Minggu depan, Selasa, 5 November 2024, rakyat Amerika selesai mengadakan pemilihan presiden ke-60. Hak rakyat keluar mengundi dan memilih siapa jadi presiden ditafsir sebagai tanda Amerika mengamalkan demokrasi.
Justeru India, United Kingdom, Jerman, Jepun, Sweden, Sepanyol, termasuk Malaysia, dibaca sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, sama seperti Amerika. Ini kerana rakyat ada hak untuk mengundi siapa pemimpin mereka dan memilih siapa yang akan menubuhkan kerajaan.
Memangkah dan memilih perwakilan di kertas undi dijadikan rukun iman pertama demokrasi.
Ada beberapa pola perbezaan antara kita dengan Amerika. Di Amerika, yang dipilih hanyalah presiden. Sosok yang menang kerusi Presiden akan membawa sesiapa yang dia suka untuk menjadi anggota kabinet.
Ahli Dewan Kongres yang juga diundi, walaupun majoriti dari mana parti pun, tidak akan memilih presiden.
Di United Kingdom, India, Jerman–sama seperti Malaysia–rakyat mengundi dan memilih wakil ke parlimen dahulu. Parti yang mendapat majoriti dalam parlimen akan memilih perdana menteri dan ahli kabinet.
China, Brunei, Arab Saudi atau Myanmar tidak diiktiraf sebagai negara demokrasi kerana pemilihan pemimpin dan kerajaan di negara-negara ini tidak melalui pengundian. Rakyat tidak memilih kerajaan.
Di negara China hanya ada satu parti – Parti Komunis China. Parti ini memilih antara mereka sesama sendiri untuk mendirikan kerajaan.
Di Brunei dan di Arab Saudi, yang berhak mendirikan kerajaan ialah raja. Rakyat hanya menerima tanpa memilih. Di Myanmar pula, askar yang mendirikan kerajaan melalui kuasa laras senapang.
Tetapi betulkah memangkah, memilih dan mengundi seperti yang sedang berjalan di Amerika ini rukun demokrasi?
Saya memerhati rapi pemilihan presiden Amerika tahun 2024 ini. Amat menarik sekali. Ini kerana sosok yang bernama Donald Trump mencalonkan dirinya sekali lagi untuk menjadi presiden.
Sosok ini kasar, lucah, rasis dan bercakap tanpa sempadan. Trump tidak berpura-pura. Jika perlu memaki hamun dia akan memaki hamun. Jika perlu menyumpah seranah Trump akan menyumpah seranah.
Demokrat dan harapan palsu
Saya menyokong Trump. Saya mahu Trump menang. Saya mahu Parti Republikan dan sosok-sosok seperti Trump terus menjadi kerajaan di Amerika.
Saya menolak parti Demokrat. Pada hemat saya parti Demokrat ini bahaya untuk dunia. Parti Demokrat bercakap tentang hak asasi, tentang melawan perubahan iklim dan membawa demokrasi untuk dunia. Namun semua ini adalah pura-pura. Parti Demokrat menyebarkan harapan palsu untuk warga Amerika dan warga dunia.
Parti Demokrat ini bahaya kerana parti ini menjual ilusi dan akan melalaikan penduduk dunia. Parti ini membawa surah bahawa sistem dua parti amat molek untuk dunia dan membuang undi dan memilih pemimpin lima tahun sekali adalah jalan terbaik.
Hakikatnya parti Demokrat ini adalah baju yang indah cantik dan menarik untuk pandangan warga dunia. Walhal ini hanyalah topeng untuk sistem ekonomi kapitalis.
Parti Republikan lebih jujur. Tidak ada berselindung di sebalik mantra hak asasi. Parti ini bercakap secara terbuka tentang apa itu sistem ekonomi kapitalis. Parti Republikan tidak segan silu mahu Amerika menjadi kuasa terbesar dunia. Mahu empayar Amerika terus menjajah dunia.
Warga dunia akan lebih memahami apa itu empayar Amerika melalui suara Donald Trump. Mereka akan memahami apa itu sistem ekonomi kapitalis melalui dasar yang diajukan oleh Trump. Warga dunia akan sedar bahawa Amerika yang mendakwa negara pengamal sistem demokrasi itu sebenarnya hampeh dan kosong.
Suara lucah, rasis dan kasar Donald Trump adalah Amerika yang sebenarnya. Tidak berselindung. Tidak menyamar. Tidak berpura-pura.
Dalam kelucahan dan kekasaran Donald Trump ini warga dunia akan berfikir apakah ada sistem lain selain dari sistem ekonomi kapitalis?
Dari segi taktik dan strategi untuk menghasut rakyat, untuk menghasut orang ramai bangun melawan, lebih baik kita berhadapan dengan musuh yang ganas dan jahat. Mereka ini mudah untuk dilihat dan difahami.
Saya bawa kembali ke sejarah Tanah Melayu ketika melawan Inggeris. Arus menuntut kemerdekaan berjalan sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua.
Penjajahan Jepun boleh kita samakan sebagai pemerintahan Donald Trump. Ia jelas mengancam dan menindas. Justeru amat mudah untuk menghasut rakyat bangun angkat senjata dan melawan.
Masuk kembali kuasa Inggeris. Kita dilalaikan dengan demokrasi dan hak asasi.
Darurat ketika Buruh perintah UK
Juga jangan lupa ketika Darurat diumumkan pada bulan Jun 1948, United Kingdom diperintah oleh parti Buruh. Saya ulang, ketika Darurat diisytihar di Tanah Melayu yang menjadi kerajaan di London ialah parti Buruh–parti yang mendakwa mewakili buruh, kaum tertindas dan mengamalkan garis kiri yang demokratik.
Walhal parti Buruh, sama dasar dengan parti Konservatif di UK. Parti ini menentang tuntutan kemerdekaan di tanah jajahan seperti di India, Kenya dan di Tanah Melayu.
Parti Buruh di United Kingdom juga menyamar sama seperti parti Demokrat di Amerika.
Wajib saya beritahu sekali lagi tentang Barack Obama, presiden Amerika yang berkulit hitam. Presiden parti Demokrat ini melakukan sepuluh kali lebih banyak serangan udara dalam perang rahsia terhadap keganasan daripada pendahulunya, George W Bush yang berkulit putih dari parti Republikan.
Obama melakukan 563 serangan, sebahagian besarnya oleh dron, mengebom Pakistan, Somalia dan Yaman sepanjang dua penggal, berbanding 57 serangan bawah Bush. Antara 384 dan 807 orang awam terbunuh di negara tersebut.
Fakta Obama ini saya pungut dari The Bureau Of Investigative Journalism, bukan penglipur lara Hishamuddin Rais.
Satu perkara lagi yang wajib kita sedari, Donald Trump amat jujur terhadap Israel. Pada 4 April 2024, CNN melaporkan Trump sebagai berkata:
“Israel perlu menyelesaikan kerja yang Israel mulakan.”
Pada 26 Oktober 2024, Anadolu, agensi berita Turki melaporkan Donald Trump menyuarakan sokongan terhadap serangan Israel pada Hamas dan Hizbullah dalam panggilan telefon dengan Netanyahu, perdana menteri Israel.
"Lakukan apa yang anda perlu lakukan," kata Trump kepada Benjamin Netanyahu dalam satu panggilan telefon awal bulan ini.
Trump sebelum ini berkata beliau bercakap dengan Netanyahu sekurang-kurangnya dua kali pada bulan Oktober.
Tanpa berselindung, Trump tidak berpura-pura menyokong Zionis-Israel. Sebagai bukti, pada 6 Disember 2017, Presiden Trump mengiktiraf Jerusalem–Baitulmuqaddis–sebagai ibu negara Israel dan memindahkan Pejabat Duta Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.
Ini berbeza dengan Biden yang cuba mengajukan gencatan senjata. Cuba cari jalan perdamaian. Berunding dengan Mesir dan Qatar untuk membawa Hamas ke jalan damai.
Semua ini wayang pak dalang.
Segala bom dari Amerika
Walhal segala bom–besar dan kecil–segala senapang dan peluru, segala pesawat udara yang mengebom Gaza dibekalkan oleh Boeing, Lockheed Martin atau Blackrocks. Semua ini kilang pembuat senjata milik Amerika. Dana membeli senjata ini datang dari pentadbiran Biden.
Jika Biden menghentikan penghantaran senjata ke Israel, perang di Gaza sudah lama berhenti. Inilah yang saya katakan parti Demokrat ini pura-pura. Justeru lebih bahaya kerana memberi ilusi yang parti ini menentang perang.
Bagaimana pula dasar Kamala Harris?
Kamala Harris ini naib presiden Biden. Justeru dasar Kamala ialah meneruskan dasar Presiden Biden dalam usaha untuk mengadakan gencatan senjata. Sama seperti Biden, jika Kamala menang, senjata dan dana akan terus sampai dari Amerika ke Israel.
Jadi apa sebenar yang membezakan parti Demokrat dengan parti Republikan? Jawapannya cukup mudah, sila nyatakan apa bezanya antara Coca Cola dengan Pepsi Cola.
Pemilihan presiden dan pemilihan ahli Dewan Kongres di Amerika bukan kerja murah. Berbilion-bilion dolar diperlukan. Politik di Amerika sampai ke tahap pemilik industri, konglomerat, pemain industri senjata, bilionair dan pelobi memainkan peranan utama.
Dana dari mereka inilah yang membolehkan sesuatu sosok bertanding. Tanpa dana dari kumpulan ini mustahil Trump atau Kamala boleh bertanding. Uncle John dan Sister Mary dari Kentucky atau Paul, Dave dan Sally dari Utah hanyalah memainkan peranan pak pacak.
Para pelobi dari industri senjata, ubat dan teknologi, semua mahu merapati sosok yang paling berkuasa dalam dunia. Sosok ini akan menjalankan dasar yang membolehkan pemilik industri ini terus memungut laba.
Pada ketika ini sosok yang paling berkuasa di atas muka bumi kita hari hendak dipilih. Apa dasar yang akan diajukan oleh sosok ini akan menjadi garis politik dan garis ekonomi dunia kita.
Saya memilih Donald Trump–jantan berkulit putih, rasis dan kasar. Saya menolak wanita berkulit hitam yang lembut dan sopan. Saya memasang niat agar jantan berkulit putih yang kasar dan rasis ini terus mengharubirukan dunia kapitalis yang dikepalai oleh Amerika.
Saya amat yakin Presiden Trump yang akan menang dan menjadi presiden ke 47 Amerika akan menajamkan lagi kontradiksi dalam sistem ekonomi kapitalis hingga membawa kapitalisme runtuh. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
