KOLUM | Pepatah lama ada menyebut, tak dapat tanduk, telinga dipulas.
Begitulah gambaran bagi sesetengah pihak yang tenggelam punca mencari kelemahan ketika Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ada yang menyinggung soal songkok senget perdana menteri. Alangkah lucunya ahli parlimen kita yang dipilih oleh para pengundinya.
Jika itu ucapan belanjawan, perbahasan seharusnya terfokus soal belanjawanlah. Jika tidak setuju kenaikan kadar cukai kepada golongan maha kaya misalnya, kritiklah dasar itu sekeras-kerasnya.
Jika kadar upah minimum dirasakan terlalu membebankan, kritiklah setajam-tajamnya.
Di celah-celah kritikan itulah pula kita melihat ada yang ‘sakit telinga’ mendengar istilah yang diungkap oleh Anwar apabila ia nampaknya kedengaran janggap pada mereka.
Perdana menteri menyebut lebih kurang 10 kata ‘janggal’ dalam ucapannya selama lebih sejam itu. Antaranya ialah ketimbang, mahsul, purba sangka, dan tatanan.
Menanam sesuatu dalam manusia
Pembentangan belanjawan seharusnya menekankan soal kewangan. Tapi bagi pengkritik, mereka tidak betah dengan istilah-istilah ‘janggal’ dalam ucapan Anwar.
Hal itu kerana, bagi mereka pembentangan belanjawan bukan kuliah linguistik atau morfologi bahasa.
Barangkali mereka lupa tentang konsep Bahasa Melayu Merentas Kurikulum yang pernah dibawa oleh Anwar sewaktu menjadi menteri pendidikan puluhan tahun silam.
Konsep itu sebenarnya disesuaikan daripada idea Language Across the Curriculum yang lahir daripada kajian Jawatankuasa Bullock (1975).
Perakuan 138 dan 139 dalam laporan jawatankuasa tersebut menekankan kepentingan bahasa dalam pembelajaran dan kurikulum sekolah.
Selaku bekas menteri pendidikan dan susuk insan yang sarat dengan idea karamah insaniah, tidak hairanlah Anwar mencurah segala falsafah pendidikan yang diyakini dalam setiap tindakannya.
Itu termasuklah ketika dia membentangkan belanjawan baru-baru ini.

Secara falsafahnya, pendidikan tidak boleh dipecah-pecahkan seperti kabinet kementerian. Seperti yang disebutkan Syed Naquib Al-Attas, pendidikan adalah suatu proses penanaman sesuatu ke dalam diri manusia.
Al-Attas berpendapat bahwa istilah yang tepat bagi pendidikan adalah ta’dib, bukan tarbiyah atau taklim.
Dalam lensa yang lebih luas, tugas pemimpin yang juga pendidik adalah menanam adab kepada manusia dan peradaban buat bangsa; bangsa yang beradab melalui kekuatan bahasanya.
Itulah yang Anwar lakukan.
Jika itu adalah sekadar retoriknya, ia harus dibahas dengan logik dan berfakta. Berdialetikalah. Bukannya dilawan dengan kata-kata yang sekadar menunjukkan miskin jiwa si penuturnya.
Istilah-istilah ‘janggal’ yang digunakan Anwar sebenarnya adalah kata yang pernah digunakan dalam bahasa Melayu. Memanglah sesetengah istilah itu terasa berbelit lidah nak menyebutnya.
Sejarahnya, semua istilah itu akarnya adalah dari asas yang sama - persuratan Melayu. Sesetengah istilah yang Anwar gunakan ketika itu belum masuk ke daftar kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kena peka, reti bahasa
DBP selaku penjaga dan penyegar bahasa kebangsaan pun sesekali terhantuk dengan serangan awam terutama dalam kepekaan mereka mengemas kini laman sesawang sendiri.
Itu juga satu ingatan daripada kepemimpinan Anwar yang mengharapkan institusi dan agensi kerajaan - termasuk DBP - meningkatkan kualiti kerja masing-masing.
Kerajaan Madani pimpinan Anwar bukan kerajaan zam-zam ala kazam.
Memanglah tiada lampu Aladin untuk melakukan reformasi dalam kerajaan. Walaupun begitu usahlah dibiarkan cita-cita Madani berlangsung sepelaung susuk perdana menteri sahaja.
Para menteri kabinet, birokrat dan penyokong kerajaan perpaduan wajib berganding bahu memikul tanggungjawab ini. Ini bukan soal balasan daripada kenaikan gaji kakitangan kerajaan atau jawatan politik yang disandang.
Ia adalah tanggungjawab birokrat terhadap kerajaan semasa. Singkirkan perbezaan pandangan politik.
Dipandang dari sudut positif, DBP perlu menyedari bahawa ada perubahan yang hendak diangkat oleh Anwar terhadap fungsi dan tanggungjawab agensi itu di bawah semangat dan roh Madani.

Maksud DBP di sini ialah barisan ahli lembaga pengelolanya, pengurusannya, pegawainya, hinggalah karyawan lain, waima tukang sapu di menara yang gah itu. Setiap seorang mempunyai peranan sama.
Pada tahun ini saja, sudah tiga kali Anwar turun ke program DBP. Ini adalah isyarat yang tersurat jelas, bukan lagi tersirat. Syaratnya DBP menjadi peka lagi faham bahasa, terutama bahasa penguasa.
Bahasa bukan lagi soal tempelan tetapi satu daripada tiang seri kerukunan negara.
Berbanding dengan istilah yang lahir dari tembuni budaya dan bahasa asing, istilah ‘janggal’ yang digunakan oleh Anwar adalah proses menyegarkan jiwa bahasa anak bangsa. Anwar mahu menghidupkan bahasa kebangsaan dengan nafas baru.
Sifat bahasa yang dinamik sememangnya lazim menerima pengaruh daripada bahasa lain.
Bahasa Melayu sendiri menerima puluhan ribu istilah luar sama ada dari bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Sanskrit dan lain-lain. Memanglah pada awalnya terasa janggal, tetapi apabila digunakan dengan kerap, lama-kelamaan alah bisa, tegal biasa.
Sebagai contoh, istilah “pegawai” berasal daripada perkataan gawae dalam bahasa Jawa yang bermaksud membuat atau pembuat. Pada peringkat awal, dapat dibayangkan bagaimana janggalnya perkataan "pegawai" di telinga orang awam ratusan tahun silam.
Kesan baca sekerat-sekerat
Istilah “pegawai” digunakan dalam Hikayat Hang Tuah, Tajul Salatin, Hikayat Pahang dan sebagainya yang ditulis pada kurun ke-18 atau ke-19 lagi.
Pun begitu istilah "pegawai" kini langsung tidak terasa janggal. Ia meresap dalam lisan dan lidah orang ramai selepas didewasakan oleh waktu.
Proses pinjaman dan penyesuaian dari bahasa asing ke dalam bahasa Melayu bukanlah perkara baru.
Proses itulah yang menghidupkan bahasa. Bahkan itulah caranya menghidupkan istilah-istilah yang hampir pupus dalam kosa kata harian.
Namun pada masa sama perlu diakui bahawa keterlaluan meminjam istilah daripada bahasa asing atau kurang menggunakan bahasa kebangsaan adalah petanda kurangnya keyakinan terhadap nilai bahasa kebangsaan.
Kita tidak mahu kelihatan seolah-olah memilih jalan pintas dengan memelayukan semua kata bahasa Inggeris. Berpada-padalah, dan memadai sekadar memenuhi keperluan semasa.
Sebagai contoh, mengapa masyarakat boleh berlapang dada dengan nama seperti Bangsar South, Presint, Uptown, Jonker Walk dan seumpamanya? (Ini adalah alasan logik Pak Pandir yang kematian anak.)

Apabila Anwar menegur golongan elit yang fobia terhadap bahasa kebangsaan, terlalu mengagungkan serta obses penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian, dianggap pula perdana menteri sebagai membawa naratif negatif terhadap bahasa Inggeris.
Ini akibat pembacaan sekerat teks sahaja.
Kritikan kepada sesiapa pun, perlu ada asasnya. Dalam membentuk masyarakat madani, dialog dan public discourse sepatutnya menyegarkan fikiran masyarakat.
Berlaku adillah kawan, hatta terhadap musuh politik kamu.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
