KOLUM | "Dah ada istilah karya, kenapa nak guna werk?" kata editor portal yang satu lagi. Kami sedang berbual mengenai pameran lukisan, dan dalam berbual itu kami menggunakan kata werk sebagai ganti kepada "karya".
Werk ialah perkataan yang digunakan apabila pelukis, galeris dan juga para kolektor ketika mereka berbual. Kata asalnya ialah works dan sengaja dieja sedemikian rupa semasa ditaip.
Kami cuba berjenaka yang perkataan werk itu hanya menunggu masa untuk dimasukan ke dalam Kamus Dewan, namun ia tidak dilayan oleh sang editor tersebut.
Dia kuat mempertahankan bahasa dan kemelayuannya.
Kami berbelah bahagi sama ada mahu gembira atau pun mahu apa ketika melihat kesungguhan dia mempertahankan bahasa Melayu. Seperti yang selalu kami sebut, bahasa Melayu sudah mati jika kita mahu ia dijadikan senjata untuk menyatukan rakyat negara ini.
Tambahan pula bahasa tersebut selalunya dinisbahkan kepada bangsa yang hina, pemalas dan juga rasis.
Mereka yang membuat tuduhan tersebut pula sebenarnya tidak terlalu jauh dari sasaran kerana - seperti yang kita semua maklum - akibat kerja politik yang tidak senonoh oleh politikus gila babi, Melayu dan bahasanya menjadi pariah di negara sendiri.
Bertali leher dipanggang matahari
Kata sebahagian orang, memperjuangkan bahasa Melayu mesti menjadi perang utama jika kita semua serius untuk duduk dalam penyatuan. Kami jawab: kita semua sudah lama tewas di medan tersebut.
"Indonesia boleh je guna bahasa Melayu," bentak sahabat kami itu apabila kami mencadangkan supaya portal tersebut menggunakan dwibahasa. Ini terbit daripada keluhan dia bahawa para pengiklan biasanya lebih mengutamakan portal berbahasa Inggeris.
Ini adalah bahana yang menjadi kesyahduan kepada siapa pun yang masih bertegas mempertahankan bahasa Melayu apabila kepada hal-hal berniaga.
"Indonesia ada 300 juta manusia dan semua mereka itu fasih dan mahu menggunakan bahasa Melayu. Di Malaya, selain generasi pertama dan kedua peneroka Felda, semua orang memandang tinggi bahasa Inggeris," jawab kami cuba berjenaka sekali lagi.

Tidak ada emoji ketawa gelak-gelak yang kami terima. Maka tahulah kami yang dia betul-betul serius mempertahankan pendapatnya.
Dan memang pun, Indonesia mempunyai lebih seribu bahasa daerah atau sukuan, namun mereka sentiasa mahu mengambil serius akan bahasa Indonesia.
Bahkan mereka yang masih memegang tombak dan panah di Papua sana lebih baik bahasa Indonesia mereka jika dibandingkan dengan yang bertali leher dan berkot di rembang tengah hari buta di negara ini.
Mereka yang ada lebih seribu bahasa sukuan pula tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dalam berbahasa, manakala kita yang ada tidak lebih daripada 10 kaum masih meraba-raba setelah lebih 60 tahun merdeka.
Sungguh mengagumkan!
Pandangan menyakitkan mata
Sebenarnya kami ingin menggunakan perkataan ming-blowing di hujung para di atas untuk efek yang lebih jelas, namun kami tidak menemui terjemahan perkataan tersebut dalam bahasa Melayu.
Semua orang berasa berhak untuk mempertahankan bahasa mereka. Tapi yang menggelikan hati ialah apabila mereka akan segera tunduk semasa bahasa Inggeris mula masuk ke dalam perbahasan.
Kata orang, ini adalah kesan penjajahan, namun kami lebih suka jika ini diakui sebagai satu hasil daripada sebuah kebodohan.
Kita semua hanya akan mengambil serius fasal bahasa Melayu apabila perdana menteri menggunakan perkataan yang kita anggap asing. Dan walaupun lambat, kita terpaksa memasukkan perkataan tersebut ke dalam perbendaharaan kata negara.
Kami tidak ada perkataan yang lebih baik untuk menggambarkan tindakan sedemikian rupa selain daripada "membodek".

Dan membodek adalah pekerjaan utama sesiapa pun yang mahu berkuasa. Lihat saja bagaimana dalam sibuk konon mahu memartabatkan bahasa Melayu, tiba-tiba dengan senang hati ketua sebuah negeri direstui digelar Premier hanya kerana jasa mereka duduk bersama membentuk sebuah kerajaan.
Dalam hal yang lain, sejak lama kerajaan juga menggalakkan penjawat awam supaya mengenakan baju batik pada setiap Khamis. Namun saranan tersebut dibuat separuh nyawa.
Maka yang dilihat pada setiap Khamis adalah pandangan yang menyakitkan mata.
Penjawat awam sepertinya tidak tahu apa itu batik. Mereka hanya tahu corak batik tanpa mahu tahu hakikat bahawa batik itu ialah kain yang dicorak menggunakan lilin panas lalu diwarnakan.
Bukannya dilarik-larik oleh sebuah mesin yang diprogram untuk meniru corak seakan-akan batik.
Dibina oleh si pengampu
Penting juga diketahui yang batik di atas kain kapas adalah yang paling sesuai digunakan di negara yang sekejap panas dan sekejap hujan ini.
Kain poliester yang digunakan oleh banyak kilang itu hanya akan nyaman jika dikenakan pada badan dalam ruang yang berhawa dingin.
Ia adalah bahan yang melekit dan merimaskan semasa tubuh dibakar matahari dan pandangan mata yang membenci.
Orang perempuan mungkin mempunyai pilihan yang lebih jika mereka dibenarkan untuk mengenakan pakaian batik yang diperbuat daripada sutera.
Mungkin harga batik tempatan agak mahal jika dibandingkan dengan batik import, namun mengasihi negara tentu tidak berdasarkan murah atau mahalnya sesuatu komoditi.

Tentu akan menjadi hal yang menggembirakan sekiranya perdana menteri mengeluarkan saranan supaya penjawat awam hanya mengenakan batik buatan tempatan pada setiap Khamis.
Banyak hal hasil daripada saranan sebegini akan memungkinkan perkembangan ekonomi setempat.
Jika ini boleh berlaku maka akan segera bertindaklah para pembodek untuk memuaskan hati perdana menteri. Hal sebegitu memang tidak dapat dielakkan kerana sejak sekian lama negara ini dibina oleh mereka yang kuat mengampu.
Yang tauke batik pula, janganlah sibuk menyorok kain putih untuk mendapat untung yang lebih. Beringatlah kerana kain putih yang kamu sorok itu juga adalah kain yang membalut tubuh kita semua nanti di kemudian hari.
Sementara itu dalam hal yang langsung tidak ada kena-mengena, di Nilai, lori adalah raja. Mereka ada di mana-mana dan menjadikan jalan raya sebagai lapangan lumba.
Telah berlaku beberapa kemalangan maut dan jalan raya di kawasan tersebut akan segera berlubang di mana-mana juga. Masalahnya amat sedikit tindakan yang diambil bagi mengatasi tabiat buruk sebahagian pemandu lori berkenaan.
Rumput di pembahagi jalan juga jarang dirapikan sedang pembahagi jalan itu sendiri tidak pernah dicat sebagaimana layaknya.
Mungkin perdana menteri perlu juga mengambil tahu akan hal ini kerana - seperti yang kami katakan - semua orang akan segera bertindak apabila terdengar ketua mereka berdehem.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penggemar panipuri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
