KOLUM | Naturalisasi dalam bola sepak menjadi topik perbualan hangat di Malaysia. Dalam perkembangan terbaru, Bergson da Silva (Brazil), Giancarlo Gallifuoco (Australia) dan Manuel Hidalgo (Argentina) juga dikhabarkan bakal dinaturalisasikan untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
Istilah naturalisasi itu merujuk kepada proses pemberian kewarganegaraan kepada pemain asing untuk melayakkan mereka mewakili skuad kebangsaan selepas beraksi di negara terbabit selama lima tahun berturut-turut.
Antara pemain yang telah dinaturalisasikan ialah Mohamadou Sumareh (Gambia), Liridon Krasniqi (Kosovo), Guilherme de Paula (Brazil), Lee Tuck (England), Sergio Aguero (Argentina), Paulo Josue (Brazil), Endrick dos Santos (Brazil) dan Romel Morales (Colombia).
Pemain naturalisasi berbeza dengan pemain warisan yang mempunyai hubungan darah atau keturunan dengan negara yang diwakili. Mereka layak secara semula jadi melalui peraturan FIFA.
Syaratnya ialah salah seorang daripada ibu bapa, datuk, atau nenek mereka berasal dari negara tersebut.
Strategi itu ditetapkan bagi mengatasi kekurangan dalam aspek teknikal dan pengalaman di peringkat antarabangsa. Namun konsep berkenaan sering menimbulkan perdebatan sama ada ia membawa kebaikan atau sebaliknya.
Sebahagian daripada penyokong berpendapat bahawa kebergantungan kepada pemain naturalisasi boleh menghambat pembangunan bakat tempatan.
Datang, menetap dan bina komuniti
Tetapi jika melihat dari sudut pandang positif, naturalisasi juga membawa peluang besar, terutamanya dalam meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan dan menarik perhatian terhadap liga tempatan.
Isu ini menggambarkan persoalan yang lebih besar: bagaimana kita boleh mencapai keseimbangan di antara mengimport bakat luar dan membangunkan bakat tempatan? Atau mungkin juga kita boleh alih topik perbincangan ini kepada konsep yang lebih menarik.
Jika kita melangkah keluar dari konteks sukan, naturalisasi sebenarnya bukan perkara baru dalam sejarah Malaysia. Ia menjadi sebahagian daripada perjalanan negara sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Cuma mungkin saja istilah "naturalisasi" timbul pada era moden, tetapi hakikatnya sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tanah air kita telah menjadi destinasi yang terbuka kepada individu luar yang ingin menetap dan menyumbang kepada masyarakat setempat.
Melaka pada abad ke-15 adalah pelabuhan entrepot yang berjaya menarik pedagang dari Arab, India, Cina, dan sudah tentu Nusantara. Para pedagang terbabit bukan sahaja terlibat dalam kegiatan ekonomi malah menetap dan membina komuniti.
Sebahagian daripada mereka berkahwin dengan penduduk tempatan, lalu melahirkan generasi baru yang menyumbang kepada pembinaan penduduk Melaka.
Menariknya, kewujudan Kesultanan Melaka itu sendiri boleh dilihat sebagai hasil proses naturalisasi. Pengasasnya, Parameswara, merupakan tokoh bangsawan dari kerajaan Majapahit di Palembang yang melarikan diri ke Temasik sebelum kemudiannya dihambat sehingga tiba di Melaka.
Setelah ditabalkan sebagai pemerintah, Parameswara membina sebuah kerajaan yang kuat dan menjadi pusat perdagangan terkemuka. Perkahwinan di antara Parameswara dengan puteri-puteri dari kerajaan lain - termasuk Pasai - memperkukuhkan hubungan diplomatik dan integrasi budaya di Melaka.
Dalam struktur pentadbiran, tokoh seperti Bendahara Tun Perak terkenal dengan kebijaksanaan diplomasi dan kepemimpinannya dalam mempertahankan Melaka daripada ancaman luar.
Bawa kemahiran, idea baru
Laksamana Hang Tuah - seorang panglima tersohor dari Pulau Bintan, Riau - juga menunjukkan bagaimana perpaduan antara budaya tempatan dan pengaruh luar memperkukuhkan kekuatan Melaka.
Selain itu, Hang Li Po, seorang puteri China yang berkahwin dengan Sultan Mansur Shah, menjadi contoh penting naturalisasi melalui perkahwinan strategik yang memperkukuh hubungan diplomatik di antara dua empayar.
Ini menunjukkan bagaimana individu - sama ada melalui warisan tempatan atau pengaruh luar - dapat berintegrasi dan memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada sistem sosial dan politik Melaka.
Seterusnya dalam era penjajahan British di Tanah Melayu, kemasukan besar-besaran buruh dari China dan India melalui sistem ekonomi kolonial membawa konsep naturalisasi dalam skala yang lebih besar.
Walaupun mereka pada awalnya datang untuk bekerja, akhirnya yang ramai menetap dan menjadi sebahagian daripada masyarakat Tanah Melayu.
Selepas merdeka, pemberian kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu melalui kompromi politik yang dikenali sebagai "kontrak sosial" merupakan salah satu manifestasi penting naturalisasi moden dalam pembentukan Malaysia.
Naturalisasi telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia. Individu dari luar yang menetap di Malaysia sering membawa kemahiran, pelaburan, dan idea baru.

Sebagai contoh, komuniti Cina dan India telah menyumbang kepada sektor perdagangan, perladangan, dan perindustrian sejak zaman kolonial sehingga kini. Pada masa sama, tenaga kerja asing dalam sektor seperti pembinaan dan perladangan turut membantu memacu pertumbuhan ekonomi.
Naturalisasi juga memperkaya kepelbagaian budaya negara. Komuniti Peranakan Cina, Chetti, dan Portugis di Melaka merupakan hasil integrasi budaya luar dengan budaya tempatan.
Selain itu, naturalisasi sama ada secara langsung dan tidak langsung telah membentuk identiti Malaysia yang rencam lagi unik, menjadikan ia sebuah model masyarakat majmuk yang harmoni.
Disusuli pembangunan akar umbi
Dalam konteks global, banyak negara menggunakan naturalisasi untuk menangani cabaran demografi seperti kadar kelahiran yang rendah dan populasi yang menua.
Malaysia boleh memanfaatkan strategi ini untuk memastikan populasi muda yang produktif dan berdaya saing.
Salah satu cabaran terbesar dalam pelaksanaan naturalisasi ialah memastikan ia tidak menjejaskan identiti nasional Malaysia yang berakar pada perpaduan dalam kepelbagaian, dengan Rukun Negara sebagai panduan nilai utama.
Pendatang yang dinaturalisasi perlu memahami dan menghormati nilai-nilai ini, termasuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Pada masa sama, naturalisasi harus menjadi peluang untuk memperkukuh nilai kebersamaan tanpa mengorbankan warisan budaya unik Malaysia.
Dengan integrasi yang betul, kepelbagaian ini boleh menjadi duta budaya Malaysia di pentas global, sambil memperkaya identiti nasional kita.

Kembali kepada konteks bola sepak, dasar naturalisasi perlu diiringi dengan pelaburan yang kukuh dalam pembangunan akar umbi. Pemain tempatan mesti diberi peluang untuk berkembang bersama-sama pemain naturalisasi.
Mereka tidak wajar dibiarkan sekadar menjadi pemerhati.
Naturalisasi bukanlah fenomena baru di Malaysia, sama ada dalam konteks bola sepak atau dalam sejarah pembentukan negara. Ia telah lama menjadi sebahagian daripada negara.
Ia membantu membentuk ekonomi, masyarakat, dan budaya kita.
Namun, untuk memastikan naturalisasi dapat dinikmati sepenuhnya, ia mesti dilaksanakan dengan strategi yang seimbang dan inklusif. Dalam aspek bola sepak, ia boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Naturalisasi bukan sekadar isu sempadan atau kewarganegaraan. Ia adalah soal penerimaan, integrasi, dan pembinaan masa depan bersama.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
