Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Hanya kerajaan kartun yang takut kepada kartun," kata kami dalam hati apabila membaca kisah Fahmi Reza disoal siasat oleh pihak berkuasa untuk sekian kalinya.

Budak Hitam di rumah ada bertanya mengapa kami tidak melukis kartun. Maksudnya, mengapa kami tidak hanya menumpukan perhatian dalam menghasilkan karya-karya kartun untuk majalah dan akhbar, misalnya.

Kami jawab, akhbar dan majalah bukan lagi menjadi pilihan pembaca pada masa ini. Nampak dia berpuas hati, namun dia menambah: "Kenapa dari dulu - semasa majalah dan akhbar adalah pilihan ramai - tidak tumpukan perhatian kepada melukis kartun?"

Lalu kami jawab lagi bahawa memang semenjak ada kemahuan melukis, kami sudah membuat keputusan untuk tidak menjadi kartunis.

Puncanya ialah kerana kami dapati semua orang tidak mengambil serius apa yang disampaikan melalui kartun.

Bukanlah bermakna sekarang ini orang faham apa yang mahu kami sampaikan melalui karya-karya lukisan kami, sementelah pula lukisan-lukisan kami bukanlah mengandungi apa-apa mesej.

Kami juga tidak mahu dianggap sebagai seorang yang kelakar kerana pada hemat kami, orang banyak masih tidak boleh membezakan antara kartun dan kartunis.

Sejak zaman Lat mengkritik

Lalu kepada mereka semua, kartunis adalah kartun, lalu mereka sentiasa menunggu-nunggu si kartunis berbuat jenaka sepertimana sang pelawak.

Namun begitu, kami suka kalau dijemput menjadi pengacara radio. Khabarnya dengan hanya bergelak ketawa sesama sendiri mereka dibayar dengan gaji yang luar biasa lumayannya.

Kartun-kartun kami pernah disiarkan majalah Gila Gila, Gelihati dan juga Batu Api, yakni tiga majalah besar suatu masa dulu.

Kami mengurangkan aktiviti melukis kartun setelah itu kerana cita-cita kami hanya mahu karya kami pernah disiarkan di sana saja.

Cuma sewaktu agak huru-hara mencari kerja dan tidak berjaya, kami pernah pergi bertemu duga di majalah Gelihati. Kerana memikirkan kami ini sudah popular (perangai perasan femes ini memang sudah bermula agak lama sebenarnya), kami datang di temu duga berkenaan dengan tangan kosong.

Kami tidak membawa apa-apa contoh karya pun, lalu kami disuruh pulang dan datang semula dengan beberapa keping karya untuk dinilai.

Kami pun pulang dan tidak datang lagi ke pejabat Gelihati.

Semenjak zaman Lat menguasai akhbar dan majalah lagi, karya-karya dia banyak mengkritik pemimpin negara. Kita lihat bagaimana Lat menjadikan hampir semua ahli kabinet pada waktu itu sebagai sasarannya.

Apabila Sanusi Junid mencadangkan supaya padi ditanam di atas bangunan, maka dikartunkan oleh Lat. Samy Vellu pula adalah ‘mangsa’ utama Seniman Negara berkenaan.

Mahathir Mohamad yang datang dengan idea dianggap sebagai tidak masuk akal pada masa tersebut juga adalah staple bagi karya-karya Lat.

Mungkin kerana masanya adalah sesuai, tambahan pula Lat dilihat duduk dekat dengan orang yang berkuasa ketika itu, maka karya-karyanya diambil dengan sedikit garam dan diterima bulat-bulat oleh semua orang sebagai jenaka.

Dan Lat jadi lebih dihormati kerana itu.

Dekat di hati pembaca

Dia kemudian menjadi harta negara dan tidak dapat diusik kedudukannya. Kita semua akan mempertahankan dan juga berbangga dengan apa yang telah dihasilkan Lat.

"Kita" yang kami maksudkan itu ialah seluruh penduduk Malaya ini.

Lat jadi milik semua orang dan semua orang akan mengakui bahawa dia adalah Seniman Negara yang paling layak setakat hari ini.

Lat adalah kartunis yang bebas daripada politik dan dihormati kerana dia agak sederhana dalam ‘mempermainkan’ anggota kerajaan.

Zunar yang bermula dengan Gila Gila juga tidak kurang hebatnya. Kisah Kadok dan Liza dalam Cinta Tak Semestinya Bersatu sangat mencuit hati.

Bahkan kami sendiri agak terpegun dengan gaya penyampaian kartunis itu semasa dia bersama Gila Gila.

Lihat saja kritikan tajamnya melalui kartun Ofis Korner melalui majalah yang sama. Sindiran-sindiran pedas yang ditujukan kepada penjawat awam melalui kartun tersebut sangat dekat di hati pembaca.

Kita semua jadi setuju dengan apa yang disampaikan.

Namun untuk mengharapkan segala macam kebebalan dalam sistem kerja perkhidmatan awam boleh diubah melalui kartun-kartun Zunar adalah sesuatu yang amat dangkal.

Kartun akan selamanya diambil sebagai bahan jenaka atau sekurang-kurangnya itulah yang kita yakini bagi pihak penduduk dunia sebelah sini.

Apa yang berlaku kepada kartunis dan akhbar Charlie Hebdo di Perancis sana adalah suatu kemalangan. Jika kita berhati-hati, tidak mustahil ia akan berlaku di negara kita.

Zunar kemudiannya memilih jalan politik dan karya-karyanya semenjak itu pun bersifat demikian. Zunar digemari ramai sehingga menyebabkan dia berhenti menjadi bebas, lalu dia tegas berpihak.

Pada masa Zunar sibuk mengkritik itulah kerajaan mula bertambah kartun.

Bazirkan banyak wang negara

Dia telah ditahan dan disoal oleh pihak berkuasa beberapa kali dan pejabatnya diserbu. Majalah-majalah keluaran syarikatnya juga dirampas dan semua kebebasan dalam menyuarakan rasa tidak puas hati orang ramai pun disekat.

Apa yang berlaku kepada Zunar dianggap suatu penindasan, namun untuk waktu ini - setelah kerajaan yang disokong oleh Zunar memerintah - dia kelihatan sedikit bebas untuk mengkritik musuh-musuh kerajaan.

Ironinya, kerajaan yang bergantung dan menumpang populariti kartun - atau dengan kata yang lebih tepat, Zunar - kini menjadi seperti kerajaan yang dulu-dulu.

Fahmi Reza mewakili generasinya. Kartun-kartun karangannya tentu saja lebih vulgar jika dibandingkan dengan Lat dan Zunar. Itu tidak dapat dielakkan kerana gaya pemikiran generasi masa kini tentu saja tidak sama dengan apa yang pernah dilalui oleh dua kartunis terdahulu.

Generasi hari ini ialah kumpulan yang terbuka selari dengan apa yang mereka dapati melalui internet. Apa yang dianggap jenaka oleh pak cik-pak cik tentu tidak sama dengan apa yang mereka fahami sebagai kelakar.

Lihat saja bagaimana mereka ketawa dengan Lawak Kampus sedang kita haram tidak faham sebutir pun apa yang mahu disampaikan oleh komik tersebut.

Lalu apabila kita menjadikan kritik-kritik Fahmi Reza sebagai musuh, kita secara tidak sedar menjadi kebencian generasi hari ini.

Kami mungkin tersalah apabila menganggap kartun itu tidak akan diambil serius, namun kebodohan yang paling besar ialah apabila tenaga dan wang ringgit negara digunakan untuk menghalang kebebasan mengkritik apa juga jenis kebobrokan.

Dan mengenai Fahmi Reza, kami selalu keliru di antara dia dan Ng Sek San. Mana ada punk pakai barret macam mime di Perancis sana!


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penjelajah yang pernah ditahan, bukan kerana melukis kartun sebaliknya kerana merokok di tempat awam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS