KOLUM | Tiada yang istimewa di Kampung Derang kecuali baki cebisan-cebisan ingatan buat panduan untuk generasi yang kehilangan sejarah orang perjuangan.
Banjir besar kal ini - seperti lazimnya - menenggelamkan, membolak-balik dan mencetus pelbagai rasa, cerita dan berita.
Kampung Derang terletak di utara Alor Setar. Ia merupakan perkampungan Melayu yang mengusahakan sawah dan kebun getah. Selebihnya mereka bekerja di kilang, menjadi kakitangan kerajaan atau syarikat swasta di bandar raya itu.
Beberapa bulan lalu, banjir di Derang naik buku lali. Kali ini limpahan air namun begitu dahsyat sekali. Apakah yang alam ingin pesankan?
Barangkali masih ada yang mahu bersangka baik kepada alam tanpa menyedari sudah banyak tangan manusia melukakan tanpa kasihan. Bahkan mungkin gara-gara manusia saling membangkitkan fitnah yang tidur, alam lebih terluka.
Angka mangsa banjir di seluruh negara pada awal Dis ini mencecah 125,000 orang. Ratusan pusat pemindahan sementara (PPS) telah didirikan. Di Kedah, lebih 25,000 orang terpaksa ke PPS. Malah kediaman rasmi menteri besar juga dinaiki air sehingga memaksa penghuninya berpindah.
Setelah banjir surut, kami berkesempatan menziarahi Ustaz Ridzwan Abu Bakar dan keluarganya yang tinggal di Derang Lembah. Sebagai sahabat, naluri itu kuat memanggil untuk menziarahi.

Apatah kami pernah bersama dalam NGO Jalinan Nusantara membantu mangsa banjir di Segamat, Melaka, Shah Alam dan Hulu Langat beberapa tahun lalu.
Ketika melewati kawasan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang lumpur yang meletak pada papan tanda di pintu masuknya masih ada.
Rumah Ustaz Ridzwan masih bercat hijau muda walaupun sudah lama dia meninggalkan parti hijau itu. Hanya ada sedikit sisa selut lumpur yang belum tanggal. Barangan yang rosak berkumpul di halaman rumah.
Ketika saya sampai, rumahnya sudah dibersihkan secara gotong-royong oleh kawan dan kenalannya.
Macam mesin basuh
Maahad itu mengingatkan saya kepada susuk seorang ulama yang mengasaskannya - Ustaz Niamat Yusof. Susuk tubuhnya kecil seperti Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Di sebalik lembut dan zuhud keperibadiannya, tertanam pendirian yang tegas.
Rumah Ustaz Ridzwan hanya sepelaungan dari maahad itu. Di Dewan Al Bukhary di situlah - pada malam 18 Sept 1998 - Anwar Ibrahim berpidato sebelum ditangkap di rumahnya sendiri dua malam kemudiannya.
Puluhan ribu manusia datang mendengar ucapan Anwar yang baru dilucutkan jawatannya. Rakan-rakan Anwar yang dahulunya tidak sehaluan kemudian menghulur tangan untuk sama berjuang.
Antaranya ialah Ustaz Niamat dan Presiden PAS Fadzil Noor.
Ustaz Niamat mengasakan Maahad Tarbiyah Derang pada awal 1980-an.

Sewaktu Anwar dizalimi Mahathir, Ustaz Niamat menyertai PAS secara aktif. Jawatan terakhir yang dipikulnya ialah Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.
Di perkampungan itulah beliau tinggal, berkhidmat dan meninggal dunia.
Banjir kali ini, rumahnya juga ditenggelami air seperti rumah Ustaz Ridzwan.
Rumah Ustaz Ridzwan ditenggelami air setinggi tingkap rumah. Sewaktu banjir memuncak, rumahnya menjadi seperti mesin basuh yang mengocak dan membolak balik segala isi yang ada.
Pentingnya ikatan persahabatan
Segala kitab bercampur gaul dengan pinggan, mangkuk, pakaian, perabot dengan selut, lumut dan sebagainya.
Angka kerugian jangan dihitung. Anggap sahaja itu pemberian kepada alam yang mungkin tertangguh. Atau mungkin sahaja Tuhan mahu menguji manusia akan erti kemanusiaan.
Politik tidak kenal manusia kecuali memberi erti politik juga. Seribu kali air melimpah, lumrahnya begitu. Senyum ketawa sang ustaz itu, tiada siapa tahu dalam hatinya.
Parit buang di belakang rumah dan Sungai Padang Terap di depan rumah Ustaz Ridzwan bercantum menjadi satu lautan selama dua tiga malam. Hujan yang turun seperti berkata-kata mengadu kepada tuan punya alam.
Dia ialah Penolong Setiausaha Agung Amanah. Minggu lalu dia meninggalkan mesyuarat Amanah Nasional kerana mendapat panggilan kecemasan dari kampung.

Langit kelam dan hujan terus setia membumi berhari-hari. Kami tidak sempat berjumpa kerana saya lewat masuk mesyuarat.
Maka terlepas untuk mengeteh bersama di Pak Punjab seperti lazimnya apabila kami selesai mesyuarat. Jika di situ, idea dan keberanian tiba-tiba muncul.
Bukan saya tidak serius bermesyuarat. Cuma maafkan saya kerana sering memikir hal-hal lain. Tatkala mesyuarat memikirkan hal-hal di bintang kejora dan langit tinggi sehingga seringnya terlupa soal sahabat di bumi sendiri.
Seperti juga banjir - lain mata, lainlah fikiran akal orang yang memandang. Banjir di Derang seperti ingin mengetuk ingatan perjuangan reformasi dan peri pentingnya ikatan persahabatan.
Mungkin itu juga yang mengamit Saifuddin Nasution Ismail turun ke Maahad Tarbiah sehari selepas kami turun.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
