KOLUM | Bilakah agaknya kali terakhir jalan-jalan di tengah Kuala Lumpur bergema dengan laungan suara gerakan mahasiswa?
Berdasarkan memori saya, sudah hampir sedekad yang lalu ia berlaku, iaitu demonstrasi #TangkapMO1 yang berlangsung pada 27 Ogos 2016.
Pada hari tersebut, ribuan pelajar universiti berhimpun di jalanan untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar menghayati nilai sebenar gelaran seorang mahasiswa yang berani bersuara terhadap isu-isu nasional.
Setelah sekian lama, muncul persoalan mengapa gerakan mahasiswa yang agresif ini menghilang terlalu lama?
Mungkin kita boleh mencipta satu analogi bahawa gerakan mahasiswa juga seperti tubuh badan manusia yang memerlukan gaya hidup aktif sebagai kunci untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental.
Tuhan menjadikan manusia ini sebagai makhluk yang unik dan istimewa. Tubuh manusia memerlukan pergerakan fizikal untuk memastikan sistem fisiologi dan psikologi berfungsi pada tahap optimum.
Seseorang yang lama tidak bersenam atau lemau menjalani kehidupan secara sedentary akan berdepan dengan risiko kesihatan seperti penurunan jisim otot, daya tahan badan yang rendah, obesiti, tekanan mental, gangguan sistem metabolik, sistem imun yang rendah dan banyak lagi.

Mahasiswa - sama ada secara individu atau berkumpulan - memerlukan 'senaman' atau pergerakan aktif untuk memastikan sistem sosial dan intelektualisme berfungsi dengan baik.
Dalam tubuh manusia, jika otot tidak digunakan, ia akan menjadi lemah dan mengecil. Ia dikenali sebagai atrophy. Gerakan mahasiswa yang tidak aktif juga menghadapi risiko atrophy sosial dan intelektual.
Mereka kehilangan daya juang, sensitiviti terhadap isu semasa, dan keupayaan untuk mencetuskan perubahan.
Mahasiswa yang pasif tidak lagi memainkan peranan sebagai suara rakyat atau ejen perubahan yang efektif.
Kesannya, rasa makna terhadap peranan mereka di universiti dan masyarakat turut luntur, menyebabkan mereka berasa tidak signifikan dalam ekosistem sosial.
Bersatu demi matlamat sama
Ketiadaan gerakan mahasiswa yang aktif juga memberi kesan kepada masyarakat. Masalah seperti rasuah, ketidakadilan, dan penindasan terus memburuk tanpa semak dan imbang.
Demokrasi menjadi kaku apabila elemen penting seperti kebebasan bersuara dan keterlibatan golongan muda diabaikan. Universiti pula hanya berfungsi sebagai tempat pengajian tanpa menyumbang kepada pembangunan pemimpin masa depan.
Gerakan mahasiswa adalah seperti sistem imun sosial yang berperanan melawan penyakit masyarakat seperti korupsi dan ketidaktelusan.
Tanpa mereka, pentadbiran menjadi pincang, manakala masyarakat kehilangan barisan hadapan dalam menyuarakan isu besar.
Oleh itu, penting untuk memastikan gerakan mahasiswa kekal relevan dan dinamik.
Untuk memastikan gerakan mahasiswa terus hidup dan berfungsi sebagai ejen perubahan, mahasiswa wajar untuk mengamalkan rutin aktivisme seperti forum, dialog, dan demonstrasi yang mendidik masyarakat.
Program-program sebegitu bukan sahaja meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa malah memperkukuh hubungan di antara mereka dengan masyarakat.

Selain itu, kesatuan kolektif perlu diperkukuhkan. Mahasiswa dari pelbagai latar belakang perlu bersatu demi mencapai matlamat yang sama.
Kerjasama yang erat ini dapat menghasilkan suara yang lebih kuat dan mampu memberikan impak yang besar terhadap perubahan sosial.
Gerakan mahasiswa juga memerlukan sokongan luaran daripada NGO, ahli akademik, dan masyarakat. Bantuan dalam bentuk panduan, dana, dan jaringan dapat membantu mereka menjalankan aktiviti dengan lebih berkesan.
Pendekatan yang digunakan perlu kreatif dan inovatif. Mahasiswa harus bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan media baru.
Kempen digital, penggunaan platform media sosial, serta strategi advokasi kreatif adalah contoh langkah yang boleh memperluaskan pengaruh mereka.
Ingatan buat kerajaan
Dengan mengamalkan langkah-langkah tersebut, gerakan mahasiswa mampu berfungsi seperti pelari maraton – konsisten, strategik, dan bertahan dalam jangka masa panjang.
Hanya dengan keaktifan dan keberanian mereka, masyarakat dapat terus maju dan sejahtera.
Akhirnya selepas hampir sembilan tahun, muncul generasi baru dari pelbagai sayap mahasiswa di universiti-universiti seluruh negara untuk menghidupkan kembali pesta rakyat yang sepatutnya tumbuh mekar dalam sebuah negara demokratik.
Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu akan berlangsung pada 25 Jan ini di Kuala Lumpur.
Ia satu perkembangan yang amat positif dan menunjukkan bahawa semangat perjuangan mahasiswa masih hidup.
Keberanian untuk bersuara tentang isu besar seperti rasuah, kebebasan akademik, dan keadilan sosial membuktikan mahasiswa masih mewakili suara rakyat.
Mahasiswa sering berada di barisan hadapan perubahan sosial kerana mereka memiliki keberanian, idealisme, dan semangat muda yang membara. Mereka juga mewakili golongan yang lebih objektif kerana tidak terikat dengan kepentingan politik atau ekonomi tertentu.
Dalam konteks ini, tindakan kolektif seperti yang dilakukan oleh Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) adalah manifestasi tanggungjawab moral mereka terhadap negara.

Apa yang menarik, dalam era kerajaan Madani, gerakan seperti ini boleh menjadi peringatan kepada pihak kerajaan untuk kekal berpegang pada nilai integriti, akauntabiliti, dan kebajikan rakyat.
Ini juga adalah masa untuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bersikap cakap serupa bikin untuk melahirkan generasi muda yang benci pada rasuah dan penyelewengan.
Dalam ucapan-ucapannya di universiti, Anwar mahukan mahasiswa tidak sekadar memperjuangkan isu-isu remeh, tetapi lantang menentang korupsi dan membangunkan negara.
Mahasiswa hari ini sudah pun berani bersuara. Ia juga adalah petanda jelas bahawa rakyat sedang memerhati.
NUR HADI MOHAMAD ialah pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
