Pada tahun 1982, keluar berita kecil dalam ruangan luar negara di semua akhbar arus perdana, iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, The New Straits Times dan The Star.
Berita itu juga dilaporkan dalam Radio Malaysia; TV1 dan TV2. Masa itu belum ada TV3. Itulah sumber berita bagi rakyat negara ini. Tidak lebih daripada itu.
Laporan itu dibuat oleh agensi berita antarabangsa, Reuters, AFP dan AP. Tidak ada gambar. Wartawan dan jurugambar tidak ada di tempat kejadian. Ini kerana kerajaan Syria mengenakan sekatan ketat terhadap kehadiran pemberita asing.
Berita itu mengenai 40,000 penduduk Hama dibunuh oleh tentera Syria. Ini kerana dilaporkan bahawa Hama adalah pusat pertubuhan Ikhwanul Muslim yang menentang pemerintahan Presiden Hafez Al-Assad.
Ikhwanul Muslimin diasaskan oleh Hassan Al-Banna di Kaherah, Mesir. Cawangannya ditubuhkan di banyak negara Arab, antaranya Jordan, Iraq dan Syria. Hamas adalah Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin. Tetapi pada masa itu Hamas belum terkenal. Perjuangan pembebasan Palestin dilakukan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasser Arafat
Pada tahun 1982, ada pelajar Malaysia yang turut belajar agama di Syria dan Iraq. Pengaruh Ikhwanul Muslimin sampai juga ke Malaysia. Salah seorang tokohnya, Fathi Yakan ada menulis buku yang diterjemahkan ke bahasa Melayu dan diterbitkan di Malaysia.
Ketika itu gerakan Islam belum dikaitkan dengan terorisme. Belum ada Taliban, Al-Qaeda ataupun Isis. Amerika Syarikat membantu kumpulan-kumpulan Islam seperti Hizbi Islam dan Jamaati Islam di Afghanistan untuk melawan Soviet Union.
Ketika itu saya berusia 23 tahun, baru bekerja sebagai pemberita. Lebih penting lagi saya baru menjadi penyokong gerakan Islam.
Apa yang dimaksudkan dengan gerakan Islam adalah kumpulan atau individu yang menyokong perjuangan untuk menegakkan pemerintahan Islam. Dari segi kumpulan di Malaysia, menurut pandangan saya ketika itu, ia diwakili oleh pertubuhan seperti PAS, Abim dan IRC (Islamic Representative Council).
Pembunuhan di Hama
Maka berita itu tentu menarik perhatian saya tetapi tidak banyak laporan mengenainya. Apa yang ada hanyalah beberapa rencana dalam majalah berita Barat iaitu Time, Newsweek dan The Economist. Di pihak umat Islam, ada rencana di majalah berita bulanan Arabia dan Crescent International.
Apapun, pembunuhan ramai di Hama itu menunjukkan kekejaman kerajaan Syria dan permusuhannya terhadap gerakan Islam.
Sebagai penyokong gerakan Islam, saya juga merupakan penyokong Revolusi Islam dan Republik Islam Iran. Pada masa itu sedang berlaku perang Iran-Iraq dan tentulah saya menyebelahi Iran kerana kerajaan Baathis Saddam Hussein kejam.
Bagaimanapun ketika Hafez Assad membunuh orang Ikhwanul Muslimin, Saddam Hussein membenarkan Ikhwanul Muslimin Iraq bergerak. Tetapi ini kerana Ikhwanul Muslimin menyokong Iraq dan menentang Iran.
Apa yang jadi masalah pada saya ketika itu ialah Iran bersekutu dengan Syria walaupun kerajaan Hafez amat kejam. Kepentingan geopolitik Iran dapat difahami. Ketika hampir semua negara Arab menyokong Iraq dalam peperangannya dengan Iran, hanya Syria yang berbaik-baik dengan
Iran.
Syria dapat memberi laluan bagi Iran membantu komuniti Syiah yang terpinggir di Lubnan. Agenda gerakan Islam tidaklah hitam putih tetapi kompleks. Namun, pembunuhan 40,000 orang di Hama itu adalah kejam, tidak kiralah apa pun pertimbangan geopolitik mana-mana pihak.
Pada tahun itulah juga Abu Muhammad Al-Julani, ketua gerakan pemberontak yang dapat menumbangkan kerajaan Syria pada 8 Disember lalu lahir di Riyadh, Arab Saudi dengan nama Mohammad Hussein Al-Shara.
Keluarganya yang berasal di Bukit Golan berpindah pada tahun 1968 apabila Israel merampas kampung halaman mereka. Al-Julani itu merujuk pada Bukit Golan.
Bapa Al-Julani ialah Hussein al-Shar'a, aktivis pelajar nasionalis kiri Arab dari fahaman Nasseris atau Naseriyun iaitu pengikut fikiran Gamal Abdul Nasser, presiden Mesir. Gagasan beliau ialah menyatukan semua negara-negara Arab dalam satu republik. Untuk itu beliau dapat menyatukan Mesir dan Syria dalam Republik Arab Bersatu (UAR) dari tahun 1958 hingga 1961.
UAR pecah
Bagaimanapun UAR pecah apabila rampasan kuasa berlaku di Damsyik pada tahun 1961 oleh kumpulan neo-Baathis yang diwakili oleh Parti Sosialis Baathis Syria. Kumpulan yang antara pemimpinnya adalah Hafez Assad, presiden Syria dan bapa kepada Bashir Assad
Dalam fahaman nasionalisme kiri Arab, ia terbahagi kepada Nasseris dan Baathis. Fahaman Baathis diasaskan oleh Michel Aflaq yang dianuti oleh Hafez Assad dan Presiden Iraq, Saddam Hussein. Tetapi kedua-duanya berpecah dengan fahaman Assad dipanggil sebagai neo-Baathis.
Kerajaan Assad menangkap orang Nasseris pada tahun 1961 termasuk Hussein Al-Sharaa.
Beliau bagaimanapun dapat melepaskan diri dari penjara dan lari ke Iraq dan menamatkan pengajiannya di Universiti Baghdad dalam bidang ekonomi pada tahun 1971.
Beliau kemudian pergi ke Jordan dan bekerja untuk Fedayeen Palestin yang merupakan anggota PLO. Akhirnya beliau berhijrah ke Riyadh, Arab Saudi dan bekerja dalam industri minyak. Beliau menulis banyak buku mengenai sumber alam.
Hussein Al-Sharaa adalah dari generasi pasca kolonial yang umumnya tertarik dengan ideologi sosialisme dan nasionalis kiri. Walaupun saya merupakan generasi kemudiannya tetapi saya sempat turut meminati fahaman kiri hinggalah berlaku Revolusi Iran pada tahun 1979 apabila banyak anak-anak muda yang beralih kepada gerakan Islam.
Al-Julani yang merupakan generasi kemudiannya daripada saya lahir ketika banyak anak-anak muda sudah meminati fahaman gerakan Islam.
Bagaimanapun Al-Julani hanya terdorong kepada gerakan Islam pada tahun 2000 ekoran kebangkitan Intifada Kedua Palestin.
Beliau menyertai kumpulan Islam yang dikaitkan dengan terorisme iaitu Al-Qaeda pada tahun 2003 di usia 21 tahun. Ini diikuti dengan Al-Qaeda Iraq, Majlis Shura Mujahidin, ISIS Iraq, Nusra Front dan kini Hayat Tahrir Shams.
Kaitan beliau dengan terorisme menjadikan banyak pihak yang bimbang terhadap masa depan Syria di bawah beliau.
Perjuangan demokratik dan sekular
Ini kerana kebangkitan Arab Spring di Syria pada tahun 2011 memperjuangkan sebuah negara demokratik dan sekular. Tentulah ia bertentangan dengan perjuangan gerakan Islam. Pada masa itu Al-Julani bersama dengan Isis Iraq.
Saya menyokong aspirasi Arab Spring untuk mewujudkan negara demokratik dan sekular di dunia Arab. Sejak tahun 1995, saya sudah tidak dapat menerima cita-cita politik gerakan Islam.
Namun begitu, agenda demokratik dan sekular telah ditunggang oleh pihak Barat untuk menguasai negara dan umat Islam.
Sementara itu, majoriti umat Islam tidak dapat menerima demokrasi dan sekularisme. Maka gerakan Islam akan menggunakan sistem demokrasi untuk menguasai negara. Usaha mereka pula akan digagalkan oleh kumpulan-kumpulan demokratik.
Arab Spring ternyata gagal di Tunisia. Libya. Mesir dan Yaman. Dengan kemenangan pihak pemberontak di Syria, kepimpinan Al-Julani akan menunjukkan bahawa Arab Spring akan berjaya atau tidak.
Maka dengan rasa teruja kerana rejim Bashar Assad yang kejam ditumbangkan, pengalaman dan kematangan menyatakan bahawa masa depan Syria menjanjikan harapan baru atau harapan palsu?
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
