksa bekerja dan dinafikan kasih sayang akan ibu dan bapa mereka.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan bapa yang penyayang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS