Paling Popular
Terkini

KOLUM | Dalam sejarah, idea 'di luar kotak' sering dianggap sebagai 'kerja gila'. Namun akhirnya 'gila' itulah yang memecahkan ruyung.

Siapa sangka di ceruk utara tanah air, tersembunyi sebuah destinasi yang menawarkan pengalaman yang luar biasa.

Soffi atau nama penanya Arafat Hambali ditakdirkan menjadi seorang anak pesawah di Bukit Chuping, Perlis. Tetapi bidang pertanian tidak sepenuhnya melekat di jiwa dan sanubari Soffi. Dia memilih haluan dalam bidang seni sebagai seorang penulis dan seniman eksperimental.

Setelah lebih sedekad berkelana ke Lembah Klang, 'tarbiyah' panjang dalam dunia aktivisme dan politik kepartian menjadikan Soffi pemberani. Keberanian pula adalah permulaan kepada kebijaksanaan.

Ia kemudian menjadi bekalan buat Soffi apabila pulang ke kampung halaman pada 2013. Maka muncullah ilham untuk mendirikan sebuah ruang kulinari dan seni di tengah bendang milik arwah bapanya yang tidak lagi diusahakan.

Ketika idea ‘aneh’ itu mula dipersembahkan, tiada siapa yang melontarkan keyakinan. Mungkin ketika itu graduan jurusan seni halus ini dianggap sebagai ‘orang gila’.

Berbekalkan tekad dan sedikit modal, kerja pembinaan dimulakan pada 2019. Tiang demi tiang, papan demi papan, dan paku demi paku dikerjakan.

Tempat mencipta kenangan

Namun demikian perancangan terganggu dek pandemik yang menyerang seluruh dunia. Akhirnya kafe dan ruang seni yang dinamakan Balbuk Haus itu siap dibina dan beroperasi pada awal 2022.

Nama Balbuk itu adalah dari kependekan perkataan Balik Bukit.

Dengan sentuhan seni yang memukau berlatarbelakangkan Bukit Chuping yang megah, kafe berkenaan menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang mendambakan keindahan alam semula jadi dan santapan yang lazat.

Isterinya, Ida, yang berasal dari Tawau, Sabah menjadi tulang belakang kepada pelbagai hidangan kulinari Nusantara yang memikat selera. Dalam setiap suapan, pengunjung akan merasai keikhlasan dan kepakaran yang dituangkan ke dalam setiap resipi.

Selain hidangan kopi yang menawan, menu nasi lalap iaitu makanan tradisi Tawau, serta beberapa kuih tradisional dengan resipi keluarga (seperti buah melaka, tepung talam dan tepung gomak) menjadi hidangan istimewa.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai bahan bacaan yang ada di situ. Turut disediakan ialah tapak perkhemahan untuk membiarkan diri hanyut dalam keindahan seni dan alam. Ia adalah tempat kenangan indah dicipta dan hati dirawat dengan ketenangan.

Pada masa sama, pelbagai acara dan kegiatan seni turut diadakan secara berkala. Persembahan puisi, muzik, tarian tradisional, dan banyak lagi. Suasana di kampung tersebut benar-benar melambangkan keharmonian antara manusia dan alam.

Kewujudan Balbuk Haus juga membuka mata masyarakat. Malah ia menjadi asbab kepada limpahan manfaat bersama dalam kelestarian ekonomi lokal.

Satu demi satu perniagaan tumbuh di sekelilingnya. Tapak pekhemahan, chalet, gerai makan dan banyak lagi.

Soffi tidak kekok menerima kunjungan sesiapa pun. Malah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, turut pernah berkayuh ke tempatnya dan memberi sokongan penuh kepada usaha anak jati negeri utara itu.

Balbuk Haus telah dipetakan sebagai salah satu ruang ekosistem seni dalam Jelajah Pemetaan Seni Malaysia bagi Perlis.

Namun begitu, panas yang disangka panjang sampai ke petang, aturan Tuhan menetapkan hujan telah turun di tengah hari.

Ketika Balbuk Haus selesa di kemuncak, tahun lalu Soffi dikejutkan dengan satu surat yang daripada pemerintah berkenaan Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebahagian tanah miliknya akan diambil alih untuk pembinaan jalan raya.

Tak mahu menoleh

Binaan kafe dan ruang seninya terpaksa dianjakkan. Ternyata ia bukan kerja yang mudah. Malah nilai pampasan juga tidak mencukupi untuk menampung segala kerja dan operasi pembinaan semula.

Untuk seketika operasi Balbuk Haus terpaksa dihentikan. Dunia Soffi gelap seketika. Mereka yang pernah hadir ke sana mencipta memori turut berduka.

Tetapi itulah lumrah kehidupan. M Nasir dalam lagunya Apokalips telah menyebut;

Hidup dan nasib
roller coaster
roller coaster

Susah dan senang bersilih ganti
Bila-bila boleh naik dan turun

Dalam tempoh beberapa bulan, Balbuk Haus dapat bangkit dan dibangunkan semula. Sejak itu Soffi tidak mahu menoleh ke belakang. Angka 2025 harus menjadi tahun dia membugar kembali dunianya.

Untuk mengekalkan suasana yang eksklusif dan tenang, setiap sudut kafe versi baru itu tetap direka dengan penuh cinta, mencerminkan perpaduan seni dan keindahan semula jadi yang harmoni.

Balbuk Haus telah bersedia untuk kembali. Kafe dan ruang sini ini mahu menarik lebih ramai pengunjung untuk merasai keajaibannya.

Semoga berjaya Soffi dan Ida!


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS