Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Apabila saya berkongsi di media sosial tentang hasrat untuk menulis biografi Salahuddin Ayub kira-kira lima tahun lalu, ada pihak yang awal-awal menawarkan syarikatnya menerbitkan manuskrip tersebut.

Saya tidak memberi kata putus. Kerap juga penerbit terbabit mengulang tanya beberapa tahun kemudiannya. Saya masih belum memberi kata putus.

Akhirnya pada pertengahan Dis ini, saya menyerahkan manuskrip biografi Salahuddin kepada Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari.

Majlis ringkas itu disaksikan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, ahli Lembaga Pengelola DBP serta pengurusan tertinggi badan itu.

Seminggu kemudian, Bahagian Penerbitan DBP memberi ulasan dan cadangan untuk penambahbaikan manuskrip tersebut. Ulasan dan cadangan penerbit buku berwibawa di negara ini tentulah tidak boleh diabaikan begitu saja.

Sekian lama penulis hidup dalam dunia melawan, memang banyak frasa yang saya gunakan bersifat keras, kasar dan menghukum.

Di sinilah proses mengimbangi pemikiran dan pendekatan menulis dalam kerangka bahasa rasmi – bahasa penguasa – perlu digunakan.

Buat semakan akhir

Sebelum manuskrip dihantar semula selepas ditambah baik, tiba-tiba sahaja idea baru datang mencurah-curah seperti hujan di musim tengkujuh. Anwar sendiri memiliki pengalaman  peribadinya dengan Salahuddin.

Prof Nor Hashimah Jalaluddin yang menjadi salah seorang ahli Lembaga Pengelola DBP pula merupakan rakan sekelas arwah sewaktu mereka di bangku sekolah menengah di Pontian.

Mereka juga tentu ingin berkongsi cerita tentang arwah.

Saya pula perlu menamatkan tugasan memperkemas manuskrip tersebut sebelum berakhirnya 2024. Sudah banyak kali saya menangguhkan tugasan ini.

Saya perlu membuat suntingan sendiri sebelum manuskrip tersebut dihantar kepada penerbit. Kebiasaannya pihak penerbit sendiri melakukan suntingan untuk memastikan kualiti buku yang diterbitkan.

Antara kerja yang perlu saya selesaikan sebelum menghantar ke penerbit ialah membuat semakan terakhir dengan keluarga dan juga rakan-rakan arwah. Saya juga ajak beberapa rakan yang boleh memberi pendapat tambahan.

Saya perlu sediakan waktu untuk mereka mencari kesalahan dalam manuskrip. Biarlah mereka betulkan fakta atau data yang dipersembahkan sekarang berbanding sesudah buku siap dicetak.

Untuk itu, antara individu yang saya temui ialah dengan anak sulung Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, dan beberapa orang sahabat arwah. Begitu juga dengan sahabat baik tokoh itu seperti Sulaiman Kaiat dan Tajuddin Senafi.

Pada penghujung hidup Salahuddin sebagai pemimpin kerajaan, dia telah mencetuskan satu gerakan sosial yang sangat sederhana tetapi memberi sedikit nafas kepada sebahagian besar rakyat yang menghadapi tekanan ekonomi semasa.

Pengalaman singkatnya sebagai menteri memberi impak yang panjang dan membumi. Buku yang dikarang itu cuba mengupas faktor-faktor kesederhanaan, rahmah dan politik damai yang tertanam sejak awal kehidupan keluarganya, termasuk pada ibu bapa dan datuk nenek yang turut membesarkan Salahuddin.

Biografi itu menggalurkan kehidupan awal Salahuddin dan jurai keturunan keluarganya yang tinggal di perkampungan kecil Serkat, Pontian, yang terletak di tanah paling hujung di selatan Semenanjung Malaysia.

Bermula daripada pengalaman datuk sebelah ibunya yang berkhidmat di Kelantan sebagai guru hinggalah Salahuddin sendiri menjadi ahli parlimen mewakili kawasan negeri Pantai Timur itu.

Ia seakan satu gabungan geografi yang membentuk peta besar politik Salahuddin.

Dugaan bawa panji perjuangan

Buku itu menyingkap tabir bagaimana Salahuddin menempatkan jalan perjuangan pada landasan pembangunan masyarakat yang memiliki nilai ‘rahmatan lil alamin’. Ini termasuk episod yang jarang diketahui umum.

Juga bagaimana dia harus menghadapi cabaran dalam konteks persekitaran sosiobudaya yang tajam dengan perseteruan politik terutama pada dekad 1980-an hingga ke era Reformasi.

Bermula terlibat dalam gerakan belia melalui Abim, dia mengorak langkah menyertai Pemuda PAS sebagai ahli biasa dan menapak perlahan-lahan sehingga menjadi Ketua Pemuda PAS Pusat dan akhirnya salah seorang naib presiden parti itu.

Berada di Johor - kubu terkuat UMNO - Salahuddin bersama saf pimpinannya menempuh tribulasi untuk mengibar panji perjuangan PAS sehingga ditangkap dan dipenjara.

Bagaimana konsep ikhlas, rahmah, istiqamah, kasih sayang, yakin pada masa hadapan Islam, ukhwah, gerakan berjemaah dan idealisme kepimpinan terserlah pada tangan Salahuddin.

Saya melihat sendiri bagaimana sebahagian besar perjalanan politik Salahuddin yang dianggap sebagai pemimpin sekali gus sahabat seperjuang.

Pada tempoh tersebut adalah period paling kritikal dalam membina falsafah hidup sebagai pemimpin yang tahan diuji dan mampu menyumbang bakti dan bukti.

Perjuangan politiknya berada pada garis pembangkang tetapi Salahuddin memiliki kualiti seorang negarawan. Menarik untuk melihat Salahuddin dalam perspektif politik pemuda yang melawan arus perdana dan meneroka pendekatan-pendekatan politik dalam negara didiami pelbagai kaum yang rapuh dengan isu-isu sensitif.

Manuskrip itu awalnya mengandungi tujuh bahagian dengan 73 bab yang merakam sejarah hidup Salahuddin sejak dilahirkan sehingga 2015.

Period tulisan pula adalah tempoh Salahuddin berada dalam PAS yang menjadi wadah perjuangan politik pertamanya sebelum meninggalkan parti itu untuk bersama-sama menubuhkan parti baru – Amanah.

Ia adalah sejarah dan biografi ahli politik pembangkang berjiwa negarawan yang melangkaui garis-garis pemisah sosioekonomi dan politik.  Namun DBP meminta untuk biografi itu dilengkap sehingga arwah meninggal dunia.

Sememangnya begitulah format sebuah buku biografi yang lengkap. Sebenarnya saya sudah lelah menulis tentang Salahuddin.

Biarlah saya menulis perkara lain. Bukan masalah jemu, tetapi arwah sudah tiada. Mereka yang masih bernyawa di sekeliling kita sering memukul batin saya untuk menyambung lidah mereka yang tidak mampu berkata-kata.

Sewaktu menaip bait-bait akhir artikel ini, sanubari saya berbisik bahawa buku tersebut adalah hadiah paling baik yang mampu saya berikan buat sahabat yang pernah memimpin kami.

Buku itu penting buat rujukan generasi muda dan para pemimpin negara yang bercita-cita mewujudkan ‘baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur’ atau sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Yang Maha Pengampun.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini idak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS