KOLUM | Manusia dan bank itu bagai aur dengan tebing. Dua perkara yang hampir mustahil untuk dipisahkan dalam konteks kehidupan masyarakat pada hari ini.
Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Affin Bank dan banyak lagi adalah antara jenama institusi perbankan di negara kita yang memudahkan pelbagai urusan termasuk transaksi kewangan seseorang.
Sebagai negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, tidaklah aneh apabila sebahagian besar pelanggan atau pengguna institusi perbankan berkenaan terdiri daripada golongan itu.
Namun ada dilemanya. Istilah "bank" itu sendiri sering terpalit dengan imej sumbang dari sudut pandang sebahagian masyarakat Islam.
Bank dilabel sebagai institusi kewangan konvensional yang tidak terpisah daripada unsur riba dan gharar (ketidakpastian).
Tetapi sedar atau tidak, usaha untuk memurnikan sistem perbankan agar selari dengan syariat Islam telahpun dimulakan sejak 60 tahun lalu!
Tokoh ekonomi Almarhum Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menjadi pencetus kepada penubuhan institusi kewangan selaras dengan Islam apabila membentangkan kertas kerja Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji kepada kerajaan pada 30 Sept 1959.
Lalu tertubuhlah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) pada Sept 1963 yang berkembang pesat dan kini ia dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji.

Bank Islam pertama kemudian ditubuhkan pada 1983 disusuli dengan penubuhan syarikat takaful pertama setahun kemudian.
Berlandaskan fiqh al-muamalat yang meletakkan syarat urus niaga tanpa riba, penubuhan pelbagai institusi kewangan Islam telah merungkai keraguan masyarakat beragama Islam.
Dengan bantuan pakar-pakar kewangan Islam, Malaysia akhirnya menjadi salah satu negara yang paling subur dari aspek perkembangan industri perbankan Islam. Hari ini pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan juga banyak menawarkan kursus perbankan dan kewangan Islam.
Ketika ini acara Kuala Lumpur Marathon tajaan Standard Chartered dianggap sebagai ‘perayaan terbesar’ bagi peminat sukan larian jarak jauh di negara ini.
Polemik halal atau tidak
Namun saban tahun muncul perdebatan mengenai hukum umat Islam menyertai acara tersebut disebabkan status penaja utamanya dilabel sebuah ‘bank konvensional’.
Ada pendapat beberapa agamawan di negara kita mengeluarkan pandangan haram hukumnya bagi seorang Muslim menyertai acara sukan atau larian yang dianjurkan oleh bank konvensional.
Berdasarkan semakan, sekurang-kurangnya dua jabatan mufti negeri membawa nada sebegitu dengan alasan utama ‘fatwa’ tersebut ialah agama melarang menyokong atau mempromosi sistem riba.
Meskipun dalam penulisan-penulisan berkenaan tidak menyebut secara secara khusus nama bank tertentu, pada umumnya kebanyakan pihak mengetahui ia merujuk kepada acara maraton terbesar di Malaysia yang ditaja oleh Standard Chartered.
Justeru timbul polemik sama ada ia 'halal' atau sebaliknya.

Seperti dijangkan, ‘fatwa’ berkenaan telah menyebabkan ada yang mula menghakimi saudara seagamanya yang lain sebagai golongan yang "melawan hukum Islam" atau "melawan ulama".
Adakah Standard Chartered itu bank konvensional atau sebuah bank yang menawarkan produk perbankan konvensional?
Persoalan dasar ini wajar dibangkitkan kerana terdapat garis pemisah bagi membezakan di antara jenama sesebuah bank dengan produk-produk perbankannya.
Umumnya kebanyakan institusi kewangan pada hari ini menawarkan pilihan perkhidmatan atau produk, di antara konvensional dan Islami.
Banyak cabang perniagaan
Seperti Standard Chartered, memang ia jenama bank yang menyediakan produk perbankan konvensional, tetapi pada masa sama turut menawarkan pilihan produk patuh syariah menerusi cabang perbankan Islam yang dikenali sebagai Standard Chartered Saadiq.
Contoh lain ialah Maybank. Laporan media menyatakan bank itu mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM9.35 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.
Nilai keuntungan itu bukan hanya hasil rangkaian perniagaan bank konvensional malah turut disumbangkan oleh produk-produk patuh syariah yang ditawarkan oleh Maybank Islamic Banking dan Etiqa Takaful.
Maka Maybank bukan semata-mata bank konvensional per se, tetapi satu jenama besar yang merangkumi pelbagai cabang perniagaan.
Laman web untuk pelanggannya pula ialah Maybank2u, manakala aplikasi untuk peranti mudah alih hanya MAE. Kedua-dua perkhidmatan itu tidak dipisahkan-pisahkan di antara produk yang patuh syariah dan sebaliknya.

Jenama Standard Chartered dan Maybank turut memainkan usahanya untuk memperkenalkan produk-produk perbankan Islam bagi memudahkan muamalat atau urusan kehidupan masyarakat Islam.
Adilkah untuk menghukum sesebuah institusi perbankan tersebut secara blanket semata-mata ia merupakan ‘bank konvensional’ yang berteraskan unsur riba?
Sedangkan di dalamnya terdapatnya pakar-pakar kewangan Islam dan penasihat syariah yang bertanggungjawab menjamin kesucian produk-produknya.
Dengan berkembangnya sistem kewangan Islam, boleh dikatakan hampir semua institusi perbankan di Malaysia memiliki produk perbankan Islam. Malah kebanyakannya mula menetapkan dasar yang mengutamakan produk-produk perbankan Islam untuk ditawarkan kepada pelanggan.
Isu melabur dalam ASB
Bukankah tindakan segelintir agamawan melabel bank tertentu secara semberono sebagai "bank konvensional" hanya merencatkan usaha tersebut?
Mengapa mereka tidak mengambil pendekatan yang lebih harmoni dengan konsep ihtimal yang menggalakkan masyarakat melihat sesebuah bank juga suatu institusi perbankan Islam, dan bukan "bank konvensional" semata-mata?
Ibnu Hazim dalam kitab karangannya Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam juga ada menyebut tentang konsep ihtiyat (berjaga-jaga) dalam penentuan sesuatu hukum.
Ihtiyat ialah tidak mengharamkan sesuatu apa yang tidak diharamkan oleh Allah SWT, dan tidak menghalalkan sesuatu melainkan apa yang dihalalkan oleh Dia.
Umat Islam di Malaysia juga pernah berdepan dengan polemik mengenai hukum melabur dalam Amanah Sabah Bumiputera (ASB) disebabkan percampuran dana pelaburan di kaunter patuh syariah dan tidak patuh syariah.
Ia berikutan keputusan Majlis Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Pulau Pinang pada 2008 untuk tidak bersetuju dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi mengharuskan umat Islam melabur dalam ASB.

Namun demikian, kesepakatan fatwa oleh majlis fatwa kesemua negeri telah dicapai pada 2017 sekaligus menoktahkan perdebatan mengenainya.
Perbezaan pendapat ini berkaitan dengan pelaburan ASB ke atas Maybank kerana institusi perbankan terbesar di Malaysia itu mempunyai percampuran produk kewangan konvensional dan Islamik.
Alasannya ialah kaedah fikah melarang percampuran elemen halal dan haram. Bagaimanapun, kaedah tersebut diberi pengecualian dalam praktis kewangan Islam.
Kemudian Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2013 juga menetapkan tiada keperluan untuk mengasingkan cukai mudarat - cukai yang terkumpul daripada perkara yang dianggap mudarat kepada masyarakat seperti industri arak, judi, rokok dan seumpamanya - dalam perbendaharaan negara.
Langkah melabel yang janggal
Kaedah fikah menggariskan terdapat perbezaan konsep di antara wang hasil haram dengan perkara yang haram.
Contohnya wang hasil penjualan arak atau laba daripada judi adalah haram kepada pelakunya, tetapi apabila diserahkan kepada pihak lain, maka ia halal untuk digunakan bagi manfaat umum.
Dalam hal ini, apa salahnya jika mufti-mufti di Malaysia bersepakat mengenai hukum menyertai acara sukan yang ditaja oleh institusi perbankan yang keuntungan perniagaannya bercampur antara produk perbankan Islam dan konvensional.
Mungkin masih ada ruang untuk pandangan yang lebih ‘ringan’ kerana sebahagian agamawan berpendapat ia bersatus harus bersyarat, atau makruh sahaja.
Pandangan haram itu dilihat terlalu syadid (keras) kerana Islam adalah agama yang tidak membebankan umatnya.
Untuk melabel sesebuah syarikat perbankan sebagai institusi yang haram secara mutlak juga mungkin agak janggal dalam konsep pembinaan ekonomi negara kita yang bergantung tinggi kepada institusi perbankan.
Sebagai contoh pemegang saham terbesar Kumpulan CIMB ialah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) iaitu dana kekayaan berdaulat milik kerajaan Malaysia yang menyumbang kepada hasil utama sosioekonomi di negara ini.

Saham utama Kumpulan Maybank pula dipegang oleh badan-badan penting kerajaan seperti Amanah Raya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Pemegang utama saham Affin Bank Bhd ketika ini pula ialah kerajaan Sarawak, dan sebelum itu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Bukankah sesuatu yang janggal untuk meletakkan hukum haram menyertai sebuah acara sukan yang ditaja oleh syarikat-syarikat perbankan tersebut?
Institusi perbankan juga bukanlah asing buat industri sukan di Malaysia. Pelumba basikal trek terkemuka negara, Azizulhasni Awang, menerima tajaan CIMB dan menjadi duta untuk mempromosikan jenama bank tersebut sejak sekian lama.
CIMB juga pernah menjadi penaja kepada kejohanan bola sepak Liga Malaysia, manakala Maybank penaja kejohanan badminton Terbuka Malaysia.

Selain itu Affin Bank menjadi penaja kepada Persatuan Badminton Malaysia. Citibank juga menjadi penaja Majlis Paralimpik Malaysia dan dua atlet para negara Ridzuan Puzi dan Nur Syaiful Zulkafli.
Berdosakah atlet-atlet negara kita menyarung pakaian yang terpampang jenama sesebuah bank? Adakah haram untuk kita turut serta atau menyokong kejohanan sukan berprestij di negara kita yang ditaja oleh syarikat perbankan?
Tokoh ilmuan Islam, almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bab pemberian fatwa umum sentiasa mengutamakan apa yang ringan dan mudah berbanding yang ketat dan menyusahkan, khususnya dalam perihal di bawah skop muamalat dan bukan ibadat khusus.
Almarhum juga pernah mengingatkan kita - dalam kitabnya Halal Haram Dalam Islam - akan firman Allah dalam ayat 116 surah an-Nahl yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: 'Ini halal dan ini haram', untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”
Daripada terus menerus mengasak dengan istilah "bank konvensional", bukankah lebih baik jika para agamawan menghargai sumbangan institutsi terbabit dalam meluaskan lagi potensi industri perbankan Islam di Malaysia?
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
