Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Tangan puntung Yahya 
Diterbitkan:  Nov 1, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Momen terakhir Yahya Sinwar sebelum dibunuh secara pengecut oleh tentera Zionis akan kekal terakam dalam sejarah secara segar. Cedera parah setelah bangunan yang menjadi tempat perlindungannya dalam pertempuran dibom, dua atau tiga temannya telah pun syahid. 

Yahya, dengan tangan sebelah telah terpotong duduk melepaskan lelah sambil menyedari ketibaan dron tentera Israel memantaunya. Yahya Sinwar sempat melempar sesuatu, ke arah dron itu menunjukkan dia mahu kekal melawan. Dengan debu yang penuh meliputi tubuhnya, Yahya tampak berdaya dan tidak akan mengalah.

 Oleh ketakutan, dan tidak berani bertempur secara berdepan; tentera Zionis IDF Briged 828 (Bislach) kemudian membunuhnya dengan bantuan dron lain, sebelum menembaknya di kepala.

Stesen dan akhbar Israel memperagakan saat kematian dan jasad syahid Yahya Sinwar dengan bangga. Mereka merilis rakaman dron Yahya dalam keadaan mendekati kesyahidannya. Lantas terlupa naratif pernah dibina sebelum ini bahawa Sinwar mungkin sahaja sudah meninggalkan Gaza, atau naratif lain bahawa Yahya juga menyembunyikan diri di dalam kubu bawah tanah, sedang ketakutan di dalam terowong. 

Realiti yang mereka sendiri sahkan adalah Yahya Sinwar berada di medan perang, bersama-sama tentera pembebasan Palestin dengan amat berani, dan berjuang menuntut kemerdekaan negaranya tanpa rasa takut sehingga ke titisan darah terakhir. 

Yahya Sinwar

Video rakaman dron Israel itu hanya memaparkan seorang pahlawan yang meski sudah puntung sebelah tangan, masih tekad menentang demi ibu pertiwi.

Yahya Sinwar, pengganti Ismail Haniyeh sebagai pemimpin Hamas mungkin sahaja mengetuai gerakan pembebasan Palestin itu begitu sekejap, tidak pun sampai tiga bulan; akan tetapi tanpa syak lagi Yahya Sinwar akan menjadi ikon anti imperialisme Barat dan Zionis secara abadi. 

Beliau diumum sebagai pengganti Ismail Haniyeh ekoran kesyahidan Haniyeh di Tehran, Iran pada 31 Julai 2024. Meskipun begitu, Sinwar adalah kunci gerakan tersebut di Gaza. Ini memandangkan tokoh-tokoh Hamas yang lain berada di luar Palestin seperti di Gaza, atau Turki.

Dari manakah datangnya keberanian dan keperwiraan Yahya Sinwar?

As-syahid Sinwar menyertai Hamas lewat tahun-tahun 1980an, dan bertanggungjawab menubuhkan cawangan Majd dalam pertubuhan itu yang berperanan sebagai pasukan perisikan. Tugas Majd ialah mencari dan menghukum tali barut Zionis dalam kalangan rakyat Palestin sendiri. Pada tahun 2017, Sinwar dilantik sebagai anggota Politburo Hamas di Gaza.

Keberanian dan keperwiraan Yahya Sinwar datang dari dua faktor. Pertama, beliau lahir di kem pelarian Khan Younis di selatan Gaza pada tahun 1962. Keluarganya terungsi dari kampung al-Majdal yang ditakluk Israel dan diberi nama Ashkelon sejak itu. 

Belajar bahasa Hebrew untuk fahami musuh

Di awal tahun 1980-an, Sinwar mempelajari bahasa Arab di Universiti Islam Gaza dan menggerakkan organisasi pelajar.  Pada tahun 1988, Sinwar diberkas Israel dan dijatuhkan hukuman penjara kerana membunuh dua tentera Israel dan empat orang Palestin yang menjadi ejen Zionis. 

Ketika di penjara, untuk mengatasi tekanan diseksa Israel, Yahya Sinwar mempelajari bahasa Hebrew demi memahami musuhnya. Sinwar lulus dengan cemerlang dan boleh membaca dan menulis dalam bahasa tersebut.

Pada tahun 2011, lebih seribu banduan Palestin dibebaskan dalam satu tukaran pembebasan dengan seorang tentera Zionis, Gilad Shalit, yang ditahan di Gaza selama lima tahun. 

Pembebasan strategik itu terpaksa dilakukan kerana ia menjadi syarat utama Hamas dan oleh penculik Shalit sendiri, yang salah seorangnya merupakan adik kepada Sinwar. 

Sebaik sahaja bebas, pengaruh Sinwar meledak dan beliau memainkan peranan penting di Gaza dan dipercayai merupakan salah seorang arkitek dan pengatur taktik peperangan Hamas. 

Faktor kedua keberanian dan kepahlawanan Yahya Sinwar tentu sahajalah akidahnya. Dalam hal ini Sinwar yang pernah diperkenalkan oleh Ismail Haniyeh kepada Ayatullah Ali Khamenei di Tehran, Iran dalam satu majlis sebagai ’pejuang setelahnya’, tidak segan silu menghubungkan perjuangan Palestin dengan kesyahidan Saidina Hussein, cucu Nabi di Karbala pada tahun 680 Masehi. 

Dalam rakaman suara dan video yang tular di media sosial, Sinwar menyatakan kepada pejuang Hamas di luar negara agar kekal dalam jalan perjuangan, atau menjadikan Gaza sebagai ‘Karbala baru’. Mesej atau surat Yahya Sinwar itu antara lain dikutip secara meluas oleh media Israel dan sekurang-kurangnya The Wall Steet Journal ikut memetik kenyataan tersebut.

Perkara mengaitkan pertempuran dengan ‘medan Karbala’ sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Malah ketika negeri Melaka sedang dikepung oleh soldadu Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah dalam usaha membakar semangat pahlawan Melaka telah menitahkan mereka membaca Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang merupakan satu maqtal panjang memerikan naratif kejadian di Karbala.

Peristiwa di Karbala sangat signifikan untuk dirujuk oleh Yahya Sinwar. Bukan sahaja kerana  ia adalah perlawanan antara ekstremis pimpinan Umar bin Saad dan Ibnu Ziyad dengan cucu Nabi Muhammad, Saidina Hussein dan ahli keluarganya; lebih luas dari itu ia adalah perlawanan antara kaum Mukminin dan Munafikin. Sebagai orang yang membanteras tali barut Zionis dalam kalangan rakyat Palestin, Sinwar sangat tahu siapa di luar sana dalam kalangan bangsa Arab yang boleh dibuat kawan, dan siapa pula musuh dalam selimut. Maka mesej Sinwar di atas tentu sahaja tersirat mengaitkan pimpinan negara Arab sebagai Yazid moden yang memusuhi agama Islam Muhammadi.

Setelah kesyahidan Yahya Sinwar, video lain yang tular menampilkan Yahya Sinwar merujuk Saidina Ali sebagai “Imam Ali ibn Abi Talib”  dengan memetik kata-kata hikmah Saidina Ali bermaksud:

“Terdapat dua hari dalam hidup manusia, hari yang mana kematian bukanlah pengakhiran kamu; dan hari yang mana kematian adalah pengakhiran kamu. Aku tidak takut dengan hari yang pertama kerana kematian bukan pengakhiranku dan tiada apa yang dapat mengancamku. Aku juga tidak takut dengan hari kedua kerana sudah tentu ia adalah pengakhiranku dan memang aku tidak dapat menghentikannya.”

Syahid di usia 60-an

Keyakinan di atas, berserta dengan latar belakangnya telah mendorong Yahya Sinwar untuk melawan sehingga ke akhir. 

Seperti mana Ismail Haniyeh, pemimpin Iran Ebrahim Raesi, Sayyid Hassan Nasrallah pemimpin agung Hezbullah; Yahya Sinwar juga meninggalkan dunia ini sebagai syahid di usia awal 60-an. Rata-rata mereka berumur 60 ke 63 tahun. 

Secara permukaan kesyahidan Sinwar dan Nasrallah seakan-akan menunjukkan umat sudah tiada lagi pahlawan untuk bertarung di barisan hadapan. Akan tetapi jika kita mengambil seruan Yahya Sinwar untuk merenungkan insiden di Karbala, kita akan mendapati di medan tersebut, 72 orang ahlul bait dibunuh secara kejam. Kepala mereka dipotong dan diarak ke Kufah dan Damsyik. 

Hanya tinggal seorang lelaki terpasung iaitu Ali Zainal Abidin atau dikenali sebagai Imam Sajjad dalam kalangan pencinta ahlul bait. Yang lain hanyalah kanak-kanak dan kaum wanita Bani Hashim. Ketika itu Bani Umaiyyah di Damsyik berpestaan kerana merasakan telah menghapuskan sama sekali musuh politik mereka. Memang tatkala itu cucu Rasulullah SAW terlihat berada di pasukan yang kalah.

Ternyata penguasa di Damsyik itu silap. Menjelang Zainab al Kubra (adik Saidina Hussein) tiba sebagai tawanan di Syria, umat Islam dari seluruh belahan dunia telah mengenali siapa belangnya. Seperti yang dialami Zionis hari ini, mereka berdepan dengan backlash dari kempen perang sendiri. Dan seperti terakam dalam sejarah, tidak lama kemudian Mukhtar as-Saqafi bangkit melawan untuk membalas dendam lantas membunuh sebahagian besar petualang di medan Karbala itu.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS