Segelintir masyarakat masih punya tanggapan bahawa Islam melarang wanita daripada menyandang jawatan kepimpinan tertinggi dalam negara mahupun masyarakat.
Golongan seperti ini perlu diingatkan bahawa salah satu manifestasi terpenting dari sejarah ketamadunan yang dipersembahkan Islam ialah menempatkan wanita secara adil, membebaskan daripada ketidakadilan dan penindasan terutamanya dari zaman jahiliah kemunduran serta kemerosotan budaya di kalangan umat Islam yang memenjarakan hingga kaum Hawa ini, dinafikan hak.
Adakah Islam, mewujudkan sekatan dan halangan untuk wanita serta menjauhkan mereka daripada kedudukan kepimpinan dalam masyarakat sebagaimana yang difikirkan atau dibayangkan oleh sesetengah orang yang tidak faham tentang hukum Islam?
Adakah wanita tidak sesuai untuk jawatan ini yang mahupun institusi di mana berpuluh ribu lelaki dan wanita bekerja? Adakah wanita mempunyai hak untuk menyandang jawatan pemimpin tertinggi negara seperti presiden atau perdana menteri?
Persoalan-persoalan itu akan dirungkai berdasarkan dalil dan hujah syariah.
Prinsip persamaan
Tahukah kita, Islam telah menetapkan prinsip persamaan antara lelaki dan wanita, sebagaimana Allah SWT menjelaskan:
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, setengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain;
(Surah al-Taubah: 71)
Ayat ini menjelaskan kepada umat manusia bahawa persamaan di hadapan Yang Maha Esa. Tugas kita sekarang adalah untuk menggunakan semangat persaingan di antara lelaki dan wanita berdasarkan kawalan dan etika Islam untuk mencapai kebaikan dan manfaat dalam masyarakat.
Mengiktiraf hak wanita
Islam mengiktiraf hak wanita dan menyediakan mereka dengan entiti sosial yang tidak dinikmati dalam pandangan agama juga falsafah, agama lain yang mengangkat slogan hak wanita. Begitu juga, Islam tidak menafikan hak kepimpinan wanita, sebagaimana terdapat banyak negara Islam di mana wanita memegang jawatan utama dan terpenting negara.

Hakikatnya, Islam tidak melarang wanita daripada memimpin jawatan-jawatan kanan hingga membolehkan golongan ini menduduki posisi yang serasi dengan sifat, pengalaman, kecekapan, dan kelayakan dirinya sebagaimana era kegemilangan Islam memandang wanita daripada perspektif yang progresif.
Imam Ibn Hazm, mengatakan bahawa dibolehkan untuk wanita memegang kuasa, sama seperti pendapat Imam Abu Hanifa, pemilik mazhab fiqh yang terkenal.
Sebagaimana, Imam Ibn Jarir al-Tabari membenarkan seorang wanita untuk mengambil peranan hakim dalam segala perkara yang boleh diputuskan oleh seorang lelaki tanpa pengecualian.
Kepimpinan Wanita yang terbaik dinyatakan dalam Al-Quran. Ahli Fiqh Al-Azhar, Dr Souad Saleh, Profesor Undang-Undang Islam di Universiti Al-Azhar, bersepakat bahawa Islam tidak membezakan antara lelaki dan wanita dalam menyandang jawatan kepimpinan negara dan masyarakat.
Faktor penentu dalam perkara ini ialah kecekapan, kesediaan fizikal, mental dan kompetensi serta pengalaman yang melayakkannya.
Mengenai hadis Nabi SAW, “Tidak akan beruntung suatu kaum tatkala menyerahkan urusan kepemimpinannya kepada seorang wanita.” Hinggakan ada yang bersandarkan padanya untuk melarang wanita daripada memikul tanggungjawab kepimpinan.
Menurut Dr. Souad, hadis yang sahih ini mempunyai peristiwa yang tertentu, dan tidak mungkin untuk mendapatkan peraturan umum daripadanya apabila Rasulullah SAW dimaklumkan bahawa penduduk Parsi telah menjadikan wanita, sebagai raja mereka.

Hadis tersebut daripada Abu Bakrah:
“Allah telah memberikan manfaat kepadaku dengan sebab suatu kalimat yang aku dengar daripada Nabi pada saat terjadinya fitnah Perang Jamal. Di mana waktu itu hampir-hampir aku akan bergabung dengan Ashabul Jamal (pasukan yang dipimpin Saidatina ‘Aisyah) dan berperang bersama mereka.” Lalu baginda bersabda: “(Iaitu sebuah hadis) ketika disampaikan kepada Rasulullah bahawa Kerajaan Parsi telah mengangkat puteri Kisra sebagai raja mereka.
Baginda pun bersabda:
“Tidak akan beruntung suatu kaum tatkala menyerahkan urusan kepemimpinannya kepada seorang wanita.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasaie).
Ia berkaitan dengan satu peristiwa sejarah khusus yang disampaikan kepada baginda Rasulullah SAW, di mana Parsi dilanda krisis politik dan moral dengan sistem tirani yang korup apalagi perebutan kuasa yang dahsyat sehingga hampir tercetusnya peperangan.
Hinggakan, urusan pemerintahan Parsi diserahkan kepada puteri Kisra disebabkan tradisi pemerintahan mereka yang tidak terkait dengan syura (konsensus) dan pandangan umum.
Hadis ini merujuk kepada situasi di Parsi dan ulasan tentang latar belakang kebangkitan dan kejatuhan Parsi. Hadis ini adalah kenyataan berkaitan keadaan pada waktu itu dan bukannya pensyariatan umum. Ini adalah apa yang difahami daripada fiqh (kefahaman) hadis baginda.

Secara jelasnya, kefahaman berkaitan wurud hadis adalah perkara yang penting dalam memahami dalil serta tidak menjadikan kefahaman umum dalil sebagai kaedah yang digunapakai. Sekiranya diambil maksud umum hadis, ia bertentangan dengan zahir Al-Quran.
Para fuqaha telah menyimpulkan daripadanya bahawa wanita tidak mempunyai kuasa umum ke atas lelaki, dalam erti kata memimpin negara. Namun, sesiapa pun tidak boleh melupakan hakikat bahawa Al-Quran telah memuji Ratu Saba dalam Surah An Naml, dan memuji kebijaksanaannya dalam menangani perkara, dan ini adalah sesuatu yang mempunyai hikmah penting.
Sejauh mana Al-Quran menghargai wanita, berikutan kecekapan, kelakuan baik mereka semasa berada di kedudukan tertinggi.
Al-Quran telah menceritakan kisah seorang wanita yang memimpin sebuah kaum dengan kepimpinan yang terbaik dan kerajaan mereka adalah kerajaan yang terbaik. Urusan negara dilakukan secara hikmah dan bijaksana dengan sebaik-baik urusan.
Dengan kebijaksanaannya, beliau berjaya mengelak daripada terperangkap dalam kancah peperangan yang akan menggadaikan nyawa dan menghabiskan wang secara sia-sia. Asas kepada pemerintahannya adalah sistem yang tersusun dan syura.
Wanita itu adalah Balqis, Puteri Saba’ yang disebut oleh Allah dalam Surah An-Naml.
Tiada perbezaan atau diskriminasi
Dengan ini membuktikan bahawa wanita punya hak untuk menyandang semua pekerjaan yang mereka layak, sama sebagaimana lelaki, bersesuaian dengan undang-undang Islam dalam berurusan antara lelaki dan wanita, iaitu kesamaan antara lelaki dan wanita dalam banyak perkara.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Ahzab ayat 35, mendedahkan aspek kesamarataan ini antara lelaki dan wanita:
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang- orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang- orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
Sesungguhnya, Islam tidak menghalang wanita daripada menjadi pemimpin, dan masyarakat juga tidak boleh mempertikaikan kewibawaan wanita dalam mana-mana bidang di mana mereka boleh berkhidmat untuk negara dan memberi manfaat kepada manusia lainnya.
Sedarkah kita bahawa, tahap keterlibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara Malaysia masih berada di tahap yang rendah?
Pelbagai usaha daripada pelbagai pihak dijalankan demi meningkatkan pemberdayaan wanita menerusi ruang kepimpinan negara. Dengan mengimplementasi model kepemimpinan yang inklusif, sejajar dengan prinsip-prinsip Maqasid al-Syariah, akan menghasilkan kesejahteraan sosial yang lebih besar dan mempromosikan kesetaraan gender dalam kepemimpinan negara.
ATRIZA UMAR adalah felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
