KOLUM | Baru-baru ini sekumpulan penjual buku terpakai membuka kedai di Hentian Kajang, Selangor. Ada antara mereka mengungkapkannya sebagai “mewujudkan Chowrasta di Hentian Kajang.”
Chowrasta ialah sebuah bangunan di George Town, Pulau Pinang yang menempatkan kedai-kedai buku terpakai. Jadi apa yang hendak diwujudkan ialah satu pusat atau hab kedai-kedai buku terpakai di Hentian Kajang.
Bagi kebanyakan orang, kedai-kedai buku terpakai bukanlah sesuatu yang menarik atau mengujakan. Hanya bagi peminat-peminat buku akan mengambil peduli. Itupun tidak semua peminat yang sukakan buku-buku terpakai. Ditambah pula dengan minat pencinta buku hanya dalam bidang tertentu.
Kehadiran kedai-kedai buku terpakai menjadi tarikan bagi kota-kota besar dunia: New York, London, Paris, Berlin, Tokyo dan lain–lain sejak bermulanya zaman moden iaitu sekitar kurun ke-17, iaitu dengan adanya industri buku bercetak.
Apa yang menjadi kelainan pada abad ke-21 ini adalah wujudnya Internet dan media sosial yang memberi impak besar kepada industri perbukuan termasuk jualan buku terpakai dalam talian.
Tetapi dalam suasana banyak transaksi perniagaan dalam talian termasuk jualan buku terpakai, ada orang yang masih mahu membuka perniagaan baharu menjual buku terpakai. Maknanya pasarannya masih ada kerana terdapat orang yang mahu membeli barangan itu.

Walaupun tidak semua orang akan membaca semua buku yang dibelinya, sebahagiannya hanya suka memilikinya atau menjadikannya sebagai koleksi. Sementars kebanyakan orang pula tidak mempunyai cukup ruang di kediamannya untuk menyimpan buku. Dari masa ke masa, seseorang peminat buku perlu menyaring simpanannya supaya buku yang sudah tidak relevan baginya akan dilepaskan dengan diserahkan pada penjual buku terpakai.
Tidak seperti barangan-barangan pengguna yang lain, umpamanya pakaian yang dijual melalui perniagaan bundle, buku berisi maklumat dan reka bentuknya merupakan seni tersendiri. Dalam dunia digital hari ini seharusnya buku sudah pupus kerana maklumat boleh disimpan dan diperoleh dalam bentuk digital.
Generasi baru
Tetapi perkara itu tidak berlaku. Buku fizikal atau buku kertas yang bercetak masih diminati untuk dimiliki. Ada sebahagian orang tetap gemar membaca buku-buku kertas itu. E-book dianggap bukan buku tulen. Tidak seperti akhbar dan majalah, buku terus diminati dan ia bermakna generasi muda yang lahir pada zaman digital mendapati buku kertas ada tarikan tersendiri.
Kemunculan kedai-kedai buku terpakai ini juga menunjukkan bahawa terdapat generasi baru pembaca buku yang suka terhadapnya. Ini kerana amat sedikit di kalangan generasi lama yang terus membeli buku.
Ramai warga emas apabila mencecah usia 60 umpamanya, sudah nenghentikan pembelian buku. Bagi mereka hobi ini sudah berlalu, lebih-lebih lagi jika mereka tidak mampu untuk membaca buku, bukan saja kerana kelemahan mata tetapi juga otak. Untuk menyimpan buku pun sudah tidak relevan, sebaliknya buku-buku yang ada pun mula dilepaskan. Sasarannya tentulah kedai-kedai buku terpakai.
Chowrasta di Jalan Penang itu pada asalnya menempatkan pasar dan pelbagai jenis kedai termasuk kedai makan dan pusat membeli-belah dengan gerai-gerainya turut menjual pakaian. Chowrasta bermakna “simpang empat” dalam bahasa Benggali (Bangla).
Penempatan awal pasar itu dibina pada tahun 1890, ketika itu Pulau Pinang berada di bawah British yang mentadbirnya sebagai Straits Settlements atau Negeri-negeri Selat bersama Singapura dan Melaka. Tetapi sebelum tahun 1832, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada British Raj iaitu pentadbiran British di India berpusat di Calcutta (sekarang Kolkata) di Benggala Barat. Di sana terdapat juga nama Chowrasta iaitu di Darjeeling, sebuah bandar rekreasi British zaman Victoria. Chowrasta adalah nama medan yang mempunyai simpang empat di tengah bandar itu.

Pada tahun 1960, bangunan yang sekarang dibina dan menjadi pusat membeli belah terbesar di Georgetown. Ia merupakan tarikan pelancong lebih-lebih lagi ketika itu Pulau Pinang adalah wilayah bebas cukai, iaitu peninggalan dari pentadbiran British.
Tetapi ketika itu, pusat menjual buku-buku terpakai terletak di Jalan Macalister. Pada tahun 1984, saya pergi meninjau ke jalan itu. Di sepanjang jalan terdapat beberapa kedai kecil papan berwarna biru yang didirikan secara berjarak di antara satu sama lain.
Saya datang awal dan menyaksikan bagaimana penjual-penjualnya membuka kedai dan kemudian meletakkan buku-buku di sekelilingnya dan di atas laluan pejalan kaki. Mereka juga mendirikan khemah-khemah itu.
Saya melihat ada orang datang menjual buku terpakai mereka, dan ada pula datang membelinya termasuk para pelajar sekolah. Di bandar raya itu terdapat beberapa kedai buku terpakai di merata-rata tempat tetapi tidaklah sebanyak di Jalan Macalister.
Memandangkan bahawa budaya kedai buku terpakai yang ada di Georgetown itu adalah hasil pengaruh kolonial British ke atas Negeti-negeri Selat, saya turut mencari pusat seumpana itu di Singapura dan Melaka
Hanya Georgetown yang ada jualan buku seumpama itu. Saya pernah ke Singapura pada tahun 1976 dan mencari kedai-kedai buku terpakai. Memang ada beberapa kedai buku terpakai di sana tetapi tidak sebanyak seperti Georgetown. Saya juga tidak menemuinya di Melaka ketika saya mencarinya pada tahun 1977.
Tumbuh di bandar kolonial
Saya juga beranggapan bahawa kedai-kedai buku terpakai ini mungkin tumbuh di kawasan bandar kolonial yang mempunyai banyak pembeli dan pembaca buku. Penduduk bandar itu wajarlah mempunyai pendidikan baik, berpendapatan baik dan dari pelbagai kaum yang kebanyakan mahir berbahasa lnggeris.
Ini bermakna ia tumbuh di bandar-bandar yang banyak pembaca bahasa Inggeris. Jadi ia sewajarnya ia wujud di Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban.
Di Kuala Lumpur, tempat saya membesar pada tahun 1975, ada kedai buku terpakai di kaki lima berhampiran pasar basah Central Market dan juga di Petaling Jaya. Tetapi tidak ada seperti di George Town. Juga tiada di Ipoh atau Seremban.
Dari tahun 1984 hingga 2019, hampir setiap tahun saya mengunjungi kedai buku terpakai di George Town. Pada tahun 1985, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang pada tahun itu menjadi bangunan tertinggi siap dibina. Maka pada tahun 1986, hampir semua kedai kecuali yang berada di tingkat bawah Chowrasta berpindah ke Komtar.

Pihak berkuasa tempatan juga mengarahkan semua pekedai di Jalan Macalister berpindah ke Chowrasta untuk menjadikan keadaan lebih bersih dan kemas.
Maka ketika saya pergi ke George Town oada tahun 1987, Jalan Macalister sudah bersih daripada kedai buku terpakai. Chowrasta pula menjadi pusat kedai buku terpakai. Tetapi ruang kedai di situ sempit. Mereka tidak boleh meklletakkannya di keliling atau di depannya. Kemeriahan yang ada di Jalan Macalister tidak wujud di Chowrasta. Namun, kedai buku terpakai sudah menjadi sebahagian daripada ciri budaya Pulau Pinang.
Chowrasta terus hidup dan sudah masuk ke generasi berikutnya. Pada tahun 1984, saya melihat seorang peniaga menyerahkan kedalnya di Jalan Macalister pada anaknya yang kira-kira berusia 20-an. Beliau turut berpindah ke Chowrasta. Apabila saya mengunjunginya pada tahun 2019, beliau juga sudah milula menjadi warga emas. Anaknua ada empat orang dan katanya, mereka semua membesar, bersekolah dan masuk universiti dengan hasil jualan buku terpakai. Jika ada orang akan nenetuskan usaha kedai buku itu, maka pusat kedai buku Chowrasta akan terus hidup.

Cabaran pada kedai-kedai buku terpakai Hentian Kajang adalah ia bukan berada di tengah-tengah pusat bandar raya seperti Chowrasta. Hentian Kajang terletak di Jalan Reko yang merupakan pinggiran bandar Kajang dan bersebelahan Bandar Baru Bangi. Stesen komuter paling hampir ialah di Kajang 2. Tetapi seseorang tidak dapat berjalan kaki ke Hentian Kajang kerana jaraknya agak jauh. Maknanya ia memerlukan pengangkutan Grab. Ataupun seseorang boleh turun di stesen Kajang dan menaiki bas perkhidmatan MRT.
Tetapi Hentian Kajang ini menjadi tumpuan orang ramai kerana ia mempunyai pejabat-pejanat penting urusan orang rama8 seperti Jabatan Pendaftaran, Jabatan Imigresen, KWSP, dan LHDN. Ia juga tempat stesen bas ekspres ke merata-rata tempat. Namun begitu bangunan dan kawasan itu tidaklah begitu indah walaupun ia dibina pada tahun 2008.
Namun bagi pencinta buku, mereka sanggup pergi ke mana-mana untuk memburu buku yang mereka minat.
Projek pusat kedai buku terpakai Hentian Kajang bermula apabila kedai-kedai di bangunan belakang Bangi Gateway terpaksa mencari tempat lain kerana pemiliknya hendak menjalankan kerja-kerja ubah suai.
Kebetulan pula, ekoran daripada wabak Covid, banyak kedai dl tingkat 2 Hentian Kajang tutup dan tempat di situ kosong. Maka di situlah merceka beroperasi. Seorang penjual buku terpakai yang mempunyai stor di Puchong telah pun membuka kedai di situ dengan nama Coretan Buku Terpakai. Sebuah lagi kedai buku terpakai di Nilai juga membuka kedai di situ.
Kedai-kedai buku ini tidak akan mengharungi hari-hari sunyi pada masa akan datang jika komuniti peminat-peminat buku akan menyokong usaha mereka. Komuniti peminat buku terpakai mempunyai peranan tersendiri pada negara. Ia bukan sekadar hobi. Mereka menjadi penyimpan dan pemelihara warisan ilmu dan pengetahuan yang tersimpan dalam buku-buku terpakai. Mereka membuatkan buku terus hidup dengan menyimpan khazanah ilmu dan pengetahuan masa lalu yang boleh berguna pada masa kini dan akan datang.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad. Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
